Ceremonial

ISTIADAT VIGIL

Vigil adalah proses muhasabah diri yang perlu dilalui oleh seorang Bakal Kelana sebelum boleh dilantik secara rasmi sebagai Ahli Kelana. Semasa vigil, Bakal Kelana akan diberi ruang untuk bersendiri. Suatu helaian yang mengandungi soalan-soalan muhasabah diri akan dibekalkan kepada Bakal Kelana berserta sumber pencahayaan sama ada lilin, lampu suluh, pelita dan sebagainya. Setiap calon akan mempunyai kira-kira 30 minit hingga 1 jam untuk merenung kehidupan mereka. Terdapat juga Krew yang melakukan vigil secara berkelompok dengan dipandu oleh seorang pembimbing.


ISTIADAT PELANTIKAN 

Pelantikan Pengakap Kelana dijalankan sebagai simbol seseorang Bakal Kelana telah selesai menjalani latihannya dan telah sedia untuk dilantik secara rasmi sebagai seorang Kelana. Pelantikan biasanya dijalankan oleh Pemimpin Kelana. Dalam kes tertentu di mana beberapa Krew Kelana bergabung untuk menjalankan Istiadat Pelantikan, istiadat ini akan dijalankan oleh Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah (Unit Kelana). Bakal Kelana akan dipanggil ke hadapan Pemimpin dan akan ditanya beberapa soalan bagi membuktikan kefahamannya kepada prinsip berkelana. Selepas itu, Bakal Kelana akan diminta untuk memperbaharui Persetiaan Pengakap. Ini diikuti oleh pemakaian epolet Kelana oleh Pemimpin Kelana dan Penolong Pemimpin Kelana menandakan Bakal Kelana tersebut telah rasmi menjadi seorang Kelana.


ISTIADAT PANJI-PANJI 
(COLORS)

Istiadat Panji-panji atau Colors adalah istiadat yang dilakukan oleh komuniti pelaut bagi menandakan permulaan hari. Istiadat ini biasanya akan dijalankan pada jam 8.00 pagi setiap hari. Semua yang terlibat akan berada di tapak perhimpunan kira-kira 15 minit sebelum jam 8.00 pagi. Penjaga masa akan memaklumkan masa secara berperingkat sehingga sampai ke jam 8.00 pagi. Sebaik sahaja jam 8.00 pagi, penjaga masa akan memberi makluman diikuti oleh ketukan loceng sebanyak 8 kali. Ini akan diikuti oleh tiupan paip bosun "Still". Selesai tiupan, bendera akan dinaikkan diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku. Selepas itu, peniup paip bosun akan meniup "Carry On". Kemudian barulah akan diteruskan dengan istiadat Pengakap yang biasa di mana semua warga perhimpunan akan menyanyi lagu Negeri, lagu Pengakap Malaysia, memperbaharui Persetiaan Pengakap dan membaca doa. Pemimpin dan Penolong Pemimpin akan menyampaikan sepatah dua kata tentang sebarang isu yang relevan khasnya aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Selepas itu, semua orang akan bersurai. 


ISTIADAT SUNSET

Istiadat Sunset adalah istiadat yang dilakukan oleh komuniti pelaut bagi menandakan masa matahari terbenam. Dalam konteks Pengakap Laut Malaysia, istiadat ini biasa dilakukan sekitar jam 6.30 petang. Istiadat ini memerlukan seorang peniup bosun dan dua orang penurun bendera. Peniup bosun akan meniup "Still" bagi menandakan istiadat ini akan bermula. Semua yang berada di sekitar kawasan tersebut hendaklah berdiri tegak. Penurun bendera akan menurunkan bendera. Sebaik sahaja bendera sampai di bawah, peniup bosun akan meniup "Carry On" bagi membolehkan semua orang meneruskan tugas masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan