Khamis, Jun 28, 2012

Hari Terbuka Pusat Hidrografi Nasional 2012


Pusat Hidrografi Nasional akan mengadakan Hari Terbuka Pusat Hidrografi Nasional 2012 seperti berikut:

Tarikh: 30 Jun dan 1 Julai 2012
Lokasi: Pusat Hidrografi Nasiona, Pulau Indah, Klang, Selangor
Aktiviti: Gerai-gerai pameran, pameran peralatan dan perkhidmatan hidrografi, pertandingan paintball dan futsal

Pusat Hidrografi Nasional adalah salah satu cabang perkhidmatan Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) yang menghasilkan carta laut (nautical chart) dan jadual pasang surut (tide tables). Ahli-ahli krew yang berkelapangan adalah amat digalakkan untuk melawat acara ini.

Selasa, Jun 26, 2012

Perkhemahan Lencana Usaha/Ahli Bot dan Lencana Maju/Juragan Muda

Perkhemahan Lencana Usaha/Ahli Bot dan Lencana Maju/Juragan Muda bagi ahli-ahli Troop 183 akan diadakan di Kem Cangkat Budaya pada 13 hingga 15 Julai  2012 ini. Persiapan telah dibuat di KCB supaya perkhemahan dapat dijalankan dengan baik dan selesa.

Khamis, Jun 21, 2012

MIDE 2012 (Malaysian International Dive Expo)


7th MIDE 2012 (Malaysian International Dive Expo) akan diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) bermula pada 6 hingga 8 Julai 2012 ini. Ekspo ini akan mempamerkan pelbagai alatan dan pakej selaman scuba yang menarik dan kompetitif. Jangan lepaskan peluang ini untuk membeli alatan-alatan baru yang berkualiti pada harga yang menarik di samping mendapatkan pakej selaman scuba di destinasi-destinasi terindah dan meninjau peluang untuk meningkatkan pencapaian di dalam selaman scuba. 

Rabu, Jun 13, 2012

Sail Simulator 2010


Sail Simulator 2010 adalah suatu permainan komputer simulasi pelayaran yang menawarkan pelbagai jenis pelayaran sama ada kapal layar, perahu layar besar dan perahu layar kecil seperti laser. Pengguna simulasi ini akan dapat mempelajari pelbagai aspek berkaitan dengan pelayaran seperti angin dan arus selepas menggunakannya. Sail Simulator 2010 boleh digunakan secara online bagi membolehkan pertandingan dijalankan dengan pengguna di tempat lain di seluruh dunia. Simulasi pelayaran ini dibangunkan oleh Stentec Software dan diterbitkan oleh Iceberg Interactive. Ia bersesuaian untuk digunakan melalui Window XP atau Vista.

Selasa, Jun 12, 2012

Awan

Jenis-jenis awan

Awan merupakan salah satu daripada elemen yang amat penting di dalam ilmu kaji cuaca atau meteorologi. Secara fizikalnya, awan ialah sekumpulan titisan cecair atau kristal beku yang terbentuk daripada air dan pelbagai bahan kimia lain dan terapung di atmosfera bumi. Pembentukan awan berlaku menerusi dua cara seperti berikut:

Pembentukan awan

  1. Suhu udara akan meningkat apabila cuaca panas. Ini seterusnya menyebabkan lebih banyak air di muka bumi menyejat dan menambahkan bilangan wap air di dalam udara. Udara panas yang tepu dengan wap air ini akan naik ke aras yang tinggi. Apabila bertemu dengan lapisan yang mempunyai suhu lebih rendah, wap air itu akan mencair menjadi titisan air yang akan membentuk awan 
  2. Awan juga boleh terbentuk pada suhu biasa dengan syarat atmosfera mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Udara semakin lama akan semakin tepu dengan wap air

Setelah awan terbentuk, bilangan titisan air akan terus bertambah dan awan tersebut akan menjadi semakin berat. Daya tarikan graviti akan menyebabkan awan tersebut semakin ke bawah dan akhirnya turun ke muka bumi dalam bentuk titisan hujan. Namun begitu, sekiranya udara panas yang tepu dengan wap air itu bertemu dengan lapisan yang mempunyai suhu lebih tinggi, awan itu akan lenyap secara perlahan-lahan. Ini menyebabkan awan tersebut berubah bentuk secara perlahan-lahan.

Jenis-jenis awan mengikut ketinggian

Awan-awan dibahagikan kepada empat kategori di mana tiga daripadanya dibahagikan mengikut ketinggian iaitu awan tinggi, awan pertengahan dan awan rendah. Kumpulan awan tinggi berada pada ketinggian 6000 meter ke atas dan terdiri daripada awan sirrus, awan sirrostratus dan awan sirrokumulus. Awan pertengahan terletak di antara aras ketinggian 2000 meter hingga 6000 meter dan terdiri daripada awan altostratus dan awan altokumulus. Awan rendah pula terletak di bawah aras ketinggian 2000 meter dan terdiri daripada awan stratus, awan stratokumulus, awan nimbostratus dan awan kumulus. 

Awan kumulonimbus

Satu lagi kategori awan ialah awan menegak iaitu kumulonimbus yang sering membawa hujan lebat dan ribut petir. Awan kumulonimbus berada secara menegak dari ketinggian di atas 6000 meter hingga di bawah 2000 meter. Sekiranya awan kumulonimbus dilihat pada waktu pagi dan semakin menebal selepas itu, ini menandakan kemungkinan yang besar untuk berlakunya cuaca buruk. Terdapat juga awan yang jarang dapat dilihat iaitu awan arcus. Awan jenis ini akan muncul sebelum berlakunya ribut petir dan taufan. Ia mempunyai dua bentuk sama ada bertingkat-tingkat (shelf) atau bergulung (roll).

Isnin, Jun 11, 2012

Laporan Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 2/2012


Seperti yang dirancangkan, Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 2/2012 telah berjaya dijalankan dengan selamat pada 9 dan 10 Jun 2012 yang lalu. Seramai 30 orang peserta telah mengambil bahagian. Kursus kali ini, seperti kursus sebelumnya turut diketuai oleh Encik Mohamad Saom bin Liwon daripada Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur dengan dibantu oleh Encik Khirulniza Salleh. Pemimpin Krew dan ahli-ahli krew yang telah mempunyai Sijil Kayak Star Award 1 iaitu Saudara Salam dan Saudara Fadzreen telah berkhidmat sebagai pembantu dan fasilitator secara berkala.

Para peserta yang mengambil bahagian kebanyakannya dari Daerah Keramat. Krew-krew yang menghantar peserta ialah Krew Kelana 'A' WP Kuala Lumpur (Zonice), Krew Kelana 'C' WP Kuala Lumpur (Charlie), Krew Kelana 'C' Daerah Keramat (Cenderawasih), Krew Kelana 'D' Daerah Keramat (Duta), Krew Kelana 'J' Daerah Keramat (Jaguar), Krew Kelana 'S' Daerah Keramat dan Krew Kelana 'S' Daerah Sentul. Penyertaan dari pelbagai latar belakang dan bangsa juga merupakan isyarat yang baik ke arah pembangunan yang lebih mantap untuk Pengakap Laut di WPKL.

Seramai empat orang ahli krew telah menjadi peserta di dalam kursus ini iaitu Saudara Mohd Hafizal Azizudin, Saudara Mohd Hizam Che Rahim, Saudara Mohd Hilmi Mat Saad dan Saudari Nor Falzah Ishak. Walau bagaimanapun, Saudara Mohd Hizam tidak dapat menghadiri kursus hari kedua kerana komitmen kerja. Ujian khas untuk beliau akan diaturkan dalam masa terdekat. Keputusan penuh untuk ujian bertulis dan praktikal bagi kursus ini akan diumumkan oleh pihak Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur dalam masa 2 atau 3 minggu lagi.

Pemimpin Krew yang juga merupakan Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Pengakap Laut) berasa amat gembira dan berbesar hati dengan sambutan yang diberikan oleh warga Pengakap Kuala Lumpur kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Unit Pengakap Laut WPKL. Sambutan ini akan menjadi perangsang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti-aktiviti Pengakap Laut yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

Selasa, Jun 05, 2012

(Post Khas) Al-Fatihah Untuk Allahyarham Tuan Haji Abu Bakar bin Harun


Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kepada Pemimpin Krew, Tuan Haji Abu Bakar bin Harun telah kembali ke rahmatullah pada hari Isnin, 4 Jun 2012 yang lalu setelah dikesan menghidap penyakit leukemia sejak bulan November 2011 yang lalu. Beliau meninggal dunia di kediamannya di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir yang juga merupakan tapak latihan krew.

Semasa hayatnya, Allahyarham sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pembangunan krew, termasuk membenarkan krew menggunakan tanah beliau sebagai tapak kem dan memberikan bantuan kejurulatihan di dalam bidang pertolongan cemas dan trekking. Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Segala jasa dan sumbangan Allahyarham kepada krew akan sentiasa diingati.