Warga sekretariat sedang bermesyuarat
Mesyuarat Tahunan Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan 2015 telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Kem Mutiara Semenyih Training Village & Eco Resort, Semenyih pada hari Sabtu, 23 Mei 2015 yang lalu. Mesyuarat ini bertujuan menyelaraskan aktiviti dan garis panduan Pengakap Laut di seluruh negara bagi meneruskan perjuangan memantapkan pergerakan Pengakap Laut di Malaysia. Mesyuarat ini turut dihadiri buat pertama kalinya oleh YBhg. Mej. Jen. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin (Bersara), Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko, Uniform & Aksesori Kepengakapan, Pakar Rujuk Pengakap Laut dan Pengakap Udara).
Mesyuarat kali ini telah menamakan secara rasmi Pengerusi Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan yang baru iaitu YBrs. Encik Noor Azmi bin Ujang yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka (Pengakap Laut). Beliau menggantikan Allahyarham Sea Dad Tuan Khamaruzaman bin Samsudin yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Februari 2015 yang lalu.
Skipper yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur (Pengakap Laut) telah hadir mewakili WP Kuala Lumpur dan diberi amanah untuk meneruskan tugas sebagai Setiausaha Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. 2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin turut hadir di atas kapasiti sebagai Ahli Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. Turut hadir ialah Encik Mohd Fikri bin Rusni, Koordinator SCUBA Krew yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor (Pengakap Laut).











