Ahad, Februari 20, 2011

Tindih Kasih Gelung (Bowline On A Bight)

Simpulan tindih kasih gelung

Tindih kasih gelung adalah suatu simpulan yang digunakan untuk menyediakan sepasang gelung yang bersaiz tetap di tengah-tengah tali. Ia adalah salah satu daripada simpulan terbitan kepada simpulan tindih kasih (bowline). Kelebihan simpulan ini ialah ia agak mudah untuk dileraikan setelah digunakan atau setelah terdedah kepada tegangan. Simpulan ini boleh menggantikan simpulan angka lapan (figure-of-eight knot) apabila diikatkan pada abah-abah pendakian (climbing harness). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menggunakan simpulan sokongan yang kuat dengan lebihan tali yang panjang selepas simpulan ini, kerana simpulan ini mempunyai kemungkinan untuk terlerai sekiranya digunakan untuk pendakian yang panjang. 


Langkah-langkah untuk menyediakan simpulan tindih kasih gelung

Simpulan tindih kasih gelung boleh digunakan untuk menyediakan gelung tempat berpijak di tengah-tengah tali. Ia juga boleh digunakan untuk menyediakan 'kerusi bosun' (bosun's chair) dalam keadaan kecemasan. Kerusi bosun ialah alat yang digunakan untuk membolehkan seseorang individu tergantung dengan selesa sewaktu hendak menjalankan kerja di tempat tinggi. Ia diilhamkan daripada abah-abah pendakian dan biasanya digunakan sewaktu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kapal pada zaman dahulu. 

Penggunaan kerusi bosun sewaktu menjalankan kerja-kerja penyelenggaran aras tinggi di kapal

Simpulan ini juga amat popular dalam aktiviti penerokaan gua kerana ia membolehkan beban dibahagikan kepada dua, dan mengurangkan tegangan yang dikenakan ke atas kedua-dua gelung tersebut. Ia juga membolehkan salah satu gelung bertindak sebagai sokongan sekiranya satu lagi gelung mengalami kegagalan. Simpulan tindih kasih gelung adalah salah satu daripada prasyarat Lencana Maju, iaitu Lencana Kemajuan Pengakap Muda di Malaysia.


Video panduan menyediakan tindih kasih gelung

Ilustrasi simpulan ini telah dilukiskan oleh Johann R. pada tahun 1795 di dalam bukunya Allgemeines Worterbuch der Marine. Pada tahun 1808, ia dipanggil sebagai "bowline upon the bight" oleh Darcy Lever di dalam bukunya, Street Anchor.

Ahad, Februari 13, 2011

Program Derma Darah Daerah Sentul


Poster Program Derma Darah

PPM Daerah Sentul dengan kerjasama SM (P) Jalan Ipoh telah menganjurkan Program Derma Darah pada hari Sabtu, 12 Februari 2011 yang lalu bertempat di Dewan Mawar, SM (P) Jalan Ipoh. Program ini diadakan bermula jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 2.00 petang dengan bertemakan "Setitis Darah Anda, Sejalur Sinar Kehidupan".

3rd Mate, Puan Rohani Hj Ahmad sedang menderma darah bersama anak perempuannya.

Lanjutan Komunikasi Marin: Bendera Echo dan Foxtrot

Rupabentuk bendera Echo

MAKNA:
"I am altering my course to starboard"

KEGUNAAN
Digunakan oleh kapal tentera laut dan kapal dagang untuk menukar arah laluan kapal ke sebelah kanan (starboard).

PERINGATAN
Tiada

Ikatan Serong (Diagonal Lashing)

Struktur ikatan serong

Ikat serong digunakan untuk mengikat dua batang kayu yang melintasi antara satu sama lain tetapi tidak bersentuhan walaupun bahagian hujung batang kayu itu telah diikat pada sesebuah struktur contohnya bahagian persilangan tengah pada sebuah struktur trestle. Dalam kata lain, ikat serong digunakan untuk merapatkan dua batang kayu yang renggang

Cara mengikat ikatan serong

Nama ikat serong diperolehi daripada cara ikatan itu dilakukan iaitu secara menyerong. Ikat serong dimulakan dengan lilit balak (timber hitch) mengelilingi kedua-dua batang kayu supaya kedua-duanya dapat dijerut dan dirapatkan sebelum ikatan dimulakan. Selepas itu, mulakan ikatan pada arah serong yang berlawanan dengan arah lilit balak tadi. Buat tiga hingga empat ikatan secara berterusan. Kemudian ikat pula pada arah yang sama dengan arah lilit balak sebanyak tiga hingga empat kali juga.

Kemaskan ikatan dengan mengetatkan tali mengelilingi struktur serong tersebut. Lakukan proses ini sebanyak dua atau tiga kali dengan teliti supaya struktur ikatan itu benar-benar telah ketat dan kemas. Akhiri ikat serong ini menggunakan lilit manuk (clove hitch).

Pembentangan di Jabatan Taman Laut Malaysia

Pada 26 Januari 2011 yang lalu, Skipper telah dijemput oleh pihak Jabatan Taman Laut Malaysia untuk bermesyuarat bagi membincangkan tentang potensi kerjasama antara Pengakap Laut Malaysia dengan Jabatan Taman Laut Malaysia dalam hal-hal latihan Pengakap Laut dan kesedaran khazanah marin. Mesyuarat ini telah diadakan di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Wisma NRE, Putrajaya.

Skipper sedang mengendalikan pembentangan

Sebelum mesyuarat ini, Skipper dan saudara Arvind Danapalan telah terlebih dahulu telah menghadiri mesyuarat berkenaan MyCEPA yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai NGO alam sekitar seluruh negara seperti World Wildlife Fund (WWF), Malaysian Nature Society (MNS), Yayasan Anak Warisan (YAWA) dan lain-lain lagi. Mesyuarat ini ditangguhkan sekitar jam 12 tengah hari.

Selepas makan tengah hari, sekitar jam 2, Skipper telah bermesyuarat dengan Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Taman Laut Malaysia iaitu Puan Halijah Mat Sin yang turut disertai oleh Pengarah-Pengarah Jabatan Taman Laut dari seluruh negara. Di dalam mesyuarat ini, Skipper telah diberi peluang untuk membentangkan dengan lebih lanjut tentang Skim Latihan Pengakap Laut yang baru dan lencana-lencana yang sesuai untuk difokuskan dalam kerjasama ini.

Hasil mesyuarat ini, Jabatan Taman Laut Malaysia telah bersetuju untuk mengadakan suatu Kem Pendidikan Marin untuk ahli-ahli Pengakap Muda Laut bertempat di Pusat Taman Laut Pulau Redang pada awal bulan April nanti. Kem ini akan ditutup dengan satu majlis pelancaran kerjasama di peringkat kebangsaan antara Pengakap Laut dengan Jabatan Taman Laut Malaysia. Semoga perancangan ini akan menjadi kenyataan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan Pengakap Laut di Malaysia.

Majlis Pelancaran Skim Latihan Pengakap Laut

Sempena penganjuran Kursus Protokol dan Etiket Sosial Persekutuan Pengakap Malaysia yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaacob Latif, Cheras pada 22 hingga 25 Januari 2011 yang lalu, pihak Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah mengambil keputusan untuk turut melancarkan Skim Latihan Pengakap Laut Malaysia yang baru. Selain itu, turut dilancarkan adalah Skim Latihan Pengakap Udara dan Buku Kawad Kaki dan Istiadat.

Disebabkan pemberitahuan yang agak suntuk, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Pengakap Laut) yang juga Penasihat Krew telah mengamanahkan kepada Skipper untuk mewakili Pengakap Laut Malaysia di dalam upacara pelancaran ini. Semasa upacara pelancaran, sampel-sampel buku untuk Skim Latihan Pengakap Muda Laut dan Skim Latihan Pengakap Remaja Laut telah dipersembahkan kepada Ketua Pengakap Negara, Dato' Seri Paduka Dr. Hj Shafie bin Mohd Salleh.

Pelancaran skim latihan ini adalah pencapaian yang amat memberansangkan untuk krew khasnya dan warga Pengakap Laut Malaysia amnya setelah lebih lima tahun membuat kajian menyeluruh dan menunggu untuk pelaksanaan skim baru ini. Semoga pelancaran skim latihan ini akan membuka lembaran baru kepada Pengakap Laut Malaysia ke arah melahirkan Pengakap Laut yang sejati dan bukan sekadar pada uniform sahaja.