Isnin, Februari 26, 2018

Kem Tahunan Kumpulan Pengakap Laut Ke-22 Daerah Batu (SMK Bandar Baru Sentul) & Pelantikan Ahli Baru KL Charlie Rovers

Kem Tahunan Kumpulan Pengakap Laut Ke-22 Daerah Batu (dahulunya dikenali sebagai Troop Pengakap Laut 183 Kuala Lumpur) telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul pada 23 hingga 25 Februari yang lalu. Turut diadakan serentak dengan kem ini ialah Sesi Vigil dan Pelantikan Ahli Baru KL Charlie Rovers. Ini merupakan julung-julung kalinya perkhemahan Pengakap Laut diadakan di sekolah selepas kali terakhir pada tahun 2011. Kem ini turut disertai oleh ahli-ahli Pengakap Laut dari SMK Seri Ampang dan ahli-ahli Pengakap Udara dari SMK Raja Ali.

Kem ini membabitkan latihan dan pengujian untuk tiga Lencana Kemajuan Pengakap Muda iaitu Lencana Usaha, Lencana Maju dan Lencana Jaya.

Jumaat, Februari 16, 2018

Kembara Jalan Kaki 16 Kilometer Kumpulan Pengakap Laut SMK Agama Kuala Lumpur

Kumpulan Pengakap Laut SMK Agama Kuala Lumpur telah mengadakan Kembara Jalan Kaki 16 Kilometer di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur pada 15 Februari 2018 yang lalu untuk calon-calon Lencana Maju seramai 12 orang. Turut menyertai kembara ini ialah 2 orang Ahli Pengakap Muda Udara dari SMK Segambut Jaya menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 14 orang.

Kembara dimulakan sekitar jam 8.30 pagi di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kembara ini melalui lokasi-lokasi penting seperti Masjid Negara, Muzium Negara, Planetarium Negara, Muzium Polis, Tugu Negara, Dataran Merdeka, Rumah B-P dan lain-lain lagi. Kembara ini telah tamat dengan selamat di Sunway Putra Mall sekitar jam 6.00 petang.

Ahli-ahli Krew yang telah hadir mengendalikan kembara ini ialah Saudara Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan, Saudara Aiman Haziq bin Mohd Fadzil, Saudara Riky Danieal bin Misman. Saudara Mohd Afizal bin Suhaimi, Saudara Ameer Iskandar bin Zainal Abidin, Saudari Fatin Nazura bin Openg dan Saudara Adam Wazif. Selain itu, kembara ini turut dibantu oleh Ahli Kumpulan Pengakap Laut 22 Daerah Batu, Saudari Nur Afiqah Irfahani binti Azmi dan Ahli Kumpulan Pengakap Laut 01 Daerah Titiwangsa, Saudara Wafiq. Turut hadir di awal kembara ini ialah Bosun Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin dan Ahli Krew Saudara Luqman Haziq bin Ramli.

Khamis, Februari 15, 2018

Ceramah Pengenalan Pengakap Laut di SMK Raja Ali

Skipper telah menerima jemputan daripada Kumpulan Pengakap Laut SMK Raja Ali melalui Pemimpinnya, Ustaz Mohd Abrar bin Mohd Noor untuk menyampaikan ceramah pengenalan tentang Pengakap Laut kepada ahli-ahli Pengakap pada 14 Februari 2018 yang lalu. Kumpulan Pengakap Laut SMK Raja Ali adalah kumpulan Pengakap Laut yang paling baru dibentuk di WP Kuala Lumpur iaitu pada akhir tahun 2017.

Ceramah ini telah berlangsung selama kira-kira 1 jam 30 minit dan telah dihadiri oleh kira-kira 20 orang ahli-ahli Pengakap Laut SMK Raja Ali. Turut hadir ialah Ustaz Mohd Abrar dan beberapa orang Pemimpin Pengakap Lain. Semoga ceramah ini telah memberi input penting kepada semua yang hadir dan dapat memberi semangat kepada ahli-ahli untuk berusaha sehabis baik mendapatkan lencana-lencana yang ditawarkan di dalam Skim Lencana Pengakap Muda Laut.

Rabu, Februari 14, 2018

Mesyuarat Pembentukan Kontinjen Malaysia ke Jambori Pengakap Sedunia Ke-24 2019

Mesyuarat Pembentukan Kontinjen Malaysia ke Jambori Pengakap Sedunia Ke-24 2019 telah diadakan di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, Rumah B-P, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2018 yang lalu. Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil-wakil Kumpulan Pengakap dari seluruh negara yang berminat untuk menghantar penyertaan ke jambori ini yang bakal diadakan di North Virginia, Amerika Syarikat pada Julai 2019 yang akan datang.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Encik Jamaludin @ Jamal bin Jinal, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara yang telah diamanahkan untuk menjadi Ketua Kontinjen Malaysia. Skipper telah menghadiri mesyuarat ini di atas kapasiti sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur (Program). Turut hadir ialah Ahli Krew Saudara Zairin Adam bin Abdul Aziz yang telah mengesahkan penyertaan beliau ke jambori ini untuk berkhidmat bersama International Service Team.

Isnin, Februari 12, 2018

Kem Kepimpinan Pengakap Muda SESERI 2018

Kumpulan Pengakap SM Sains Seri Puteri telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengakap Muda SESERI 2018 dengan dibantu oleh KL Charlie Rovers dan Zonice Rovers pada 9 hingga 11 Februari 2018 yang lalu bertempat di SM Sains Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Kem ini membabitkan pengajaran dan pengujian Lencana Usaha dan Maju.