Jumaat, Mei 31, 2013

Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9

Kontinjen PPMWPKL bergambar beramai-ramai sebelum meninggalkan tapak jambori pada hari akhir

Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka telah menganjurkan Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9 bertempat di Kem Pengakap Melaka, Bukit Katil mulai 25 hingga 30 Mei 2013 yang lalu. PPMWPKL telah berjaya menghantar kontinjen ke jambori ini dengan kekuatan 35 orang ahli Pengakap dan 10 orang Pemimpin/Kelana. Kontinjen PPMWPKL telah diketuai oleh Saudara Haqqim bin Harun.

Lencana rasmi dan lencana aktiviti Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9

Seramai 10 orang ahli Troop 183 telah berkesempatan menyertai jambori ini. Pemimpin Krew telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kontinjen, manakala Ahli Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi telah berkhidmat sebagai Kuartermaster Kontinjen. Pemimpin Troop 183, Puan Siti Zuraidah Yusof juga telah berkesempatan menghadiri jambori ini pada dua hari yang akhir setelah pulang dari Kursus Biro Tatanegara. Ahli Troop 183, Kamal Ariff telah dilantik sebagai Penghulu Kontinjen PPMWPKL. Kontinjen PPMWPKL kali ini telah berjaya mengumpulkan wakil-wakil dari semua empat daerah iaitu Pudu (SM Teknik Kuala Lumpur), Bangsar (SMK Bukit Bandaraya), Keramat (SMK Taman Setiawangsa) dan Sentul (SMK Bandar Baru Sentul, SMK Batu Muda dan SMK Raja Abdullah).

Kontinjen PPMWPKL sedang memuatkan beg masing-masing ke dalam bas sebelum bertolak ke Melaka

Bagi mengurangkan kos, Kontinjen PPMWPKL bergerak ke Melaka dengan bas ekspres Metrobus dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hingga ke Melaka Sentral. Dari Melaka Sentral pula, kontinjen telah dapat menyewa bas Panorama hingga ke Kem Pengakap Melaka. Pada jambori kali ini, Kontinjen PPMWPKL telah berjaya menganjurkan Majlis Minum Petang Kontinjen PPMWPKL bagi meraikan para Pemimpin dari kontinjen lain. Krew telah bersepakat menaja majlis ini. Selain itu, Kontinjen PPMWPKL telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan membina model projek perintis. Tahniah diucapkan kepada semua warga Kontinjen PPMWPKL atas kejayaan sebagai sebuah kontinjen yang mantap sepanjang jambori ini. Jumpa lagi di Jambori Antarabangsa Johor pada bulan November nanti.

Model projek perintis tersebut ketika dalam proses pembuatan

Ahad, Mei 12, 2013

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Risiko Siri 2/2013

YBhg. Dato' Pengerusi sedang mempengerusikan mesyuarat

Jawatankuasa Pengurusan Risiko PPM telah mengadakan mesyuarat Siri 2/2013 pada hari Sabtu, 11 Mei 2013 yang lalu bertempat di Dewan Templer, Rumah B-P, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko PPM, YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin serta dihadiri oleh wakil dari negeri-negeri. 

Antara wakil-wakil negeri dan ahli jawatankuasa yang hadir

Warga krew yang menghadiri mesyuarat ini ialah Pemimpin Krew yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Risiko, 4th Mate Encik Abdullah Sani Hillaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Keselamatan dan 3rd Mate Puan Rohani Haji Ahmad yang baru dimasukkan ke dalam jawatankuasa ini. Turut hadir ialah dua orang Jurulatih Jemputan Krew iaitu Encik Chan Zi-Lie dan Encik Jamal Harim bin Abdullah. Antara perkara yang dibincangkan ialah Bengkel Pemantapan Pelaksanaan Aspek Latihan Pertolongan Cemas, Pelancaran buku Prosedur Operasi Aktiviti Kepengakapan, Pertandingan Melukis Poster Keselamatan Peringkat Kebangsaan PPM 2013 dan Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan PPM 2013.

Khamis, Mei 09, 2013

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur Yang Baru


Krew ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Rofli bin Mohamed, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur yang baru baru-baru ini. Beliau akan menggantikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri sebelum ini iaitu Mejar Haji Mior Rosli bin Dato' Mior Mohd Jaafar (Bersara). Semoga Pengakap WP Kuala Lumpur akan terus maju dan berkembang di bawah kepimpinan beliau, insya Allah.

Sabtu, Mei 04, 2013

Pilihanraya Umum Malaysia Ke-13


Sempena Pilihanraya Umum Ke-13 yang bakal diadakan pada hari esok, 5 Mei 2013, krew dengan ini mengucapkan selamat mengundi kepada semua ahli krew yang telah berdaftar sebagai pengundi. Gunakanlah  hak demokrasi anda dengan baik bagi memilih pemimpin yang terbaik di kawasan masing-masing. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Bersama memastikan Pengakap bergerak maju ke hadapan, seiring dengan kemajuan negara. All the best :)

Khamis, Mei 02, 2013

Projek Naiktaraf Dapur KCB

Sedang memasang rangka bumbung

Projek membaiki dapur Kem Cangkat Budaya (KCB) yang roboh akibat dilanda ribut telah dilakukan secara beransur-ansur. Pagi tadi, kerja diteruskan dengan menyiapkan rangka bumbung untuk dapur tersebut. Dalam masa yang sama, perancangan untuk membina chalet kecil di KCB juga telah hampir menjadi kenyataan dengan pembelian sebahagian daripada bahan-bahan untuk pembinaan chalet tersebut seperti batu-bata dan tiang. Projek ini telah dipimpin oleh Encik Norfian Nazir, Jurulatih Jemputan Krew (Memancing & Pengendalian Bot) dengan dibantu oleh Pemimpin Krew. Selepas projek ini selesai nanti, KCB akan memiliki semua dapur yang lengkap, dewan makan kecil dan dua unit chalet yang boleh memuatkan empat orang setiap satu. Semoga projek ini akan dapat disiapkan segera dan dapat memberi faedah kepada para pengguna KCB.

Batu-bata dan tiang kayu yang telah dibeli untuk pembinaan chalet