Isnin, Oktober 19, 2015

Perkhidmatan di World JOTA-JOTI Stesen 9M4SJW di SK Setiawangsa

Ahli-ahli Krew sedang mengendalikan sesi Isyarat Bendera Semaphore

Sempena World JOTA Ke-58 & World JOTI Ke-19 yang diadakan di seluruh dunia pada 16 hingga 18 Oktober 2015, Unit Komunikasi PPMWPKL telah membuka Stesen JOTA-JOTI 9M4SJW bertempat di SK Setiawangsa pada hari Sabtu 17 Oktober 2015 yang lalu. Seramai kira-kira 80 orang Ahli Pengakap dari seluruh Kuala Lumpur telah mengunjungi stesen ini dan menjalani pelbagai aktiviti yang diadakan. Krew telah dijemput untuk oleh mengendalikan sesi Isyarat Bendera Semaphore. Program ini telah dijalankan mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Sijil, lencana dan button badge yang diberikan oleh penganjur kepada para petugas

Seramai enam orang warga Krew telah hadir membantu perjalanan program ini dengan empat orang berkhidmat sepenuh masa. Dua orang lagi iaitu Skipper dan Bosun Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin hadir pada awal dan akhir program kerana mengendalikan Kembara 16 Kilometer Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur. Ahli-ahli Krew yang hadir membantu perjalanan program adalah seperti berikut:-
1. Koordinator Perkhidmatan Kelana Encik Mohd Hilmi bin Mat Saad
2. Ahli Krew Saudari Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal
3. Ahli Krew Saudari Nur Nelissa binti Nazri
4. Ahli Krew Saudara Mohamad Shahair bin Abdul Kadir

Isnin, Oktober 12, 2015

Scout of the World Discovery National Workshop 2015

Para peserta bengkel bergambar beramai-ramai di hadapan bangunan kampus UIAM Kuantan

Krew telah menghantar delegasi seramai enam orang untuk menyertai bengkel Scout of the World Discovery National Workshop 2015 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Kuantan pada 9 hingga 11 Oktober 2015 yang lalu. Krew telah diwakili oleh:-
1. Bosun Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin
2. Purser Saudara Mohamad Ridwan bin Rosman
3. Ahli Krew Saudari Atikah binti Mansor
4. Ahli Krew Saudara Muhammad Fahimi bin Ahmad Roslan
5. Ahli Krew Saudara Luqman Haziq bin Ramli
6. Ahli Krew Saudara Mohamad Shahair bin Abdul Kadir

 
Bosun sedang membentangkan hasil perbincangan

Bosun menerima sijil penyertaan daripada Koordinator MOP, SWA dan WSEP Kebangsaan, 
YBhg. Tuan Amir Hamzah bin Aman

Melalui bengkel ini, para peserta telah diberi pendedahan tentang apa itu Scout of the World Award dan bagaimanakah kaedah untuk mendapatkan anugerah tersebut. Peserta juga telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan projek-projek komuniti yang bersesuaian sebagai platform untuk menyelesaikan prasyarat anugerah ini.

Bersama rakan-rakan Kelana dari negeri-negeri lain

Sebagai hasilnya, suatu kerjasama strategik telah dirancang bersama-sama rakan-rakan Kelana dari Pahang dan Selangor. Ini akan membolehkan ketiga-tiga negeri menyokong antara satu sama lain walaupun projek dijalankan secara berasingan. Krew dijangka memfokuskan kepada aktiviti komuniti berkaitan dengan persekitaran marin di samping memberi penekanan kepada Kempen Save Our Seafood 2.0.

Delegasi krew bergambar bersama penerima Anugerah Scout of the World Award sebelum ini

Ahad, Oktober 11, 2015

Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 1 (Unit Pengakap Kanak-Kanak & Pengakap Muda)


Skipper sedang menyampaikan ceramah kepada para peserta kursus

Pasukan Latihan Negeri WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Segambut telah mengadakan Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 1 (Unit Pengakap Kanak-Kanak & Pengakap Muda) pada 9 hingga 10 Oktober 2015 yang lalu bertempat di SK Bandar Manjalara, Segambut. Ketua Kursus bagi Unit Pengakap Kanak-Kanak ialah Encik Mark Suresh manakala Ketua Kursus bagi Unit Pengakap Muda ialah Encik Chong Beng Ming.




Setiap kumpulan sedang mengadakan perbincangan

Skipper telah dijemput untuk memberi ceramah bagi sesi "Merancang Program" untuk kedua-dua Unit Pengakap Kanak-Kanak dan Pengakap Muda. Sesi ini berlangsung selama tiga jam merangkumi ceramah penerangan, perbincangan dalam kumpulan dan pembentangan hasil perbincangan. Perancangan program dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Program Jangka Panjang (tahunan), Program Jangka Pendek (bulanan) dan Perjumpaan mingguan. Diharap agar para peserta akan dapat merancang dan menjalankan program dengan baik dan efektif setelah menjalani sesi ini.


Para peserta sedang membentangkan hasil perbincangan masing-masing

Sabtu, Oktober 10, 2015

Tahniah Kepada Saudara Muhammad Adham Aiman!

Saudara Muhammad Adham Aiman bersama sijil dan trofi Tokoh Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi, Ketua Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul 2014/2105 yang telah menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul bagi tahun 2015 sempena Hari Anugerah Cemerlang SMK Bandar Baru Sentul yang telah diadakan pada hari Sabtu, 10 Oktober 2015 yang lalu. Semoga anugerah ini akan menaikkan lagi semangat Saudara Muhammad Adham Aiman untuk mencapai yang terbaik di dalam peperiksaan SPM yang telah hampir dan seterusnya mencapai Anugerah Pengakap Raja pada akhir tahun nanti. 

Ahad, Oktober 04, 2015

Mesyuarat Persediaan Seaboree Sarawak Ke-4 & Perhimpunan Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2015

Ahli mesyuarat bergambar beramai-ramai setelah selesai mesyuarat tersebut

Mesyuarat Persediaan Seaboree Sarawak Ke-4 & Perhimpunan Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2015 telah diadakan pada 3 Oktober 2015 yang lalu bertempat di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri, Sarawak. Skipper sebagai Setiausaha Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan telah menghadiri mesyuarat ini bersama-sama Tuan Noor Azmi bin Ujang selaku Pengerusi Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. Untuk program ini, Sekretariat telah bertindak sebagai penasihat bagi Jawatankuasa Aktiviti.



Suasana di dalam dewan mesyuarat

Turut menghadiri mesyuarat ini ialah kepimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sarawak iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Sa'id bin Haji Bolhassan; Pesuruhjaya Pengakap Laut Negeri Sarawak, YBrs. Encik Bollhassan bin Abdul Latip, Pengerusi Pasukan Latihan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Ngatiman; Pesuruhjaya Pengurusan Risiko Negeri Sarawak, YBrs. Encik Mohamad bin Matsah dan Bendahari Majlis Pengakap Negeri Sarawak. Selain itu, para Pesuruhjaya dan Pemimpin tempatan dari Daerah Miri yang menjadi penggerak utama program ini telah hadir.

Sesi perbincangan ringkas bersama kepimpinan tertinggi PPM Negeri Sarawak

Sebelum mesyuarat berlangsung, suatu perbincangan ringkas telah diadakan di Hotel Dynasty, Miri antara kepimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sarawak dan delegasi Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. Selepas itu, suatu lawatan tapak ringkas telah diadakan di tapak Seaboree di Marina Bay bagi membolehkan wakil Sekretariat menjalankan penilaian ke atas tapak tersebut.


Lawatan tapak ke Marina Bay yang bakal menjadi lokasi Seaboree

Mesyuarat persediaan tersebut telah dijalankan di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang bermula pada jam 2 petang dan berakhir kira-kira jam 7 malam. Pelbagai keputusan telah dicapai sepanjang mesyuarat dan beberapa permasalahan telah dapat diselesaikan. Kami telah dijamu makan malam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Miri sebelum berlepas pulang sekitar jam 9 malam.

Singgah makan malam sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur