Sabtu, September 22, 2012

Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul


SMK Bandar Baru Sentul telah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum pada 22 September 2012 yang lalu bertempat di Dewan Terbuka SMK Bandar Baru Sentul. Acara ini telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YB. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman. Pemimpin Krew telah menerima sijil dan trofi penghargaan mewakili krew selaku Jurulatih Jemputan Troop Pengakap Laut 183.


Ahli-ahli Troop 183 telah melakukan "Pipe the Side" untuk meraikan kehadiran tetamu kehormat dan mereka berjaya melakukannya dengan sangat baik. Ramai ahli-ahli troop yang diberi pengiktirafan di atas pencapaian mereka dalam bidang kokurikulum. Semoga pengiktirafan tersebut akan membantu meningkatkan semangat mereka untuk menjadi ahli Pengakap Laut yang lebih cemerlang, insyaAllah.


Jumaat, September 14, 2012

Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Troop 183 dan Kelana 'C' Kuala Lumpur


Sempena  Klinik Perahu Layar Troop 183, Krew telah mengambil inisiatif untuk menggunakan waktu malam hari Sabtu, 8 September 2012 untuk mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Troop 183 dan Kelana 'C' Kuala Lumpur di Pusat Latihan Persatuan Sukan Layar Selangor, Pantai Batu Laut. Pada tahun lalu, majlis ini telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul. Penyediaan juadah telah diaturkan oleh ahli-ahli krew. Juadah seperti nasi himpit, ketupat palas, sate, kuah lodeh, kuah kacang, sup ayam dan ungkep ayam telah dihidangkan kepada para hadirin. 


Turut menghadirkan diri ialah Encik Abdul Aziz bin Abas, Pengurus Persatuan Sukan Layar Selangor serta para jurulatih dan fasilitator perahu layar yang telah melatih ahli-ahli Troop 183 berlayar pada sebelah siangnya. Setiap patrol turut diminta membuat persembahan nyanyian lagu hari raya sebagai menggantikan Malam Pengakap. Secara umumnya, majlis tahun ini lebih berjaya dan meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan penglibatan lebih ramai hadirin dan makanan yang tidak terbuang. Tahniah kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. 

Selasa, September 11, 2012

Klinik Perahu Layar Troop Pengakap Laut 183 Kuala Lumpur


Krew telah menganjurkan program Klinik Perahu Layar Troop 183 bagi memberi peluang kepada ahli-ahli Troop 183 untuk mempelajari kemahiran pelayaran menggunakan perahu layar sekaligus memenuhi prasyarat Lencana Juragan Muda dan Lencana Ahli Perahu Layar. Program ini telah diadakan di Pantai Batu Laut, Banting, Selangor pada 8 dan 9 September 2012 yang lalu. Seramai 39 orang ahli Troop 183 telah mengambil bahagian dan melalui praktikal berperahu layar menggunakan perahu layar jenis laser dan optimist.