Isnin, Disember 27, 2010

Pengenalan Kepada Pisau


Pisau Pelaut atau Seaman's Knife

Pisau adalah alatan yang amat penting dalam aktiviti kepengakapan dan survival. Sebagai seorang ahli Pengakap Laut, pisau boleh digunakan dalam pelbagai perkara sama ada ketika hendak memasak, ketika hendak mendirikan tempat berteduh, membina gejet, menyediakan perangkap, mempertahankan diri, meraut buluh dan sebagainya. Oleh itu, seseorang ahli Pengakap Laut perlu tahu cara yang betul untuk menggunakan dan menjaga pisau tersebut supaya tahan lama dan tidak bermasalah apabila hendak digunakan.

Swiss Knife yang mempunyai pelbagai alatan lain selain pisau

Pemilihan pisau hendaklah dilakukan dengan teliti. Pisau yang baik adalah yang diperbuat daripada stainless steel kerana jenis ini adalah tahan karat. Setelah dipakai beberapa kali, pisau akan menjadi tumpul. Oleh itu, kita perlu tahu bagaimana hendak mengasah pisau tersebut supaya menjadi tajam semula. Pisau yang tumpul berpotensi untuk mendatangkan kecederaan yang tidak dijangka.

Batu asahan yang boleh digunakan untuk menajamkan pisau

Bagi memastikan pisau tahan lama, ia perlu dibasuh dan dilap selepas digunakan. Untuk mengelakkan pengaratan, sapukan minyak pada pisau tersebut sebelum disimpan. Pisau hendaklah disimpan dengan hati-hati dan tidak dibiarkan bersepah di merata-rata tempat. Ahli Pengakap Laut juga tidak boleh menjadikan pisau sebagai bahan permainan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Khamis, Disember 23, 2010

Seminar Sehari Pengakap Laut Kuala Lumpur


Unit Laut Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengadakan Seminar Sehari Pengakap Laut Kuala Lumpur bertempat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2011. Yuran untuk setiap peserta adalah RM12. Minum pagi dan makan tengah hari disediakan.

Isnin, Disember 20, 2010

Lanjutan Komunikasi Marin: Bendera Abjad Charlie dan Delta




Rupabentuk bendera Charlie
MAKNA:
"Yes" atau "Affirmative"

KEGUNAAN
Digunakan oleh kapal tentera laut dan kapal dagang untuk menyatakan persetujuan dalam sesuatu apabila kapal lain bertanya/memohon sesuatu dengan isyarat bendera.

PERINGATAN
Tiada

Khamis, Disember 16, 2010

Tiupan-Tiupan Penting Wisel Bosun (Bahagian 01)

Terdapat beberapa tiupan yang penting dan kerap digunakan untuk menyampaikan arahan menggunakan wisel Bosun. Kaedah tiupan, keselanjaran dan nada setiap tiupan itu akan dilambangkan oleh pelbagai garisan, dan kecondongan garisan tersebut menunjukkan perubahan nada sama ada semakin meninggi atau menurun.

The Still


The Still ada tiupan yang digunakan untuk mengarahkan semua anggota supaya berada dalam keadaan sedia, sama ada sebagai tanda hormat atau untuk menyuruh semua anggota diam dalam acara tertentu. The Still juga digunakan untuk mengumumkan ketibaan Pegawai-Pegawai Kanan (Dalam Pengakap ialah Pesuruhjaya). Tiupan ini terdiri daripada tiupan nada tinggi selama 8 saat dan selepas itu, berhenti serta-merta.


Carry On


Carry On adalah tiupan yang digunakan untuk membatalkan tiupan The Still. Tiupan ini sendiri adalah arahan dan tidak memerlukan arahan susulan dalam bentuk lisan.


General Call


General Call akan mendahului sebarang pengumuman atau siaran, di mana ia akan berfungsi untuk menarik perhatian terhadap pengumuman tersebut. Biasanya General Call akan digunakan untuk menyerahkan arahan rutin atau sebarang maklumat yang melibatkan semua anggota.

bersambung...

Rabu, Disember 15, 2010

Ikat Seraya @ Square Lashing

Rajah bagi ikatan seraya

katan seraya adalah ikatan yang digunakan untuk mengikat dua kayu dan merupakan salah satu ikatan yang amat penting dalam pembinaan gejet. Ikatan ini merupakan salah satu syarat untuk Lencana Usaha. Projek perintis dan gejet yang besar dan kukuh akan dapat dibina jika strukturnya diikat dengan kuat dan kemas menggunakan ikatan seraya.

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan ikatan seraya:

Selasa, Disember 14, 2010

Selamat Pengantin Baru Iqbal

Saudara Iqbal bersama isterinya sedang menikmati hidangan pengantin

Den Warden krew, saudara Mohd Iqbal bin Mohd Saidi telah selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Rodhiyah Shamilah binti Haji Mat Ariff pada 11 Disember yang lalu. Majlis kenduri di sebelah pihak pengantin perempuan telah diadakan di Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 11 Disember. Manakala majlis di sebelah pihak pengantin lelaki diadakan di kediaman saudara Iqbal pada Ahad, 12 Disember.

Ahli-ahli krew telah memberi sedikit bantuan dengan memasang tanda arah jalan untuk kedua-dua lokasi. Semoga perkahwinan ini sentiasa dirahmati oleh Allah dan berkekalan selama-lamanya. Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada saudara Iqbal.

Isnin, Disember 06, 2010

Selamat Tahun Baru 1432H


Krew Kelana C Kuala Lumpur ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijrah 1432 kepada semua ahli-ahli krew yang beragama Islam. Semoga kehadiran tahun baru ini akan memberi keberkatan kepada seluruh krew serta dipermudahkan segala urusan dan usaha untuk memajukan Pengakap Laut di Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti telah diaturkan, mudah-mudahan dapat mencapai sasaran. InsyaAllah. :)

Rabu, Disember 01, 2010

Piala Amerika @ America Cup

Rupabentuk Piala Amerika

America Cup atau Piala Amerika adalah trofi yang dianugerahkan kepada pemenang pertandingan regatta pelayaran Piala Amerika dan merupakan trofi aktif tertua dalam sukan antarabangsa. Pada asalnya, piala ini dinamakan Piala Skuadron Kapal Layar DiRaja. Ia dikenali sebagai Piala Amerika setelah kapal layar yang pertama memenanginya bernama America. Piala ini kekal di tangan New York Yacht Club (NYYC) sejak 1857 hingga 1983 apabila piala ini dimenangi oleh Royal Perth Yacht Club melalui kapal layar mereka, Australia II. Ini mengakhiri kemenangan berterusan yang paling panjang dalam sejarah sukan.

Kapal Layar America yang menjadi pemenang pertama piala ini pada tahun 1851

Selasa, November 30, 2010

Tragedi Leysdown

Ahli-ahli Pengakap Laut daripada Troop Ke-2 Walworth berlatih di Jambatan Waterloo, London
menggunakan bot cutter yang sama sebelum tragedi tersebut terjadi. Pemimpin Pengakap Marsh
adalah yang duduk berhampiran kemudi

Pada 4 Ogos 1912, satu tragedi yang dahsyat telah berlaku di Leysdwon, Isle of Sheppey apabila 9 orang ahli Pengakap Laut mati lemas. Angin kencang yang muncul secara tiba-tiba telah menyebabkan bekas bot Tentera Laut British jenis 'cutter' berukuran 32 kaki itu terbalik dengan serta-merta. Pada masa tersebut, bot malang itu sedang membawa 23 orang ahli Pengakap Laut dari Troop Ke-2 Walworth bersama Pemimpin mereka, S J Marsh. Ketika itu mereka dalam perjalanan untuk berkhemah di Leysdown. Kesemua yang maut itu kecuali seorang adalah daripada Troop Ke-2 Walworth.

Ahli-ahli Troop Ke-2 Walworth yang terlibat dalam tragedi ini termasuk mereka yang terkorban

Mereka yang terkorban adalah Noel Filmer, 14; Thompson (Tommy) Filmer, 12; Albert Dack, 11; Harry Gwynn, Ketua Patrol, 13; Edward Smith 11, William Beckham, Ketua Patrol, 12; James Skipsey, 12; Percy Huxford, 12 dan Frank Masters, 14. Frank Masters adalah pembantu daripada Kapal Latihan Arethusa. Kumpulan ini bukanlah kumpulan yang tidak bersedia atau orang baru dalam Pengakap Laut. Malahan, mereka telah dipilih untuk melakukan demonstrasi di Perjumpaan Pengakap Laut di Earl's Court sebulan sebelum tragedi ini.

Perahu Layar Laser

Perahu layar laser

Perahu Layar International Laser Class yang juga dikenali sebagai Laser Standard dan Laser One adalah kelas one-design yang popular bagi perahu layar kecil. Berdasarkan Undang-Undang Kelas Laser, perahu layar jenis ini boleh dikendalikan oleh seorang atau dua orang, walaupun ia sangat jarang dikendalikan oleh dua orang. Rekabentuk awal oleh Bruce Kirby menekankan prestasi dan kesederhanaan. Pada masa sekarang, perahu layar jenis laser dibuat oleh beberapa pembuat bot di seluruh dunia.

Komponen-komponen perahu layar laser

Perahu layar Laser adalah perahu layar kendalian individu yang paling popular di dunia. Setakat 2010, jumlah perahu layar yang telah dikeluarkan menghampiri 200,000 unit. Antara faktor-faktor yang menyebabkan ia popular adalah kerana perahu layar tersebut kukuh dan mudah untuk dipasang dan dilayarkan. Perahu layar Laser juga menyediakan pelayaran yang amat sengit disebabkan oleh kawalan ketat oleh persatuan yang menghapuskan perbezaan antara lambung (hull), layar dan peralatannya.

Khamis, November 25, 2010

Lilit Taut-Line

Struktir lilit taut-line

Lilit taut-line adalah sejenis simpulan gelung yang boleh dilaraskan dan sesuai digunakan untuk mengekalkan ketegangan tali. Simpulan ini amat berguna kerana ia boleh dilaraskan dari semasa ke semasa supaya tali kekal tegang. Simpulan ini disediakan dengan menyirat lilit tindih kejap (rolling hitch) pada bahagian tali tetap (standing rigging) selepas suatu gelung dibentuk mengelilingi suatu objek penyangkut (contohnya pancang).

Langkah-langkah untuk menyediakan lilit taut-line

Tahniah Kepada Penasihat Krew

Encik Khamaruzaman semasa di dalam kursus

Sekalipun sudah agak lewat, krew ingin mengucapkan tahniah kepada Penasihat Krew, Encik Khamaruzaman Samsudin atas penyertaan beliau di dalam Kursus Jurulatih atau Course of Leader Trainer (CLT) pada 24 hingga 30 Oktober 2010 lalu bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaacob Latiff, Cheras, Kuala Lumpur.

Encik Khamaruzaman Samsudin telah memegang manikayu tiga butir selama hampir 20 tahun sejak 1991. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat menghadiri siri-siri CLT yang diadakan sebelum ini disebabkan komitmen kerjaya.

Meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, beliau tetap meneruskan hingga ke hari terakhir. Krew mendoakan semoga beliau dapat menyelesaikan semua tugasan kursus yang diberikan sekaligus dikalungkan manikayu empat butir dalam masa terdekat.

Lanjutan Komunikasi Marin: Bendera Abjad Alpha dan Bravo

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa


Rupabentuk bendera Alpha


MAKNA:
"I have a diver down; keep clear at slow speed."
With three numerals, azimuth or bearing.

KEGUNAAN:
Dikibarkan apabila kapal sedang menjalani kerja-kerja selaman sama ada di tengah laut atau pelabuhan.

PERINGATAN:

Kapal dilarang sama sekali mengaktifkan sonar, membuang sisa kumbahan dan memusingkan aci (shaft) dan kipas (propeller) kerana akan membahayakan penyelam. Peringatan perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar tiada anak-anak kapal yang melanggar arahan.

Rabu, November 24, 2010

Ibadah Qurban 1431H


Bersempena hari raya Eidul Adha bagi tahun 1431H, tiga orang ahli krew iaitu Skipper, 2nd Mate dan saudara Mohd Zaid Amza telah berkongsi untuk membeli satu bahagian lembu melalui pakej EZQurban bernilai RM250. Perkongsian ini disatukan di bawah nama 2nd Mate, saudara Mohd Ariff Mohd Tajudin. Mengikut pihak EZQurban, daging sembelihan tahun ini akan dihantar ke negara-negara jiran bagi menjamu saudara sesama Muslim yang miskin. Semoga ini akan menjadi permulaan yang berkat untuk penglibatan lebih ramai ahli krew dalam ibadah qurban bagi tahun-tahun yang akan datang.

Selasa, November 16, 2010

Mengemaskan Kem Cangkat Budaya




Pada 5 hingga 7 November, Kem Cangkat Budaya telah sekali lagi menerima kedatangan para pelajar jurusan Kaunseling dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjalankan perkhemahan kaunseling selama 3 hari 2 malam. Oleh itu, para den warden Kem Cangkat Budaya telah menghabiskan hujung minggu sebelumnya untuk mengemaskan kem memandangkan ia telah agak lama tidak digunakan.

Kursus Kawad Kaki dan Istiadat PPMWPKL

Ahli-ahli Pengakap Muda dan Remaja yang menjadi pelatih di dalam kursus ini

PPMWPKL telah mengadakan Kursus Kawad Kaki dan Istiadat peringkat negeri WP Kuala Lumpur sebagai lanjutan kepada Kursus Kawad Kaki dan Istiadat peringkat kebangsaan yang telah diadakan pada awal Julai 2010 yang lalu. Kursus ini dianjurkan oleh Encik Abdul Jalil Abdul Samad dan Encik Chan Zi-Lie selaku wakil PPMWPKL dalam kursus peringkat kebangsaan tersebut. Lokasi yang dipilih ialah SK Kiaramas pada 22 hingga 24 Oktober 2010 yang lalu. Kursus ini turut dibantu oleh jurulatih-jurulatih lain seperti Encik Jamal Harim, Encik Zaliridzal dari Ibu Pejabat, Sarjan Fadzil dari Selangor dan Encik Jurimi dari Pahang.

Pemimpin-Pemimpin Pengakap yang menjadi peserta termasuk Encik Ekbert dari Selangor

Lilit Balak @ Timber Hitch

Rupabentuk lilit balak

Lilit balak adalah penting di dalam aktiviti kepengakapan. Lilit balak ini digunakan untuk melilitkan tali pada sebatang kayu. Ia amat mudah dirungkaikan apabila telah selesai digunakan.

Langkah-langkah untuk menyediakan lilit balak

Wisel Bosun @ Boatswain's Call (Siri 1)

Wisel Bosun dan kotaknya

Antara keunikan yang terdapat dalam kehidupan seorang pelaut adalah meniup paip atau "piping" menggunakan sebuah wisel khas yang dipanggil boatswain's call. Meniup paip adalah kaedah kelautan untuk menghantar arahan. Setiap pelaut perlu tahu kaedah menggunakan "boatswain's call" ini. Penghantaran arahan menggunakan alat ini dimulakan seawal Perang Salib pada 1248.

Cara meniup Wisel Bosun

Rabu, November 03, 2010

Pameran Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul

Suasana di gerai pameran SMK Bandar Baru Sentul

Sempena Hari Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul pada 20 Oktober 2010 yang lalu, saudara Najib Jasmani dari Kumpulan Pengakap Kelana E Sentul telah memohon bantuan krew untuk mengadakan pameran mini berkenaan Pengakap Laut bertujuan mendedahkan Pengakap Laut kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Pameran ini digabungkan dengan pameran informatif bagi Pengakap dan Pengakap Udara.

Khamis, Oktober 28, 2010

Pengenalan Kepada Kompas (Introduction to Compass)

Penggunaan kompas untuk memandu arah

Kompas adalah alat pandu arah yang digunakan untuk menentukan arah relatif kutub magnetik Bumi. Komponen terpenting dalam sesebuah kompas adalah jarum penunjuk magnetik yang akan berputar secara bebas mengikut medan magnet bumi. Kompas adalah alat bantu yang amat penting dalam sesuatu perjalanan terutamanya ketika di laut. Pelaut sejak zaman-berzaman menggunakan kompas untuk menentukan arah, sextant untuk mengira latitud dan kronometer marin untuk mengira longitud. Gabungan ketiga-tiga alat ini menyediakan keupayaan pandu arah yang mantap dalam pelayaran di laut. Teknologi terbaru yang menggantikan alat-alat ini adalah Global Positioning System (GPS).

Model kompas zaman awal daripada Dinasti Han (206 S.M - 220 M) yang menunjukkan arah selatan

Khamis, Oktober 14, 2010

Komunikasi Maritim: Bendera dan Gada-Gada (Maritime Flags and Pennants) - Pengenalan

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa
Sedikit Penambahan: Pemimpin Krew

Kibaran bendera (Flag Hoist) merupakan salah satu jenis perhubungan yang selalu digunakan di kapal-kapal. Sejarah awal penggunaan bendera sebagai alat komunikasi di laut bermula pada tahun 1530 lagi, apabila seorang laksamana (nama tidak diketahui) di Britain mendapat idea menggunakan bendera di kapal sebagai cara untuk berkomunikasi. Kemudian pada tahun 1653, Tentera Laut British (Royal Navy) mula menggunakannya secara rasmi dan berlakulah perkembangan sehingga sekarang.

Dressing line bendera dan gada-gada di atas sebuah kapal

Penggunaan paling terkenal dalam sejarah adalah apabila Laksamana Madya Lord Horatio Nelson, seorang Laksamana Inggeris menggunakan bendera untuk memberi isyarat dan menyampaikan maksud "England expects that every man will do his duty" semasa Pertempuran Trafalgar antara England melawan Sepanyol dan Perancis pada 1805.

Bunga Geti Berganda (Double Sheet Bend)

Struktur simpul bunga geti berganda

Simpul bunga geti berganda, seperti juga simpul bunga geti, digunakan untuk menyambungkan dua tali yang tidak sama besar. Biasanya simpul bunga geti berganda digunakan apabila simpul bunga geti tidak cukup kuat untuk menyambungkan tali. Simpul ini mempunyai semua kelebihan yang sama dengan simbul bunga geti. Tambahan lagi, ianya lebih selamat, mudah disediakan dan dirungkaikan.


Rabu, Oktober 13, 2010

Majlis Aidilfitri PPM WP Kuala Lumpur

Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengadakan Majlis Aidilfitri pada hari Sabtu, 9 Oktober 2010 yang lalu bertempat di Dewan Pusat Rekreasi Kepong, Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. Majlis ini bermula sekitar jam 4 petang dan berakhir kira-kira jam 9 malam.

Ahli-ahli krew bergambar bersama PPN Latihan dan PPN Unit Kelana sebelum majlis tamat

Selain meraikan sambutan Aidilfitri, majlis ini juga diadakan bagi meraikan Pengerusi Majlis Pengakap Kuala Lumpur yang baru iaitu YB Senator Datuk Haji Rizuan Abdul Hamid yang dilantik sebulat suara melalui Mesyuarat Agung PPM WP Kuala Lumpur yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Penolong-Penolong Pesuruhjaya dan Pemimpin Pengakap dari pelbagai peringkat. Turut hadir adalah kira-kira 150 ahli Pengakap dari seluruh Kuala Lumpur. Krew telah diwakili oleh tiga orang ahli yang berkelapangan untuk hadir. Tahniah diucapkan kepada Daerah Sentul yang bekerja keras membantu merealisasikan majlis ini.

Sejarah Pengakap Laut 1: Warington Baden Powell, Pengasas Pengakap Laut

Diolah dari pelbagai sumber oleh: Mohd Hilmi Abu Bakar

Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell (B-P) lahir di dalam sebuah keluarga yang terlibat secara intensif di dalam aktiviti marin dan kelautan. Kematian bapanya ketika berusia 3 tahun menyebabkan Lord BP menjadi begitu rapat dengan datuk di sebelah ibunya, Laksamana William Smyth. Datuknya memulakan kerjaya sebagai tentera laut bermula dari bawah dan berjaya menjadi Laksamana dalam tahun 1863. Abang kepada Lord B-P iaitu Warington Baden Powell yang lebih tua 10 tahun daripadanya memulakan kerjaya sebagai "Merchant" Marine".

Warington Baden Powell, abang kepada Lord Baden Powell yang mengasaskan Pengakap Laut

Warington Baden Powell adalah pengasas kepada pelayaran keno dan menulis sebuah buku bertajuk "Canoe Travelling: and practical hints on building and fitting canoes". Beliau menjalani latihan kelautannya di HMS Conway selama 3 tahun sebelum menyertai Hotspur pada 1864.

Perahu Layar Optimist

Pelayar optimist sedang berlayar

Optimist adalah perahu layar bersaiz kecil dan dikendalikan berseorangan oleh kanak-kanak yang berumur sehingga 15 tahun. Pada hari ini, majoriti Optimist dibina menggunakan material plastik yang diperkuatkan dengan fiber. Namun begitu, masih terdapat sebilangan kecil yang dibina menggunakan kayu.

Rupabentuk perahu layar Optimist apabila dinaikkan ke darat

Selasa, Oktober 12, 2010

Simpul Pulih (Sheepshank)

Simpul pulih adalah sejenis simpulan yang digunakan untuk memendekkan tali tanpa memotongnya atau untuk menguatkan tali pada tempat yang reput atau hampir putus. Simpulan ini tidak stabil dan boleh terlerai sekiranya beban yang dikenakan adalah terlalu berat atau terlalu ringan.

Struktur simpul pulih

Simpulan ini mempunyai beberapa ciri-ciri yang membolehkannya memendekkan tali iaitu:
  • Ia mempunyai dua lilitan iaitu satu di setiap hujung simpulan yang akan mengunci struktur simpulan itu
  • Simpul ini tetap selamat apabila di dalam keadaan tegangan, lebih kasar tali yang digunakan, ia akan lebih selamat
  • Simpul ini akan mudah terlerai apabila tegangan tersebut dialihkan

Hand Lead Line

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa

Contoh Head Lead Line

Hand Lead Line merupakan satu peralatan navigasi yang mudah untuk menentukan kedalaman air. Ia telah digunakan sejak zaman dahulu lagi. Hand Lead Line terdiri daripada 2 bahagian iaitu ladung dengan berat dari 7 hingga 14 paun dan tali yang telah disukat menggunakan ukuran fathom. Kebiasaannya tali Hand Lead Line adalah sepanjang 20 fathoms.

Setiap fathom pada tali Head Lead line telah ditandakan dengan tanda-tanda tertentu seperti di bawah:

Tandaan pada Head Lead Line

Isnin, Oktober 11, 2010

Majlis Tunang Farah Ashikin @ Kechik

Saudari Farah Ashikin bersama Muhammad Khairul Aflah

Krew Kelana C Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ingin mengucapkan tahniah kepada ahli krew, saudari Farah Ashikin Mohd Radi @ Kechik yang telah selamat bertunang dengan pilihan hatinya, Muhammad Khairul Aflah bin Huri pada hari tengah hari Sabtu, 9 Oktober 2010 yang lalu bertempat di Seberang Perak, Perak Darul Ridzuan. Ahli-ahli krew mendoakan semoga mereka berkekalan ke jinjang pelamin dan hingga ke anak cucu.

Bakal ibu mertua menyarungkan cincin pertunangan

Khamis, Oktober 07, 2010

Simpul Himpit (Fisherman's Knot)


Struktur simpul himpit

Simpul Himpit adalah simpulan yang digunakan untuk menyambungkan dua tali yang mempunyai struktur simetri. Simpulan ini menggunakan dua overhand's knot yang disimpulkan di bahagian statik (standing part). Simpul himpit turut dikenali sebagai angler's knot, English knot, halibut knot dan waterman's knot.

Rabu, Oktober 06, 2010

Sea Measurement

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa

Sebagai seorang pelaut yang cekap, dia mestilah mahir menganggar dan menentukan jarak sama ada menggunakan atau tanpa peralatan tertentu. Kemahiran ini dianggap penting kerana ia dapat membantu pelaut dari sebarang malapetaka di laut seperti pelanggaran (collision) atau terdampar (grounded).

Kegagalan menentukan jarak dengan tepat semasa melakukan rencana pelayaran (passage plan) boleh mengakibatkan kesan yang sangat buruk kepada pelaut dan kapal kerana jarak mempengaruhi Jangka Masa Bertolak dan Tiba [Estimated Time of Arrival (ETA) danEstimated Time of Departure (ETD)], jumlah masa pelayaran, jumlah masa di tangan (time in hand), kelajuan kapal semasa pelayaran (speed of advance), kelajuan baru (new speed - kelajuan baru kapal apabila kapal dipengaruhi dengan kelajuan angin dan arus), jumlah bahan bakar bagi enjin dan generator, jumlah air bagi kegunaan enjin, generator dan kegunaan harian serta jumlah makanan (kering/basah) yang diperlukan sepanjang pelayaran.

Sea Measurement adalah seperti berikut:

Kaedah menentukan jarak semasa kerja-kerja carta adalah menggunakan compass atau divider. Sesuatu jarak diambil menggunakan alatan ini dan ditentukan dengan bacaan yang terdapat pada carta (guna ukuran yang terdapat pada sebelah kiri atau kanan carta sahaja)

Isnin, September 27, 2010

Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 1 (Unit Pengakap Remaja) PPMWPKL 2010

Pasukan Latihan Negeri PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 1 (Unit Pengakap Remaja) pada 24 hingga 26 September 2010 yang lalu bertempat di Methodist Boys School, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Kursus ini telah dipimpin oleh Saudara Chai Jiun Huar selaku Ketua Kursus merangkap Penyelaras Pasukan Latihan Negeri.

2nd Mate mengajarkan cara menganduh kaki yang patah

Krew telah dijemput untuk membantu perjalanan kursus bagi dua sesi iaitu Sesi Simpulan dan Ikatan serta Sesi Pertolongan Cemas. Kedua-dua sesi ini diadakan berturut-turut pada tengah hari Sabtu. Empat orang ahli krew iaitu Skipper, 2nd Mate, 3rd Mate dan Yeoman telah menghadirkan diri bagi memastikan amanah yang diberikan oleh Ketua Kursus dapat dilaksanakan dengan baik.

Selasa, September 21, 2010

Undang-Undang Di Laut (Kapal Layar)


Disediakan oleh: Izhar Mat Isa

Berikut merupakan undang-undang laut yang perlu dipatuhi semasa mengendalikan kapal layar.

International Regulations for Preventing Collisions at Sea, 1972
(Incorporating November 1995 Amendments)

PART B - STEERING AND SAILING RULES
SECTION II - CONDUCT OF VESSELS IN SIGHT OF ONE ANOTHER

Rule 12 Sailing Vessels

(a) When two sailing vessels are approaching one another, so as to involve risk of collision, one of them shall keep out of the way of the other as follows:

(i) when each has the wind on a different side, the vessel which has the wind on the port side shall keep out of the way of the other;

(ii) when both have the wind on the same side, the vessel which is to windward shall keep out of the way of the vessel which is to leeward;

(iii) if a vessel with the wind on the port side sees a vessel to windward and cannot determine with certainty whether the other vessel has the wind on the port or on the starboard side, she shall keep out of the way of the other.

(b) For the purposes of this Rule the windward side shall be deemed to be the side opposite to that on which the mainsail is carried or, in the case of a square-rigged vessel, the side opposite to that on which the largest fore-and-aft sail is carried.


Isnin, September 06, 2010

Salam Aidilfitri Untuk Semua..


Krew Kelana C Kuala Lumpur ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua yang beragama Islam. Semoga Syawal tahun ini memberi keberkatan kepada kita semua setelah sebulan menjalani ibadah puasa. Mohon maaf zahir dan batin kepada semua, semoga persaudaraan kita sesama Islam dan di kalangan ahli-ahli Pengakap akan berkekalan. Di saat kita bergembira untuk berhari raya, jangan dilupakan golongan yang kurang bernasib baik. Salam Aidilfitri. :)