Isnin, Disember 31, 2012

Tinjauan Ke Pantai Bagan Lalang, Sepang

Panorama di Pantai Bagan Lalang. Kelihatan di dalam gambar ini ialah chalet-chalet 
Sepang Gold Coast yang terletak berhampiran dengan kawasan perkelahan

Krew telah mengadakan tinjauan ke Pantai Bagan Lalang pada hari Ahad, 30 Disember 2012 sebagai salah satu persediaan untuk mengadakan ekspedisi memancing ke pantai ini dalam masa terdekat. Tinjaun ini diketuai oleh Jurulatih Jemputan Krew (Memancing dan Mengendalikan Bot), Encik Norfian Nazir dan turut disertai oleh Pemimpin Krew, Pengurus Aset Krew dan seorang ahli Troop 183 yang berkelapangan. 

Kompleks tandas awam yang terdapat di dalam kawasan Kem Dato' Seri Dr. Shafie Salleh

Pantai Bagan Lalang sangat sesuai untuk mengadakan aktiviti memancing. Ahli-ahli Pengakap Laut boleh berkhemah di tepi pantai yang luas, rata dan redup. Tandas awam ada disediakan di dalam kawasan Kem Pengakap Dato' Seri Dr. Shafie Salleh iaitu Kem Pengakap Kebangsaan yang terdapat di Pantai Bagan Lalang ini. Kawasan ini turut dilengkapi dengan warung menjual makanan, gerai-gerai pakaian dan surau.

Zon pasar segar di Pantai Bagan Lalang

Terdapat zon pasar segar berhampiran dengan tapak perkhemahan yang menjual ikan-ikan segar dan umpan memancing seperti umpun-umpun. Zon pasar segar ini terletak berhampiran dengan jeti nelayan. Dari jeti ini, mereka yang inginkan cabaran berbeza boleh menaiki bot untuk pergi ke kelong, Terdapat beberapa kelong yang dibina di luar pantai Bagan Lalang dan menjadi destinasi para pemancing. Selain itu, beberapa restoran makanan laut turut beroperasi di sini.

Salah satu kelong yang terdapat di Bagan Lalang

Ekspedisi memancing ini ialah salah satu daripada prasyarat Lencana Juragan Muda di mana ahli-ahli Pengakap Muda Laut hendaklah pergi mengikuti ekspedisi memancing selama 2 hari 1 malam di bawah pengawasan orang dewasa dan merekodkan hasil tangkapan. Antara ikan yang boleh diperolehi di kawasan ini ialah ikan siakap. 

Jeti nelayan Bagan Lalang semasa air sedang surut

Rabu, Disember 26, 2012

Pendakian Ke Bukit Tabur (East)


Bergambar beramai-ramai setelah berjaya menawan puncak Bukit Tabur (East)

Setelah beberapa lama tidak menjalankan aktiviti mendaki, krew telah menganjurkan pendakian ke Bukit Tabur (East) pada 25 Disember 2012. Bukit Tabur (East dan West) terletak di Taman Melawati, Hulu Klang berhampiran dengan Zoo Negara dan merupakan sebahagian daripada banjaran lembangan kuarza sepanjang 14 kilometer iaitu lembangan kuarza yang terpanjang di dunia.

Melintasi sungai untuk memulakan pendakian

Aktiviti ini juga dijalankan bagi membantu beberapa orang ahli Pengakap Muda dan Pengakap Muda Laut yang ingin memenuhi prasyarat Lencana Jaya iaitu mendaki bukit. Aktiviti pendakian ini diketuai oleh Koordinator Mendaki Gunung Krew, Saudara Mohd Samat bin Abdul Hamid selaku guide. Beliau dibantu oleh ahli-ahli krew iaitu Pemimpin Krew, 1st Mate, Saudara Mohd Norfardrol Marsharp Mohd Sharip; 2nd Mate, Saudara Mohd Ariff bin Mohd Tajudin; Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah binti Mohd Shah; Koordinator Perkhidmatan Krew, Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad dan ahli krew, Saudari Sharita Fardeyra binti Mohd Sharip. Seramai 10 orang ahli-ahli Pengakap Muda dan Pengakap Muda Laut telah turut sama mengambil bahagian.

Berehat sebentar ketika dalam pendakian

Selain daripada mendaki, para peserta turut ditugaskan untuk menyelesaikan satu lagi prasyarat Lencana Jaya iaitu menjalankan kajian isi bumi (geologi) di mana mereka telah membuat kajian terhadap kristal kuarza yang ditemui di atas Bukit Tabur sepanjang pendakian ini. Lembangan kuarza di atas Bukit Tabur adalah unik kerana ia dikelilingi oleh kawasan berbatu kapur. Ini menyebabkan kawasan ini turut dikenali dengan nama "tulang belakang naga". 

Antara kristal kuarza yang terdapat di lereng Bukit Tabur

Empangan Klang Gates dari puncak Bukit Tabur

Bandaraya Kuala Lumpur dari puncak Bukit Tabur

Pendakian dimulakan dari bahagian sebelah kanan Empangan Klang Gates. Pendakian ke puncak agak curam tapi mempunyai tempat berpijak yang agak banyak. Cuaca mendung sejak mula berkumpul di Wangsa Maju lagi tetapi kami bernasib baik kerana tiada hujan turun. Cuaca sebegini sangat membantu kerana para peserta tidak cepat keletihan dan tidak terdedah kepada risiko batu yang licin atau tanah yang berlopak yang berpotensi menyebabkan kecederaan dan kemalangan.

Para peserta mendaki puncak terakhir Bukit Tabur

Bergerak turun setelah melepaskan penat di puncak Bukit Tabur

Tiba di kaki Bukit Tabur yang merupakan kawasan dusun dan perumahan

Setelah melalui pendakian naik dan turun beberapa kali, akhirnya kami tiba ke puncak terakhir yang paling sukar kerana kondisinya yang sangat curam. Namun begitu, dengan tali yang disediakan dan sikap peserta sendiri yang berhati-hati dan berdisiplin, mereka berjaya juga tiba ke puncak tersebut sekitar tengah hari. Setelah mengambil masa untuk berehat, bergambar dan menikmati pemandangan, kami bergerak turun melalui laluan yang lain dan keluar di kawasan dusun di kaki bukit tersebut. Para peserta memperuntukkan sedikit masa untuk mandi sungai sebelum bergerak ke Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati untuk Solat Zuhur. Acara pendakian ini ditutup dengan makan tengah hari beramai-ramai di medan selera Taman Melawati. Kami amat bersyukur kerana tiada masalah atau kecederaan berlaku sepanjang pendakian ini. .

Bukit Tabur (East) yang baru sahaja dituruni

Mandi sungai di kaki Bukit Tabur setelah selamat turun

Isnin, Disember 24, 2012

Jamuan Perkahwinan Encik Chan Zi-Lie


Krew telah menerima jemputan daripada Encik Chan Zi-Lie, Jurulatih Jemputan Krew (Pertolongan Cemas dan Menyelamat Nyawa) untuk menghadiri jamuan perkahwinan beliau di Rumahku Gallery & Cafe, Jalan Universiti, Petaling Jaya pada malam hari Ahad, 23 Disember 2012 yang lalu. Beliau berkahwin dengan isterinya, Puan Elaine pada bulan Mac 2012 yang lalu dan tidak berkesempatan untuk mengadakan jamuan bagi rakan-rakan terutamanya yang beragama Islam. Oleh itu, jamuan ini diadakan dan menyediakan makanan vegetarian untuk dinikmati semua. Krew diwakili oleh Pemimpin Krew; 2nd Mate, Encik Mohd Ariff Mohd Tajudin; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah; Koordinator Penyelamat Nyawa Krew, Saudara Tan Cheng Yee dan tiga orang ahli Troop 183 yang berkesempatan untuk hadir. Semoga kedua-dua mereka kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.

Majlis Perkahwinan Saudara Hizam


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Teknikal Krew, Saudara Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim di atas majlis perkahwinan beliau dengan pilihan hatinya, Nurulashikin binti Md Sidik pada 22 Disember 2012 yang lalu bertempat di Muar, Johor Darul Takzim. Krew telah diwakili oleh 3rd Mate, Puan Rohani Haji Ahmad dan Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin. Seluruh warga krew mendoakan agar perkahwinan mereka berdua diberkati dan kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.

Selasa, Disember 18, 2012

Langkawi 1Malaysia International Geopark & Maritime Scout Jam-Moot

Kontinjen PPMWPKL bergambar di gangway KD Perantau yang berlabuh di Pangkalan TLDM Langkawi

Langkawi 1Malaysia International Geopark & Maritime Scout Jam-Moot 2012 telah diadakan di Oriental Village, Pantai Kok, Langkawi bermula pada 12 hingga 17 Disember 2012. Pemimpin Krew dan Pengurus Aset Krew telah menyertai kontinjen PPMWPKL ke jambori ini walaupun hadir agak lewat iaitu pada 14 Disember 2012. Kontinjen PPMWPKL kali ini telah diketuai oleh Cikgu Mohd Firdaus dari SK Bandar Tasik Selatan; Kekuatan kontinjen ialah seramai 30 orang.

Selasa, Disember 11, 2012

Tahniah Kepada Puan Farah Ashikin


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli krew, Puan Farah Ashikin binti Mohd Radi di atas kelahiran putera sulungnya dengan berat 3 kilogram pada jam 10.10 pagi semalam, 10 Disember 2012 di Ipoh. Beliau menamakan anak sulungnya dengan nama Adam Asyraf bin Muhammad Khairul Aflah. Semoga kehadiran warga baru di dalam keluarga akan menambahkan lagi keceriaan dan keberkatan keluarga ini.

Isnin, November 26, 2012

Perkhemahan Khas Lencana Ahli Bot, Pengembaraan, Tukang Masak & Komunikasi

Perkhemahan Khas Lencana Ahli Bot, Pengembara, Tukang Masak dan Komunikasi telah diadakan di Kem Cangkat Budaya pada 23 hingga 25 November 2012 yang lalu. 

Ahad, November 25, 2012

Pertunangan Pengerusi Krew

Bergambar bersama Saudara Mohd Hafizal dan Saudari Nor Falzah di majlis tersebut

Sukacita dimaklumkan bahawa Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin telah mengikat tali pertunangan bersama ahli Krew, Saudari Nor Falzah binti Ishak pada hari Sabtu, 24 November 2012 bertempat di kediaman Saudari Nor Falzah di Sungai Udang, Klang. Pemimpin Krew telah berkesempatan menghadiri majlis ini bersama 2nd Mate dan Storekeeper Krew. Seluruh warga Kuala Lumpur Charlie Rovers mendoakan agar perjalanan pasangan ini ke jinjang pelamin berjalan lancar dan sentiasa dirahmati. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kedua-duanya.

Selasa, November 13, 2012

Latihan Pertama Open Water Diving Sesi 2012/2013

Krew sekali lagi telah membuka peluang kepada ahli-ahli yang berminat untuk mengambil lesen Open Water Diving bagi sesi tahun ini pada 10 November 2012 yang lalu bertempat di Pusta Akuatik TUDM, Sg Besi. Seramai empat orang ahli krew telah mengambil bahagian. Mereka turut membawa beberapa orang rakan yang bukan di kalangan Pengakap untuk sama-sama menjalani latihan bagi mendapatkan lesen ini. Ahli-ahli yang telah mempunyai lesen Open Water Diving turut turun berlatih bagi menyediakan diri untuk mengikuti latihan Advance Open Water Diving yang bakal dijalankan pada awal tahun depan. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan ahli-ahli dapat berlatih dengan baik.

Isnin, November 12, 2012

Laporan Perkhemahan Khas Lencana Usaha

Perkhemahan Khas Lencana Usaha telah dijalankan di Kem Cangkat Budaya pada 9 hingga 10 November 2012 yang lalu dan disertai oleh 12 orang ahli Pengakap dari Troop 163 dan Troop 183 Kuala Lumpur. Perkhemahan ini diadakan di atas permintaan ahli-ahli Pengakap ini sendiri dengan kebenaran ibu bapa masing-masing bagi mengulangkaji prasyarat-prasyarat Lencana Usaha dan memahirkan diri mereka dalam kemahiran-kemahiran yang berkenaan. Mereka turut menjalani pengembaraan pendek 8 kilometer dengan diawasi oleh ahli-ahli krew dan menyelesaikan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan. 


Rabu, November 07, 2012

Latihan Open Water Diving dan Advance Diving


Latihan Open Water Diving dan Advance Diving akan di Pusat Akuatik TUDM Sungai Besi pada hari Sabtu ini, 10 Disember 2012 mulai jam 2.30 petang. Ahli-ahli yang telah menyediakan wang pendaftaran boleh membuat bayaran terus kepada jurulatih. Jika tidak, wang pendaftaran sekurang-kurangnya RM300 hendaklah dibayar sebelum 30 Disember 2012. Selebihnya boleh dijelaskan semasa trip diving ke Pulau Perhentian dalam bulan Mac atau April 2013 nanti. Semoga lebih ramai ahli krew akan memperolehi lesen Open Water Diving pada tahun ini. Begitu juga dengan lesen Advance Diving.

Selasa, November 06, 2012

Perkhemahan Khas Lencana Usaha



Perkhemahan Khas Lencana Usaha akan diadakan di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada hujung minggu ini (9 hingga 11 November 2012). Perkhemahan ini adalah di atas permintaan beberapa orang ahli Pengakap yang berminat untuk menyelesaikan ujian lencan mereka. Para peserta ialah dari SMK Bandar Baru Sentul (Troop 183) dan SMK Bukit Bandaraya (Troop 163). 

Isnin, November 05, 2012

Menerima Tauliah Selaku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan


Pemimpin Krew telah menerima tauliah rasmi daripada Persekutuan Pengakap Malaysia untuk perlantikan semula sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Tugas-Tugas Khas - Pengakap Laut). Tauliah tersebut telah disampaikan oleh YB. Dato' Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara bertempat di Lipis Plaza Hotel, Kuala Lipis pada 4 November 2012 yang lalu sempena Mesyuarat Khas Bersama Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.

Serentak dengan itu, tanda pangkat yang baru untuk Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan telah turut dipakaikan untuk menggantikan tanda pangkat yang lama bagi mengelakkan kekeliruan. Turut diadakan semasa majlis ini ialah program menanam pokok di sebelah Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis. Sea Dad yang sepatutnya sama-sama menghadiri majlis ini bagi menerima tauliah sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Pengakap Laut) telah terpaksa membatalkan kehadirannya pada saat-saat akhir disebabkan berlakunya kecemasan di kalangan ahli keluarga beliau yang terlibat dengan banjir di Parit Sulong, Johor. Semoga pembaharuan tauliah ini akan menyemarakkan lagi pembangunan Pengakap Laut di Malaysia.

Selasa, Oktober 23, 2012

Master and Commander: The Far Side of the World


Master and Commander: The Far Side of the World adalah berkisar tentang Perang Nepoleon pada 1805 dengan watak utamanya ialah Kapten "Lucky Jack" Aubrey yang mengetuai HMS Surprise mengeluarkan arahan kepada anak kapalnya untuk memburu kapal privateer Perancis, Archeron. Filem ini mempamerkan banyak tradisi-tradisi Tentera Laut di zaman awal, organisasi kapal, tradisi kepelautan dan lain-lain lagi. Setelah melalui pertempuran yang panjang di laut, HMS Surprise berjaya mengalahkan angkatan laut Perancis dan merampas Archeron.

Sabtu, Oktober 20, 2012

Sistem Boya IALA (Siri 1)

Penanda port di perairan Tanjung Pelepas, Johor

Boya sisi (lateral buoy) mengikut definisi International Association of Lighthouse Authorities (IALA) adalah penanda laut yang digunakan untuk navigasi maritim bagi menandakan bahagian tepi sesebuah laluan. Setiap penanda (mark) menunjukkan bahagian tepi bagi laluan yang selamat dalam terma port (sebelah kiri) atau starboard (sebelah kanan). Sesebuah bot/kapal yang sedang memasuki pelabuhan dan  ingin mengekalkan posisi dalam laluan utama hendaklah sentiasa memastikan bahawa penanda port hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bot/kapal manakala penanda starboard hendaklah sentiasa berada di sebelah kanan bot/kapal. Apabila terdapat kekeliruan arah dalam sesuatu zon, penanda cardinal akan digunakan bagi menunjukkan laluan yang selamat. 

Saiz penanda relatif kepada ketinggian pagar

Penanda dibezakan oleh bentuk dan warna, sama ada hijau atau merah. Disebabkan faktor sejarah, terdapat dua sistem berbeza yang digunakan di seluruh dunia yang mana perbezaannya terletak pada warna. Sebelum diseragamkan oleh IALA, terdapat 30 sistem yang berbeza diamalkan di seluruh dunia. Selepas IALA bersidang pada 1980, sebuah negara anggota bersetuju menerima sistem bersepadu yang baru iaitu Rantau A dan Rantau B. Rantau A merangkumi negara-negara Eropah, Australia, New Zealand, sebahagian besar Afrika serta sebahagian besar Asia (selain Filipina, Jepun dan Korea). Rantau B pula merangkumi negara-negara Amerika Utara, Amerika Tengah, Amerika Selatan, Filipina, Jepun dan Korea.

Penanda port (sebelah kiri) dan penanda starboard (sebelah kanan) bagi Rantau A

Penanda port (sebelah kiri) dan penanda starboard (sebelah kanan) bagi Rantau B

Bagi Rantau A, penanda port berwarna merah dan mempunyai kerlipan lampu merah pada sebarang rentak. Penanda starboard pula berwarna hijau dan mempunyai kerlipan lampu hijau pada sebarang rentak. Bagi Rantau B pula, penanda port berwarna hijau dan mempunyai kerlipan lampu hijau pada sebarang rentak. Penanda starboard pula berwarna merah dan mempunyai kerlipan lampu merah pada sebarang rentak. Di kedua-dua rantau, penanda port biasanya berbentuk segi empat atau mempunyai bahagian atas yang rata. Penanda starboard pula berbentuk kon (atau pada masa kini berbentuk segi tiga) dan mempunyai bahagian atas yang menumpu.

Perbezaan kaedah mengenali penanda antara waktu siang (warna dan bentuk) dengan waktu malam (kerlipan lampu)

Bentuk penanda adalah amat penting kerana warna agak sukar dibezakan dalam sesetengah keadaan. Begitu juga apabila melibatkan individu yang mempunyai rabun warna merah-hijau. Penanda juga biasa dilabelkan secara unik sama ada menggunakan huruf atau nombor di mana label ini akan digunakan untuk mengenalpasti penanda tersebut di atas carta nautika. Selain itu, lampu penanda juga akan berkelip mengikut rentaknya sendiri yang unik bagi tujuan yang sama.

Selasa, Oktober 09, 2012

Tahniah Kepada Semua Penerima Manikayu

Sea Dad sedang dikalungkan dengan manikayu empat butir oleh Pesuruhjaya Latihan Negara

4th Mate, Saudara Abdullah Sani (kiri) dan Koordinator Selaman Skuba Krew, Saudara Mohd Fikri bin Rusni (kanan) 
sedang dikalungkan dengan manikayu dua butir (Unit Kelana) oleh Pesuruhjaya Latihan Negara 

Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Penasihat Krew (Sea Dad), Encik Khamaruzaman bin Samsudin yang telah dikalungkan dengan manikayu empat butir sekaligus menjadi Jurulatih Antarabangsa semasa Kursus Kepimpinan Asas Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan 2012 pada 5 hingga 7 Oktober yang lalu. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Penolong Pemimpin Krew (4th Mate), Saudara Abdullah Sani Hillaluddin dan Koordinator Selaman Skuba Krew, Saudara Mohd Fikri bin Rusni yang telah dikalungkan dengan manikayu dua butir (Unit Kelana) di dalam kursus yang sama. Setelah menanti agak lama dan melalui pelbagai dugaan, pengalungan manikayu ini adalah suatu pencapaian yang amat bermakna bagi semua yang terlibat. Semoga Penasihat Krew akan terus menerajui pembangunan Pengakap Laut di Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Sabtu, September 22, 2012

Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum SMK Bandar Baru Sentul


SMK Bandar Baru Sentul telah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum pada 22 September 2012 yang lalu bertempat di Dewan Terbuka SMK Bandar Baru Sentul. Acara ini telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YB. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman. Pemimpin Krew telah menerima sijil dan trofi penghargaan mewakili krew selaku Jurulatih Jemputan Troop Pengakap Laut 183.


Ahli-ahli Troop 183 telah melakukan "Pipe the Side" untuk meraikan kehadiran tetamu kehormat dan mereka berjaya melakukannya dengan sangat baik. Ramai ahli-ahli troop yang diberi pengiktirafan di atas pencapaian mereka dalam bidang kokurikulum. Semoga pengiktirafan tersebut akan membantu meningkatkan semangat mereka untuk menjadi ahli Pengakap Laut yang lebih cemerlang, insyaAllah.


Jumaat, September 14, 2012

Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Troop 183 dan Kelana 'C' Kuala Lumpur


Sempena  Klinik Perahu Layar Troop 183, Krew telah mengambil inisiatif untuk menggunakan waktu malam hari Sabtu, 8 September 2012 untuk mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Troop 183 dan Kelana 'C' Kuala Lumpur di Pusat Latihan Persatuan Sukan Layar Selangor, Pantai Batu Laut. Pada tahun lalu, majlis ini telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul. Penyediaan juadah telah diaturkan oleh ahli-ahli krew. Juadah seperti nasi himpit, ketupat palas, sate, kuah lodeh, kuah kacang, sup ayam dan ungkep ayam telah dihidangkan kepada para hadirin. 


Turut menghadirkan diri ialah Encik Abdul Aziz bin Abas, Pengurus Persatuan Sukan Layar Selangor serta para jurulatih dan fasilitator perahu layar yang telah melatih ahli-ahli Troop 183 berlayar pada sebelah siangnya. Setiap patrol turut diminta membuat persembahan nyanyian lagu hari raya sebagai menggantikan Malam Pengakap. Secara umumnya, majlis tahun ini lebih berjaya dan meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan penglibatan lebih ramai hadirin dan makanan yang tidak terbuang. Tahniah kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. 

Selasa, September 11, 2012

Klinik Perahu Layar Troop Pengakap Laut 183 Kuala Lumpur


Krew telah menganjurkan program Klinik Perahu Layar Troop 183 bagi memberi peluang kepada ahli-ahli Troop 183 untuk mempelajari kemahiran pelayaran menggunakan perahu layar sekaligus memenuhi prasyarat Lencana Juragan Muda dan Lencana Ahli Perahu Layar. Program ini telah diadakan di Pantai Batu Laut, Banting, Selangor pada 8 dan 9 September 2012 yang lalu. Seramai 39 orang ahli Troop 183 telah mengambil bahagian dan melalui praktikal berperahu layar menggunakan perahu layar jenis laser dan optimist.


Selasa, Ogos 07, 2012

Laporan Iftar Ramadhan Kuala Lumpur Charlie Rovers 1433H


Iftar Ramadhan Kuala Lumpur Charlie Rovers telah berjaya diadakan sekali lagi bagi tahun 1433H (2012) ini. Pada awalnya, lokasi yang dirancang ialah Restoran Johnny's. Walau bagaimanapun, disebabkan kurang sesuai dan agak mahal, lokasi telah diubah ke lokasi tahun lalu iaitu di Pizza Hut, Jusco AU2, Setiawangsa. Seramai 14 orang termasuk associates krew telah menghadirkan diri ke majlis ini. 


Rabu, Ogos 01, 2012

Iftar Ramadhan Kuala Lumpur Charlie Rovers 1433H


Krew akan menganjurkan Iftar Ramadhan Kuala Lumpur Charlie Rovers 1433H bertempat di Restoran Johnny's, Jusco AU2, Setiawangsa pada hari Ahad, 5 Ogos 2012. Waktu berkumpul ialah pada jam 5.30 petang. Semua ahli krew dan rakan-rakan krew dijemput menghadiri majlis ini. Majlis juga terbuka kepada yang tidak beragama Islam. Anggaran kos ialah kira-kira RM20 seorang. Harap maklum. 

Selasa, Julai 31, 2012

Penganugerahan Lencana Troop Pengakap Laut 183


Enam orang ahli Troop Pengakap Laut 183 yang telah memenuhi semua prasyarat penganugerahan lencana termasuk menyiapkan buku log telah dianugerahkan dengan lencana masing-masing semasa perhimpunan mingguan SMK Bandar Baru Sentul pada hari Isnin, 30 Julai 2012 yang lalu. Kesemua lencana telah dianugerahkan oleh Jurulatih Jemputan Troop 183, Encik Mohd Hilmi Abu Bakar dengan disaksikan oleh Penyelia Sesi Petang dan guru-guru yang lain.


Selepas itu, semua penerima lencana telah bergambar beramai-ramai dengan Pemimpin dan Jurulatih Jemputan Troop 183. Tahniah kepada semua penerima lencana, semoga lebih bersemangat untuk maju ke hadapan dalam kepengakapan. :)

Isnin, Julai 30, 2012

Basic Occupational First Aid & CPR Training Course


Melalui iklan yang disiarkan di Groupon, Pemimpin Krew, Encik Mohd Hilmi Abu Bakar dan Jurulatih Jemputan Krew, Encik Chan Zi-Lie, telah mengambil peluang untuk menyertai Basic Occupational First Aid & CPR Training yang dianjurkan oleh MSE Academy Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang diberi tauliah untuk menganjurkan kursus ini bagi golongan profesional bertempat di premis mereka di Pusat Perdagangan Centrepoint, Seksyen 26, Shah Alam pada 28 dan 29 Julai 2012 yang lalu.


Kursus selama 2 hari ini turut disertai oleh 10 orang lagi peserta daripada pelbagai latarbelakang dan merangkumi pelbagai jenis pertolongan cemas untuk senario yang berbeza. Para peserta turut didedahkan dengan elemen praktikal bagi melengkapkan teori yang disampaikan. Kursus ini diakhiri dengan ujian praktikal untuk dua senario iaitu kemalangan jalan raya dan kebakaran dalam bangunan serta ujian teori bertulis. Keputusan akan diumumkan dalam 21 hari waktu bekerja. Secara keseluruhannya, kursus ini memberi banyak pendedahan baru dan amat berjaya. 

Ahad, Julai 29, 2012

Saudari Ika Kemalangan

Dukacita dimaklumkan bahawa Saudari Suraya Ika binti Tamrin, Koordinator Pelayaran Krew telah mengalami kemalangan apabila kereta yang dipandu oleh beliau dilanggar dari belakang pada hari Sabtu, 28 Julai 2012 yang lalu. Beliau telah dimasukkan ke dalam wad di Hospital Banting akibat kecederaan pada kepala. Diharap agar semua ahli krew dapat mendoakan kesihatan beliau.

Sabtu, Julai 21, 2012

Selamat Menjalani Ibadah Puasa 1433H


Kepimpinan krew Kuala Lumpur Charlie Rovers ingin mengucapkan salam Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa bagi tahun 1433H kepada semua warga Pengakap Malaysia yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini dapat menjadi medan untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan kualiti ibadah dan menjadi ahli Pengakap yang lebih mantap pada masa depan.

Rabu, Julai 18, 2012

Perkhemahan Lencana Maju/Juragan Muda & Lencana Usaha/Ahli Bot Troop 183 2012


Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul telah mengadakan Perkhemahan Lencana Maju/Juragan Muda dan Lencana Usaha/Ahli Bot bertempat di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada 13 hingga 15 Julai 2012 yang lalu. Perkhemahan ini telah dijalankan sepenuhnya di bawah pengawasan Pasukan Kelana 'C' Laut Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur.