Simpulan tindih kasih gelung
Tindih kasih gelung adalah suatu simpulan yang digunakan untuk menyediakan sepasang gelung yang bersaiz tetap di tengah-tengah tali. Ia adalah salah satu daripada simpulan terbitan kepada simpulan tindih kasih (bowline). Kelebihan simpulan ini ialah ia agak mudah untuk dileraikan setelah digunakan atau setelah terdedah kepada tegangan. Simpulan ini boleh menggantikan simpulan angka lapan (figure-of-eight knot) apabila diikatkan pada abah-abah pendakian (climbing harness). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menggunakan simpulan sokongan yang kuat dengan lebihan tali yang panjang selepas simpulan ini, kerana simpulan ini mempunyai kemungkinan untuk terlerai sekiranya digunakan untuk pendakian yang panjang.
Langkah-langkah untuk menyediakan simpulan tindih kasih gelung
Simpulan tindih kasih gelung boleh digunakan untuk menyediakan gelung tempat berpijak di tengah-tengah tali. Ia juga boleh digunakan untuk menyediakan 'kerusi bosun' (bosun's chair) dalam keadaan kecemasan. Kerusi bosun ialah alat yang digunakan untuk membolehkan seseorang individu tergantung dengan selesa sewaktu hendak menjalankan kerja di tempat tinggi. Ia diilhamkan daripada abah-abah pendakian dan biasanya digunakan sewaktu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kapal pada zaman dahulu.
Penggunaan kerusi bosun sewaktu menjalankan kerja-kerja penyelenggaran aras tinggi di kapal
Simpulan ini juga amat popular dalam aktiviti penerokaan gua kerana ia membolehkan beban dibahagikan kepada dua, dan mengurangkan tegangan yang dikenakan ke atas kedua-dua gelung tersebut. Ia juga membolehkan salah satu gelung bertindak sebagai sokongan sekiranya satu lagi gelung mengalami kegagalan. Simpulan tindih kasih gelung adalah salah satu daripada prasyarat Lencana Maju, iaitu Lencana Kemajuan Pengakap Muda di Malaysia.
Video panduan menyediakan tindih kasih gelung
Ilustrasi simpulan ini telah dilukiskan oleh Johann R. pada tahun 1795 di dalam bukunya Allgemeines Worterbuch der Marine. Pada tahun 1808, ia dipanggil sebagai "bowline upon the bight" oleh Darcy Lever di dalam bukunya, Street Anchor.





















