Suatu perjumpaan ringkas telah diadakan antara wakil krew dengan Presiden Persatuan Sukan Keno Kuala Lumpur, YM Raja Shahrul Azremel Raja Sahar pada 7 Januari 2012 yang lalu, bertempat di Kompleks Sukan Titiwangsa, Tasik Titiwangsa. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk membincangkan perancangan krew untuk mengadakan latihan kayak untuk Pengakap Laut Kuala Lumpur.
Ahli-ahli yang hadir ialah Skipper, Mohd Hilmi Abu Bakar; 2nd Mate, Mohd Ariff Mohd Tajudin; Quartermaster, Rosbiah Mohd Shah dan Ahli Krew, Tan Cheng Yee. Hasil perbincangan ini menetapkan bahawa dua sesi latihan akan diadakan pada suku pertama tahun 2012 ini. Sesi pertama akan diadakan pada penghujung Februari untuk ahli-ahli Pengakap Muda Laut daripada Troop 183 SMK Bandar Baru Sentul. Sesi ini adalah berbentuk klinik kayak sehari bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Sesi kedua pula akan diadakan pada awal Mac dengan kumpulan sasaran adalah ahli-ahli krew dan ahli-ahli Kelana yang berminat dari seluruh Kuala Lumpur. Sesi ini adalah Kursus Star Award 1 (kursus dewasa) yang akan memberi pengiktirafan berbentuk sijil kepada para peserta yang berjaya menguasai kemahiran yang diajarkan dengan baik.
Diharap agar perancangan ini akan berjalan lancar dan berjaya menghasilkan ahli-ahli Pengakap Laut WP Kuala Lumpur yang berkemahiran tinggi dan berwibawa. All the best!