Sempena Jambori Pengakap 1 Belia 1 Malaysia yang diadakan di Taman Rekreasi Wetland, Putrajaya pada 14 hingga 16 mei yang lalu, beberapa ahli krew telah mengadakan lawatan ke tapak Jambori tersebut memandangkan tiada ahli krew yang berkesempatan untuk menyertai jambori ini secara rasmi.
Pemimpin Krew telah melakukan lawatan awal pada hari Jumaat untuk meninjau kawasan perkhemahan jambori. Kontingen KL telah diuruskan dengan baik oleh saudara Rusdy dari Daerah Keramat dan Cikgu Siti Zuraidah dari Daerah Sentul.
Ahli-ahli krew bergambar di tepi jalan masuk berhampiran tapak kem Kontingen Selangor
Pada hari Sabtu, lawatan krew dilakukan dengan disertai oleh lima orang ahli krew. Ahli krew, saudari Irma telahmeluangkan masa untuk datang dari Ipoh bagi menyertai lawatan ini. Selain itu, kami turut disertai oleh saudara Arvind Danapalan, Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur.

Makan tengah hari bersama di Restoran Johnny's, Alamanda, Putrajaya
Kebanyakan aktiviti dijalankan di Pusat Bandar Putrajaya seiring dengan Karnival Jom Heboh yang diadakan di tapak yang sama. Tiada makanan dijual berhampiran tapak jambori sepertimana biasa. Oleh itu, kami bergerak ke Alamanda, Putrajaya untuk menikmati makan tengah hari.
Selepas itu, ahli-ahli krew bergerak ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) untuk melihat suasana majlis perasmian Hari Belia Negara yang turut disertai oleh hampir 300 orang ahli Pengakap. Pelbagai persatuan belia turut mengadakan pameran di samping pertandingan kawad kaki di bahagian luar PICC. Selepas sesi di PICC, saudari Irma meneruskan perjalanan untuk pulang ke Ipoh.

Ahli-ahli krew bergambar bersama adik-adik Kelana daripada Daerah Sentul
Di sebelah petang, ahli-ahli krew menyertai Pemimpin krew di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Risiko di rumah YBhg. Brig. Jen. Dato' Dr. Mohd Zin bin Bidin, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko. Mesyuarat ini diadakan di kediaman beliau di MINDEF.

Mesyuarat di kediaman Brig. Jen. Dato' Dr. Mohd Zin Bidin di Jalan Semarak
Selepas mesyuarat ini tamat, ahli-ahli krew termasuk saudara Iqbal telah meluangkan masa untuk suatu sesi get-together yang singkat di Alamanda, Putrajaya. Meskipun tidak berkesempatan menghadiri jambori ini sepenuhnya, ia menjadi platform yang baik untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli krew dan memberi pengajaran yang banyak dalam hal ehwal pengurusan perkhemahan.



