Khamis, Januari 27, 2011

Seminar Sehari Pengakap Laut Kuala Lumpur

Kumpulan Pengakap Kelana Laut "C" Ibu Pejabat WP Kuala Lumpur telah mengadakan Seminar Sehari Pengakap Laut Kuala Lumpur bertempat di SMK Victoria, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Victoria Institution pada 16 Januari 2011 yang lalu. Seminar ini diadakan mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan disertai oleh 52 orang peserta termasuk 3 orang pengunjung dari Pengakap Laut Singapura.

Pendaftaran pada pagi hari telah dikendalikan oleh saudari Rosbiah Mohd Shah, saudari Sharifah Nur Fatihah, saudari Nurnadia Shafika dan saudari Julia Jasmin. Cikgu Rohani sekeluarga telah menjalankan tugas yang sangat baik di kantin dengan memasak air dan menguruskan pembahagian makanan untuk minum pagi dan makan tengah hari. Saudara Mohd Hafizal @ Duta telah bertugas mengambil makanan daripada peniaga di Jalan Hang Tuah.

Sesi-sesi ceramah dalam seminar ini telah disampaikan oleh beberapa penceramah iaitu Skipper sendiri, Penolong Pesuruhjaya Negeri Perak (Pengakap Kelana): Lt. Kdr. Mohd Zulhilmi bin Jamaludin, 1st Mate: saudara Mohd Norfardrol Marshar Mohd Sharip, 2nd Mate: saudara Mohd Ariff Mohd Tajudin, 4th Mate: saudara Abdullah Sani Hillaluddin dan saudara Izhar Mat Isa.

Terdapat sembilan sesi yang telah dibentangkan dalam seminar ini seperti yang disenaraikan di bawah:
  1. Sejarah Pengakap Laut Sedunia
  2. Senario Pengakap Laut Malaysia
  3. Pembukaan dan Pengurusan Troop Pengakap Laut
  4. Pakaian Seragam Pengakap Laut
  5. Seamanship (Technical)
  6. Seamanship (Recreational)
  7. Activities for Boys
  8. Adult Resource Development
  9. Way Forward After Sea Scouting
Keseluruhan seminar berjalan dengan baik. Pameran Pengakap Laut telah diadakan di bahagian belakang dewan seminar dan menarik perhatian para peserta. Pameran ini diuruskan oleh ahli-ahli krew wanita yang telah memberi bantuan penuh sepanjang penganjuran seminar ini. Turut membantu secara intensif adalah Penolong Pesuruhjaya Negeri WP Kuala Lumpur (Pengakap Kelana), Encik Abdul Jalil Abdul Samad dan ahli krew yang juga Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri (Pengakap Kanak-kanak), Cikgu Ahmad Hilmi. Mereka telah menyediakan PA System dan stesen radio amatur di kawasan pameran.

Untuk minum pagi, para peserta dihidangkan dengan nasi lemak, kuih muih dan air teh 'o' panas. Manakala untuk makan tengah hari, makanan yang disediakan adalah nasi ayam dan air sirap ais. Rata-rata peserta berpuas hati dengan kualiti makanan yang disediakan semasa seminar ini. Perasmian penutupan seminar ini telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur, Mejar (B) Haji Mior Rosli bin Dato' Mior Mohd Jaafar. Semua peserta menerima sijil penyertaan masing-masing.

Seminar ini adalah yang pertama seumpamanya dijalankan di Malaysia bagi memperkenalkan Pengakap Laut dengan lebih lanjut kepada para Pemimpin Pengakap. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan supaya seminar ini boleh dijalankan dengan lebih mantap dan sempurna pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, secara asasnya semua pihak berpuas hati dengan perjalanan seminar ini. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua ahli krew yang telah memberi komitmen penuh dan bekerja kuat dalam memastikan kejayaan seminar ini. KL Charlie Rovers is the best!

Persiapan Bahan Pameran di KCB

Poster pameran yang telah siap

Menjelang Seminar Sehari Pengakap Laut Kuala Lumpur yang bakal diadakan di SMK Victoria pada 16 Januari 2011, beberapa orang ahli krew telah meluangkan masa untuk membuat persediaan bahan-bahan pameran seminggu sebelum seminar dijalankan iaitu pada 8 dan 9 Januari 2011 bertempat di Kem Changkat Budaya atau KCB.

2nd Mate dan 4th Mate sedang menyediakan plastik untuk membalut poster

Sempena seminar ini, Skipper dengan dibantu oleh 2nd Mate, saudara Mohd Ariff Mohd Tajudin, 4th Mate, saudara Abdullah Sani Hillaluddin dan Yeoman, saudari Rosbiah Mohd Shah telah menyediakan set poster baru yang lebih baik dan boleh digunakan dalam jangka masa panjang. Info yang dicetak di atas kertas A4 telah ditampal pada kadbod. Satu kadbod boleh memuatkan lapan helai kertas A4. Kadbod ini kemudiannya dibalut dengan plastik tebal supaya tidak mudah rosak.

Yeoman sedang menampal info pada kadbod poster

Setelah bekerja keras, sepuluh keping poster yang memuatkan pelbagai topik telah berjaya disiapkan. Antara tajuk-tajuk yang telah dimuatkan adalah Sejarah Pengakap Laut Sedunia, Isyarat Bendera Semaphore, Bosun's Call, Info Scuba Diving, Kod Morse, Kod Fonetik, Bendera INTERCO dan lain-lain lagi. Krew akan terus membuat poster-poster baru pada masa akan datang bagi memuatkan tajuk-tajuk yang lain. Semoga poster-poster ini kelak akan menjadi saluran informasi yang berkesan untuk pengunjung pameran.

Isnin, Januari 03, 2011

Ship Simulator


Poster Ship Simulator 2008 (dipetik daripada Wikipedia.org)

Ship Simulator adalah suatu permainan komputer simulasi kenderaan yang menyediakan simulasi pengendalian pelbagai jenis kapal di dalam persekitaran yang berbeza. Permainan komputer ini dibangunkan oleh VSTEP, sebuah syarikat Belanda dan dikeluarkan oleh Lighthouse Interactive. Dilampirkan adalah video promosi Ship Simulator 2008.