Isnin, Mei 09, 2011

Battle of the Masts

Oleh: Mohd Ariff Mohd Tajudin

The Battle of the Masts atau Dhat Al-Sawari adalah salah satu daripada pertempuran laut yang amat penting. Pertempuran ini berlaku pada tahun 655 Masihi antara Angkatan Laut Islam yang dipimpin oleh Abdullah bin Saad bin Abi Al-Sarh dengan Angkatan Laut Empayar Bizantin (Rom Timur) yang dipimpin oleh Maharaja Constans II

Ilustrasi artis menunjukkan suasana dalam pertempuran Battle of the Masts ini

Sekitar tahun 650 Masihi, kerajaan Islam di bawah pimpinan Khalifah Uthman bin Affan telah meluaskan kuasa sehingga ke wilayah Empayar Bizantin. Mulai 645 Masihi, Abdullah bin Saad telah dilantik sebagai Gabenor Mesir menggantikan Amru bin Al-Aas. Abdullah bin Saad telah menubuhkan suatu angkatan laut yang kuat dan bertindak cemerlang sebagai ketua angkatan laut yang hebat. Di bawah pimpinannya, angkatan laut Islam telah mencapai banyak kemenangan di laut termasuk mematahkan serangan Empayar Bizantin pada 646 Masihi.

Model kapal yang digunakan oleh angkatan laut Islam

Di dalam Battle of the Masts, kedua-dua angkatan laut bertembung di Gunung Phoenix di pantai Selatan Turki (pada hari ini dikenali sebagai Finike). Walaupun angkatan laut Empayar Bizantin mempunyai pengalaman yang luas dengan alatan yang lebih maju, pertempuran ini telah dimenangi oleh Angkatan Laut Islam. Kedua-dua pihak mengalami kerugian yang besar dan Maharaja Constans II sempat melarikan diri ke Constantinople. Pertempuran ini merupakan titik tolak kepada kebangkitan dan kegemilangan angkatan laut Islam pada dekad-dekad yang seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan