Rabu, Disember 31, 2014

Perkhidmatan Pengurusan Barangan Bantuan Banjir di Pengkalan TUDM Subang

Kami melakukan proses pek semula barang-barang keperluan mangsa banjir berikutan 
ada kotak yang telah koyak atau rosak

Krew telah membantu proses pengurusan barangan bantuan banjir di Pengkalan TUDM Subang pada Selasa, 30 Disember 2014. Pasukan seramai tujuh orang ini diketuai oleh Pemimpin Krew, Ahli Krew Mior Ahmad Ramadhan, Ahli Krew Mohd Afiq Hafizuddin, Ahli Krew Siti Nurfatimah Zahra, Ketua Troop 183 Muhammad Adham Aiman, Penolong Ketua Troop 183 Mohd Afizal dan Penolong Ketua Troop 183 Amierul Firdaus.

Menyusun barangan di atas pallet sebelum dibalut kemas untuk penghantaran

Pelbagai jenis barangan telah disumbangkan oleh masyarakat seperti makanan kering, air minuman, lampin bayi dan dewasa, tuala wanita, minyak masak, gula, tepung, pakaian terpakai dan sebagainya. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah mengasingkan barang-barang mengikut kategori, mengepek semula barang-barang yang telah koyak kotaknya, mengatur barang-barang di atas pallet forklift dan membungkus barangan tersebut supaya sedia untuk diangkat masuk ke dalam lori. 

YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara 
melakukan lawatan ketika kami sedang berkhidmat.

Perkhidmatan telah dijalankan mulai jam 9.30 pagi hingga jam 4.30 petang. Kami telah menerima lawatan daripada YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara semasa sedang berkhidmat. Kami juga berbesar hati kerana perkhidmatan yang tidak seberapa ini telah mendapat liputan daripada page Facebook World Organization of Scout Movement (WOSM) dan Balai Berita Rasmi Persekutuan Pengakap Malaysia. Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Encik Firdaus, Pen. Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka (Unit Udara) yang membuka ruang untuk krew melakukan perkhidmatan di sini.

Selasa, Disember 30, 2014

Salam Takziah Pesawat Air Asia QZ8501

Fakta penerbangan Air Asia QZ8501

Krew ingin mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga mangsa nahas Air Asia QZ8501 yang terhempas di Belitung, Kalimantan pada 28 Disember 2014. Pesawat ini membawa 162 orang dan dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura. Pesawat tersebut telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.15 pagi (Waktu Indonesia Barat).

Laluan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura

Pesawat tersebut telah disahkan terhempas pada hari semalam, 30 Disember 2014 oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo yang memaklumkan bahawa serpihan yang dijumpai di Selat Karimata (Laut Jawa) adalah sah milik pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia.

Barangan dan serpihan yang dijumpai terapung di laut disahkan datang daripada pesawat malang tersebut

Nahas ini merupakan nahas udara major ketiga bagi tahun 2014 melibatkan syarikat penerbangan berkaitan Malaysia selepas tragedi MH370 yang masih hilang sejak 8 Mac 2014 hingga ke hari ini dan MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Ahli keluarga mangsa tidak dapat kesedihan apabila pesawat malang tersebut disahkan terhempas

Isnin, Disember 29, 2014

Perkhidmatan Mengumpul Barang Bantuan Banjir di Rumah B-P

Bergambar beramai-ramai selepas operasi ditutup pada jam 5 petang, 28 Disember 2014

Bergambar di lobi Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 
semasa menghantar barangan tersebut

Bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, Persekutuan Pengakap Malaysia melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko telah membuka pusat untuk mengumpul barang-barang bantuan untuk mangsa banjir bertempat di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di Rumah B-P, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur selama 48 jam mulai jam 5 petang, 26 Disember 2014 hingga jam 5 petang, 28 Disember 2014 (Jumaat hingga Ahad). Pusat pengumpulan ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli-ahli KL Charlie Rovers dan Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur.

Para petugas sedang memindahkan barang-barang sumbangan daripada kereta penyumbang

Suasana di lobi Rumah B-P semasa operasi berjalan

Pihak Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah bermurah hati menyediakan makanan dan bilik penginapan untuk para petugas yang berkhidmat di pusat pengumpulan ini. Kami menerima sambutan yang menggalakkan sama ada daripada warga Persekutuan Pengakap Malaysia mahupun masyarakat yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Antara barangan yang disumbangkan ialah makanan kering, air minuman, lampin bayi, tuala wanita dan pakaian terpakai. Ahli-ahli Krew yang tidak dapat hadir bertugas telah datang untuk memberikan sumbangan masing-masing.

Kami mengambil barangan sumbangan daripada pusat pengumpulan satelit yang diuruskan oleh 
Saudari Izzatul Nabila binti Isa, Ahli Troop Pengakap Laut 183 KL

Menerima sumbangan daripada Krew Kelana 'H' Daerah Petaling

Menerima sumbangan daripada PPM Daerah Lembah Pantai

Menerima sumbangan daripada Ahli Kanan Krew, Puan Farah Ashikin Mohd Radi 
yang datang jauh dari Ipoh

Pemimpin Krew sebagai Pengurus Operasi menandatangi akuan penerimaan sumbangan

Penghantaran dilakukan dengan kerap ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya bagi mengelakkan lambakan di lobi Rumah B-P. Secara keseluruhannya, penghantaran telah dilakukan sebanyak 12 kali menggunakan sebuah van dan sebuah pajero. Penghantaran terakhir dilakukan pada jam 11.05 malam pada 28 Disember 2014. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya sebagai Pemimpin Krew kepada semua yang telah terlibat menjayakan misi bantuan ini:

Ahli-ahli Kanan Krew:
1. 2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin
2. 6th Mate Ismail bin Ibrahim
3. Storekeeper Rosbiah  binti Mohd Shah
4. Sailing Coordinator Suraya Ika binti Tamrin
5. Ahli Kanan Krew Farah Ashikin bin Mohd Radi

Ahli-ahli Krew:
1. Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin
2. Bosun's Mate Sharina binti Hepeni
3. Yeoman Muhammad Shazwan bin Mohd Shafizal
4. Purser Jennifer Loh Pui Pui
5. Ahli Krew Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal
6. Ahli Krew Muhammad Norkhairin bin Rollan
7. Ahli Krew Rizwandi bin Abdul Rahman

Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL
1. Troop Leader Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi
2. Mohd Afizal bin Suhaimi
3. Amierul Firdaus bin Azwanizam
4. Izzatul Nabila binti Isa
5. Syed Mirza Faiz bin Syed Muzlin

Ahli-ahli Troop Lain
1. Ariez Hazaril
2. Nurul Syahidah
3. Nabila
4. Athira Suraya

Ahli-ahli Krew Kelana 'E' Daerah Segambut

Semoga bantuan yang dikumpulkan telah dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Ameen.

Selasa, Disember 23, 2014

Lawatan Ke Muzium Polis dan Planetarium Negara

Para peserta lawatan ringkas bergambar di pintu masuk ke Planetarium Negara

Krew telah menganjurkan lawatan ringkas ke Muzium Polis dan Planetarium Negara pada hari Selasa, 23 Disember 2014. Lawatan ringkas ini diadakan bertujuan untuk membantu Ahli-ahli Pengakap dan Pengakap Laut menyelesaikan dua lencana kepandaian iaitu Lencana Ahli Komuniti (Kumpulan Perkhidmatan) dan Lencana Ahli Astronomi (Kumpulan Pengetahuan - Laut). 

Bergambar bersama Anggota Polis yang bertugas di lobi Muzium Polis

Mereka yang terlibat ialah dari lima orang daripada Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul (Kumpulan Ke-22 Daerah Batu) dan dua orang daripada Troop Pengakap 11 SMK Bukit Bandaraya (Kumpulan Ke-11 Daerah Lembah Pantai). Seramai empat orang Ahli Krew telah menjadi fasilitator lawatan ini sambil menjalankan perkhidmatan untuk Lencana Perkhidmatan Pengakap Kelana iaitu Saudara Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan, Saudara Afiq Hafizuddin bin Mizan, Saudari Sofiah binti Madzlin dan Saudari Zuhayra Raihan binti Zahisham.

Bergambar di Menara Cerapan Planetarium Negara

Selain itu, turut membantu perjalanan lawatan ringkas ini ialah Saudara Amierul Firdaus bin Azwanizam dan Saudara Riky Danial bin Misman, Ahli Pengakap Remaja Laut Troop Pengakap Laut 183. Lawatan bermula pada jam 10.45 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.45 petang. Para peserta menikmati makan tengah hari di Restoran Herritage di Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebelum bergerak pulang ke rumah masing-masing.

Isnin, Disember 15, 2014

Kem Pengurusan Krew & Perancangan Program ~ Kem Bakal Kelana

Bergambar beramai-ramai selepas selesai Istiadat Pelantikan Pengakap Kelana

Krew telah menganjurkan dua program secara serentak iaitu Bengkel Pengurusan Krew & Perancangan Program untuk Ahli-ahli Kelana dan Kem Bakal Kelana untuk Bakal Kelana bertempat di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada 12 hingga 14 Disember 2014 yang lalu. Kedua-dua program ini turut disertai oleh Ahli-ahli Krew Pengakap Kelana 'C' Daerah Sepang.

Ahli Kanan Krew, Cik Suria Riza binti Radzali sedang menyampaikan sesi tentang Kertas Kerja Program

Ahli Kanan Krew, Encik Mahathir Mohammad bin Ahamed Elias sedang menyampaikan sesi tentang 
Skop Tugas Jawatankuasa Pelaksana

Bagi program Bengkel Pengurusan Krew & Perancangan Program, seramai tiga orang Ahli Krew telah menyertai program ini iaitu Pengerusi Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin; Setiausaha Krew, Saudara Muhammad Shazwan bin Mohd Syafizal dan Bendahari Krew, Saudari Jennifer Loh Pui Pui. Turut menyertai program ini ialah Saudara Nor Firdaus bin Norazman, Saudara Sayyid Haziq dan Saudara Amirul Asyraf daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang.

Jurulatih Jemputan Krew, Encik Chan Zi-Lie menyampaikan ceramah pengenalan tentang 
Anugerah Remaja Perdana

1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip sedang menyampaikan 
sesi tentang Pendaftaran Krew

Bengkel ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada Ahli-ahli Krew tentang perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ehwal pengurusan krew dan penganjuran program. Antara sesi-sesi yang diadakan adalah seperti berikut:
1. Pendaftaran Krew
2. Undang-undang Kecil Krew
3. Dokumen Mesyuarat
4. Kertas Kerja Program
5. Skop Tugas Jawatankuasa Pelaksana
6. Mencari Penajaan
7. Anugerah Remaja Perdana
8. Perkhidmatan Tetap & Rekod Pencapaian
9. Pengurusan Aset

Sesi Asas Kerja Carta Nautika

Turut diselitkan ialah dua sesi daripada Skim Latihan Pengakap Kelana Laut iaitu Asas Kerja Carta Nautika dan Kerja Tali Temali (Bahagian 1).

Bakal Kelana sebelum memulakan sesi Kompas dan Pandu Arah bersama 
2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin

Bagi Kem Bakal Kelana pula, seramai tujuh orang telah menyatakan minat dan memberikan komitmen untuk menjadi Ahli Krew bagi sesi kali ini. Mereka ialah Saudara Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan, Saudara Afiq Hafizuddin bin Mizan, Saudari Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal, Saudara Nor Khairin bin Rollan, Saudari Sofiah binti Madzlin, Saudari Zuhayra dan Saudara Rizwandy. Turut menyertai program ini ialah tiga orang Bakal Kelana daripada Krew Kelana 'C' iaitu Saudara Sayyid Radzi, Saudara Arif dan Saudara Daniel Irfan.

Peserta-peserta Kem Lencana Ahli Berkhemah membina gejet di bawah pengawasan Ahli Kanan Krew, 
Encik Mohd Samat bin Abdul Hamid

Turut diadakan bersama-sama dua program ini ialah Program Persediaan ke Pengakap Raja untuk Ahli-ahli Pengakap Remaja dan Kem Lencana Ahli Berkhemah yang disertai oleh Ahli-ahli Pengakap Remaja dan Muda. Ahli-ahli Pengakap Remaja membina tapak perkhemahan lengkap dan melakukan aktiviti memancing. Ahli-ahli Pengakap Muda pula belajar membina gejet, membina khemah kuartermaster, menguruskan tapak perkhemahan, memasak, menguruskan keselamatan tapak perkhemahan dan lain-lain lagi.

Selepas sepuluh tahun :)

Krew mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah hadir bagi menjayakan perkhemahan ini khasnya kepada Ahli-ahli Kanan Krew yang telah meluangkan masa untuk menjadi fasilitator kepada adik-adik Kelana dan Bakal Kelana. Semoga momentum ini akan berkekalan untuk program-program yang akan datang. ~Pioneering the waves of change~

Isnin, Disember 08, 2014

Kuala Lumpur International Canoe Invitation Championship 2014

Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan 
bergambar beramai-ramai selepas menamatkan tugas pada hari terakhir kejohanan.

Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur (KL Canoe) telah menganjurkan Kuala Lumpur Canoe Invitation Championship 2014 pada 4 hingga 7 Disember 2014 yang lalu bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Seramai dua orang Ahli Troop Pengakap Laut 183 KL telah mewakili KL Canoe dalam acara Canoe Polo dan Slalom, manakala seramai sepuluh orang lagi telah berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan dengan menjadi urusetia dan pegawai perlawanan. 




 
Ketua Troop Pengakap Laut 183 KL, Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi mewakili 
KL Canoe dalam acara kayak slalom.

Team KL Canoe yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL (Saudara Adham Aiman dan 
Saudara Mohd Afizal) ketika perlawanan menentang pasukan Taiwan

Pemimpin Krew telah berkesempatan menjenguk kejohanan ini pada hari Sabtu dan hari Ahad. Meskipun dua atlet daripada Troop Pengakap Laut 183 KL iaitu Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi (slalom, canoe polo) dan Saudara Mohd Afizal bin Suhaimi (canoe polo) tidak berjaya menjadi pemenang, kejohanan ini telah memberi pendedahan yang amat penting kepada mereka dalam perjalanan sebagai atlet KL Canoe. 

Pemimpin Krew bergambar bersama Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang berkhidmat sebagai 
Pembantu Teknikal Kejohanan.

Kesemua Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang terlibat telah menjalankan tugas dengan baik. Setiap mereka diberikan cenderahati berupa t-shirt kejohanan dan tag krew oleh KL Canoe. KL Canoe turut menyediakan makan minum untuk mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung dan memberi elaun selepas tamatnya kejohanan. Di peringkat troop, mereka akan dianugerahkan dengan Lencana Pembantu Regatta atas khidmat yang telah diberikan. Setinggi tahniah kepada semua yang terlibat. :)


Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 sedang berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan