Pemimpin Krew dan Encik Mohd Hizam bergambar bersama rakan Pengakap Laut dari Sabah (Encik Osman)
dan Sarawak (Encik Alvin) di depan Wisma Pengakap Kem Kijang :Sumber gambar Encik Alvin Johnson
Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Persekutuan Pengakap Malaysia telah menganjurkan buat-buat julung kalinya Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan PPM 2013 bertempat di Kem Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan pada 12 hingga 15 September 2013 yang lalu. Seorang Ahli Krew iaitu Encik Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim telah mengambil bahagian sebagai peserta. Pemimpin Krew telah bertugas sebagai Ketua Urusetia dengan dibantu oleh Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah, Jurulatih Jemputan Krew Encik Jamal Harim bin Abdullah serta Rakan Krew, Encik David Ong. Selain Encik Mohd Hizam, peserta lain daripada WP Kuala Lumpur ialah Jurulatih Jemputan Krew Encik Chan Zi-Lie dan Puan Stella Lai.
Program ini merupakan program bersepadu seumpamanya yang bertujuan memberi pendedahan kepada para Pemimpin Pengakap dan Ahli Kelana dari seluruh negara tentang proses dan kaedah pengurusan bencana alam. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjadi penganjur bersama dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Universiti Sains Malaysia. Selain sesi teori yang diadakan di Kem Kijang, turut diadakan ialah sesi praktikal sebanyak dua kali iaitu di muara sungai di Kuala Besar (kira-kira 6km dari Kem Kijang) dan di Pantai Seri Tujoh, Tumpat (kira-kira 31km dari Kem Kijang).
Bergambar beramai-ramai bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
selepas selesainya Majlis Perasmian
Yang Amat Setia Dato' Wan Mohd Nor bin Haji Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah hadir merasmikan pembukaan bengkel ini. Majlis penutupan pula disempurnakan sendiri oleh Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko), YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin. Seramai 70 orang peserta telah mengambil bahagian di dalam bengkel ini. Bengkel ini akan diadakan lagi buat kali kedua di lokasi yang sama pada tahun hadapan.

