Isnin, Oktober 28, 2013

Malam Apresiasi Pelaut Muda Troop 183 Kali Pertama 2013

Para hadirin bergambar beramai-ramai setelah selesainya majlis tersebut

Troop Pengakap Laut 183 dengan kerjasama Pasukan Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Malam Apresiasi Pelaut Muda Troop 183 2013. Majlis ini diadakan bertujuan meraikan ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183, para Pemimpin dan Ahli Kelana 'C' Laut WP Kuala Lumpur serta para ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan selama ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Ruzaimah binti Zainal Abidin, Guru Penolong Kanan (HEM) SMK Bandar Baru Sentul yang juga merupakan seorang ahli Pengakap semasa beliau masih menuntut di UPM pada tahun 80-an yang lalu.


Ahli-ahli Troop 183 turut menerima Lencana Kemajuan mengikut pencapaian masing-masing sama ada Usaha/Ahli Bot, Maju/Juragan Muda atau Jaya/Juragan. Seramai lapan orang telah menerima Rambu Pengakap Muda Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara iaitu Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi, Muhammad Adi Ruzaini bin Zainal, Amierul Firdaus bin Azwanizam, Syed Mirza Faeiz bin Syed Muzlin, Kamal Ariff bin Kamal Affandi, Riky Danieal bin Misman, Muhammad Khairul Aman bin Baharom dan Saiful Armin bin Izhar. Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan di mana lima hadiah berbeza telah disumbangkan oleh warga Krew. Hadiah-hadiah tersebut berupa jaket keselamatan (buoyancy aid), beg tidur (sleeping bag), set alatan memasak, peti pertolongan cemas dan dapur mini (portable stove).

Kepimpinan Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli Troop 183 yang telah dianugerahkan dengan lencana. Semoga lencana yang diperolehi akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus maju di dalam arena kepengakapan seterusnya mencapai Anugerah Pengakap Raja.