Kenangan bersama Allahyarham Sea Dad di Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua di Pulau Tinggi, Johor pada tahun 2013 yang lalu. Beliau sentiasa memerhatikan dari jauh dan tidak jemu-jemu memberikan nasihat, tunjuk ajar dan galakan kepada Krew.
Dukacita dimaklumkan bahawa Crew Sea Dad Tuan Khamaruzaman bin Samsudin telah menghembuskan nafas yang terakhir di kediamannya di Taman Universiti, Skudai pada hari Rabu, 4 Februari 2015 sekitar jam 11.20 malam. Allahyarham telah tidak sedarkan diri sehari sebelumnya dan berada dalam keadaan koma setelah mengalami pendarahan ketika hendak menukar balutan kakinya. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Masnisak binti Saroni serta lima orang anak.
Jenazah Allahyarham sedang diturunkan ke liang lahad
Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti sekitar jam 9 pagi keesokan harinya. Keluarga Allahyarham memutuskan untuk mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Pulai, Skudai kira-kira 4 kilometer daripada kediaman Allahyarham. Selain Ahli-ahli Kelana Kanan daripada Krew Kelana A Daerah Johor Bahru, turut berada semasa pengebumian tersebut ialah YBhg. Tuan Haji Yaacob bin Abdul Karim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor. Krew telah diwakili oleh Skipper dan 1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip.
Tuan Haji Yaacob menyiram air di atas kubur Allahyarham
Pemergian Sea Dad ke rahmatullah merupakan kehilangan yang amat besar untuk Krew dan mustahil untuk dicari ganti. Meskipun duduk berjauhan di Johor Bahru, beliau sentiasa memberikan nasihat, garis panduan dan tunjuk ajar supaya Krew Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur sentiasa berada di landasan yang betul ke arah membantu memartabatkan Pengakap Laut di mata masyarakat. Seluruh warga Krew mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Al-Fatihah untuk Sea Dad yang amat dikasihi.








