Isnin, April 23, 2012

Istiadat Vigil dan Perlantikan Pengakap Kelana Untuk Ahli-ahli Baru KL Charlie Rovers


Pasukan Kelana 'C' Laut Ibu Pejabat Negeri PPMWPKL telah mengadakan acara ringkas untuk Istiadat Vigil dan Perlantikan pada 20 dan 21 April 2012 yang lalu bertempat di tapak latihan krew di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir. Seramai tujuh orang bakal Kelana telah terlibat dan dilantik secara rasmi sebagai Pengakap Kelana. Hadir bersama bagi membantu perjalanan acara ini ialah Tuan Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Latihan), Encik Jamal Harim Abdullah, Tuan Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Setiausaha Pentarafan Pengakap Raja & Anugerah B-P), Encik Abdul Jalil Abdul Samad dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri (Unit Kelana), Encik Muhammad Rahimi bin Mahmud.


Di pihak krew pula, perjalanan acara telah dikendalikan oleh Skipper: Mohd Hilmi bin Abu Bakar, 1st Mate: Mohd Norfardrol Marshar Mohd Sharip, 2nd Mate: Mohd Ariff Mohd Tajudin dan Storekeeper Krew: Rosbiah Mohd Shah. Selain Istiadat Vigil dan Perlantikan, turut dilakukan ialah ulangkaji untuk topik-topik asas kepengakapan seperti Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, Sejarah Pengasas Pengakap, Sejarah Pengakap Laut, Asas-asas Perkhemahan, Simpulan dan Ikatan, Menghidupkan Api, Asas Pandu Arah dan Khidmat Masyarakat. Semoga ahli-ahli Kelana yang baru dilantik akan meneruskan khidmat sebagai seorang Kelana sehingga mencapai Anugerah B-P.

Isnin, April 16, 2012

Laporan Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WPKL 2012


Unit Pengakap Laut PPMWPKL telah menganjurkan Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WP Kuala Lumpur 2012 ke Melaka Bandaraya Bersejarah pada 14 dan 15 April 2012 yang lalu. Lawatan ini telah disertai oleh 40 orang ahli Pengakap Laut dari Troop 183 SMK Bandar Baru Sentul, 2 orang Guru Pemimpin Pengakap dan 10 orang daripada Krew Kelana 'C' (Laut) WP Kuala Lumpur.

Selasa, April 10, 2012

Program Menanam Pokok Bersama MBWP


Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) akan mengadakan Kempen Penanaman Pokok oleh Belia Wanita peringkat Wilayah Persekutuan Kali Ke-5 di setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan seperti berikut:

Tarikh : 28 April 2012
Lokasi : Akan ditetapkan di setiap kawasan parlimen

Sebagai badan gabungan MBWP, PPM WP Kuala Lumpur akan menghantar ahli-ahli Pengakap Kelana untuk menyertai aktiviti ini dengan sasaran sekurang-kurangnya 6 orang dari setiap daerah. Ahli krew yang berminat untuk menyertai boleh memaklumkan kepada Pemimpin Krew dengan kadar yang segera. :)

Lt. W. H. Stuart Garnett

Gambar Lt. W.H. Stuart Garnett

Leftenan W. H. Stuart Garnett adalah anak kedua kepada Dr. William Garnett iaitu bekas Penasihat Pelajaran kepada London County Council. Beliau mendapat pendidikan awal di St. Paul's School and Trinity College, Cambridge di mana beliau mendapat ijazah sarjana muda Matematik kelas pertama pada 1902 dan ijazah Sains Mekanikal kelas pertama pada 1903.

Beliau mengharungi hidup yang sangat meriah dan menyeronokkan. Memulakan kariernya sebagai seorang jurutera mekanikal, beliau menghasilkan sebuah buku teks tentang turbin. Pada 1905, beliau dipanggil oleh badan perundangan Inner Temple dan menjadi peguam di sana selama beberapa tahun. Beliau tertarikh dengan Skim Insurans Nasional dan menulis sebuah buku tentangnya bersama Arthur Comyns Carr. Namun begitu, selepas itu, beliau menolak perlantikan sebagai Pembantu Penasihat Undang-Undang kepada Jawatankuasa Insurans Nasional Britain.

Beliau adalah seorang yang sangat meminati bidang pendakian Alpine dan merupakan seorang pelayar yang bersemangat. Berbekalkan pengetahuan praktikal di dalam ilmu kepelautan dan pandu arah di Terusan Inggeris dan Laut Utara (North Sea), beliau mula menjadi seorang Pemimpin Pengakap Laut yang aktif di mana beliau telah menulis sebuah buku bertajuk "Seamanship for Scout" pada tahun 1915 sebagai rujukan tambahan kepada ahli-ahli Pengakap Laut. Buku tersebut telah dicetak berulang kali dan masih menjadi bahan rujukan utama Pengakap Laut hingga ke hari ini.

Buku "Seamanship for Scouts" karangan beliau

Apabila Perang Dunia Pertama meletus, beliau berjaya meminjam kapal layar bernama Zarefah daripada pemiliknya, Steane Price. Beliau mengendalikan kapal layar tersebut sebagai pegawai dengan anak kapal yang kebanyakannya ialah graduan dan pelajar Univeristi Cambridge. Zarefah telah berkhidmat sebagai kapal pengesan periuk api pada ketika itu.

Halaman biodata beliau di album Royal Aero Club

Pada musim panas tahun 1915, Leftenan Stuart Garnett yang telah dinaikkan pada menjadi Leftenan Komander telah meninggalkan kerjayanya di dalam Royal Navy dan menyertai Royal Flying Corps. Beliau turut melangsungkan perkahwinannya pada bulan Ogos 1915. Setelah menjadi pemerhati di Perancis selama beberapa bulan, beliau dipanggil pulang untuk menjadi kakitangan di Central Flying School. Setelah mengikuti latihan penerbangan selama beberapa bulan, beliau akhirnya lulus ujian menjadi juruterbang pada awal tahun 1916.

Kad indeks beliau di Royal Aero Club

Beliau meninggal dunia pada 21 September 1916 pada usia yang sangat muda iaitu 34 tahun akibat kemalangan semasa melakukan penerbangan di Central Flying School, Upavon, Wiltshire. Kapal terbang prototaip Avro 521 yang dikendalikan oleh beliau terhempas menyebabkan kematiannya. Beliau dikebumikan di Charlton, Upavon. Malang terus menimpa keluarga beliau apabila adiknya, Leftenan K.G. Garnett pula meninggal dunia hampir setahun kemudian pada 22 Ogos 1917 akibat kecederaan semasa bertempur di medan perang.

Jumaat, April 06, 2012

Filem Maritim - "Cast Away"

Poster filem "Cast Away"

"Cast Away" ialah sebuah filem dengan genre drama yang diarahkan oleh Robert Zemeckis dan dibintangi oleh Tom Hanks yang melakonkan watak sebagai Chuck Noland, seorang pekerja FedEx yang terkandas di sebuah pulau tidak berpenghuni selepas kapal terbang kargo yang dinaikinya terhempas di Pasifik Selatan.

Chuck Noland meneliti barang-barang yang diperolehi daripada kargo FedEx yang tersadai pulau itu

Sebagai satu-satunya mangsa yang terselamat daripada tragedi kapal terbang terhempas tersebut, Noland telah mengutip banyak barangan daripada sisa-sisa kargo FedEx yang tersadai di tepi pantai di mana beliau terkandas. Beliau mempelajari pelbagai kemahiran survival seperti menghidupkan api, mengopek kelapa, menangkap ikan dan sebagainya untuk terus kekal hidup. Keseorangan di pulau tersebut, Noland menjadikan sebiji bola tampar sebagai "teman setianya" dan menamakan bola tampar itu dengan nama Wilson.

"Mr Wilson", teman setia Noland sepanjang terkandas di pulau tersebut

Noland bersorak gembira setelah berjaya menghidupkan api menggunakan teknik survival

Selepas empat tahun, beliau berjaya mengumpulkan material yang mencukupi untuk membina rakit bagi membolehkannya berakit meninggalkan pulau tersebut. Setelah menempuh pelbagai cabaran termasuk kehilangan Wilson di tengah laut, beliau akhirnya berjaya ditemui oleh sebuah kapal kargo dan dibawa pula ke negara asalnya. Walaupun banyak perkara telah berubah, beliau berjaya kembali ke peradaban manusia seperti sediakala.

Keadaan fizikal Noland selepas empat tahun terkandas di pulau tersebut

Isnin, April 02, 2012

EPIRB


EPIRB (Emergency Position Indicating Radio Beacon) adalah sejenis alatan yang digunakan untuk memberi amaran kepada pihak berkuasa dan penyelamat tentang sesuatu kejadian kecemasan di laut. EPIRB akan menghantar mesej berkod menggunakan frekuensi kecemasan 406 MHz sama ada melalui satelit atau stesen bumi terus kepada pusat koordinasi penyelamat yang terdekat. Sesetengah jenis EPIRB turut mengandungi GPS yang membolehkan pihak penyelamat mengesan kedudukan mangsa dengan lebih tepat dengan ralat kira-kira 50 meter sahaja. EPIRB didaftarkan kepada kapal atau bot.

Video berikut adalah video American Coast Guard yang telah menyelamatkan seorang warga emas berusia 80 tahun yang terkandas di laut. Mereka berjaya mengesan mangsa setelah menerima isyarat daripada EPIRB yang terdapat di kapal layar mangsa.

Rover Moot Selangor 2012

Logo Rover Moot Selangor 2012

Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor melalui Sekretariat Pengakap Kelana Selangor akan menganjurkan Rover Moot Selangor 2012 bertempat di Mutiara Semenyih Training Village & Eco Resort, Semenyih pada 4 hingga 7 Mei 2012 ini. Yuran penyertaan ialah RM50 yang merangkumi Lencana Rover Moot, Lencana Aktiviti, Skaf Rover Moot, Kad Aktiviti, tag dan lanyard.

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah Aktiviti Air (berkayak, tubing, merentas tasik dan keyakinan diri), Aktiviti Lasak (trekking dan paintball), Aktiviti Perkhidmatan (menanam pokok dan khidmat masyarakat di perkampungan orang asli) dan Aktiviti Komunikasi (signal fox dan radio amatur).

Mana-mana ahli krew yang berminat boleh memberikan nama kepada Pemimpin Krew dengan kadar yang segera. Kontinjen WP Kuala Lumpur ke Rover Moot Selangor 2012 ini akan diketuai oleh saudara Haqqim bin Harun yang juga Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur Sesi 2012/2013.