Isnin, Januari 28, 2013

Majlis Perkahwinan Saudara Samat


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Mendaki Gunung & Penajaan Krew, Saudara Mohd Samat bin Abdul Hamid di atas perkahwinan beliau dengan pilihan hatinya, Esmy Syamsiah bertempat di Simunjan, Sarawak pada hari Sabtu, 26 Januari 2013 yang lalu. Saudara Samat telah berkesempatan memakai uniform Pengakap No.2 sempena majlis ini. Krew mendoakan yang terbaik untuk pasangan ini dan semoga mereka kekal berbahagia hingga ke akhir hayat. 

Jumaat, Januari 25, 2013

Ujian Lencana Tukang Masak Troop 183

Troop 183 telah menganjurkan sesi ujian untuk Lencana Tukang Masak bagi ahli-ahli Tingkatan 3. Kesemua patrol telah mengambil bahagian dengan jayanya kecuali Patrol Paus yang menghadapi sedikit kesulitan kerana ahli-ahlinya tidak dapat hadir akibat komitmen keluarga.

Khamis, Januari 24, 2013

Latihan Kawad Kaki Sempena Hari Wilayah 2013

Latihan kedua kawad kaki sempena Hari Wilayah telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul pada 24 Januari 2013 yang lalu. Penyertaan adalah amat menggalakkan di mana ahli-ahli Pengakap dari SMK Bandar Baru Sentul, SMK (P) Jalan Ipoh, SMK Batu Muda dan SMK Bukit Bandaraya telah mengambil bahagian. Pertandingan Kawad Kaki Hari Wilayah pada tahun ini akan diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Februari 2013 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Isnin, Januari 21, 2013

Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 1/2013


Pengakap Laut WP Kuala Lumpur sekali lagi telah menganjurkan Kursus Kayak Star Award 1, kali ini Edisi 1/2013 untuk warga Pengakap yang berminat. Mulai tahun ini, penyertaan ini turut dibuka kepada peserta yang berusia 15 tahun dan ke atas bagi menyediakan ahli-ahli Pengakap Laut untuk menyertai ekspedisi kayak apabila menjadi ahli Pengakap Remaja Laut nanti. Ekspedisi berkayak ini adalah prasyarat Lencana  Ekspedisi iaitu salah satu daripada lima Lencana Tertinggi Pengakap Remaja sebelum melangkah ke Pentarafan Pengakap Raja. 


Jumaat, Januari 18, 2013

Kursus Kayak Star Award 1 Datang Lagi!


Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL akan sekali lagi dianjurkan pada hujung minggu ini, 19 dan 20 Januari 2013 bertempat di lokasi biasa di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ini adalah kursus edisi pertama bagi tahun 2013 dan terbuka kepada semua peringkat bermula dari pelajar tingkatan tiga. Krew mensasarkan mulai tahun ini untuk mengembangkan aktiviti kayak kepada ahli-ahli Pengakap Remaja Laut supaya mereka boleh mempersiapkan diri untuk menjalani ekspedisi kayak bagi memenuhi prasyarat Lencana Ekspedisi Pengakap Remaja. Apabila menyertai Kelana kelak, mereka boleh meneruskan pencapaian di peringkat Star Award 2 pula. Bagi tahun ini. Kursus Kayak Star Award 2 dijangka akan diadakan untuk Kelana dan Pemimpin sekitar bulan Mac 2013.

Khamis, Januari 17, 2013

Mesyuarat Agung Troop 183

Mesyuarat Agung Sesi Petang

Mesyuarat Agung Tahunan Troop 183 telah diadakan di Bilik Media SMK Bandar Baru Sentul pada hari Rabu, 16 Januari 2013 yang lalu. Mesyuarat Agung ini diadakan bagi kedua-dua sesi pagi dan petang. Tahun ini merupakan tahun yang penting kerana batch pertama Pengakap Laut SMK Bandar Baru Sentul telah menjejak ke tingkatan 3. Oleh itu, sistem patrol telah dapat dijalankan dengan sempurna dengan ahli-ahli tingkatan 3 telah dilantik sebagai Ketua Patrol dan Penolong Ketua Patrol. 

Memperkenalkan barisan Ketua Patrol kepada ahli-ahli

Enam patrol iaitu Patrol Paus, Patrol Jerung, Patrol Todak, Patrol Tapah, Patrol Toman dan Patrol Baung telah berjaya ditubuhkan dengan Ketua Patrol, Penolong Ketua Patrol dan Kuartermaster telah dilantik untuk setiap patrol tersebut. Handout Lencana Keahlian telah diedarkan kepada ahli-ahli tingkatan 1 sebagai permulaan. Mereka diminta menyelesaikan buku log dengan segera sebelum diuji dan dilantik sebagai ahli Pengakap Muda.

Mesyuarat Agung Sesi Pagi

Selasa, Januari 15, 2013

Perkhemahan Kepimpinan SMK Damansara Damai 1

Saudara Mohd Hafizal sedang menyampaikan sesi penerangan tentang Pengakap Laut

Krew telah menerima jemputan daripada Timbalan Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Ali Amir Razali untuk memberikan sesi penerangan ringkas tentang Pengakap Laut kepada para peserta Perkhemahan Kepimpinan SMK Damansara Damai 1 yang telah diadakan pada 11 hingga 13 Januari 2013 yang lalu. Para peserta perkhemahan ini seramai 62 orang adalah terdiri daripada Pengawas, Pengawas Perpustakaan, Ketua Kelas dan Pengerusi Badan Beruniform di sekolah tersebut. Pemimpin Krew yang tidak dapat hadir kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan telah mewakilkan kepada Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin untuk menyampaikan sesi tersebut pada hari kedua perkhemahan sekitar jam 8 pagi. Sesi penerangan ini merangkumi pengenalan kepada Pengakap Laut, aktivti-aktiviti marin dan peluang kerjaya di dalam bidang kepelautan. Selain sesi ini, Saudara Mohd Hafizal turut membantu di dalam sesi Kompas dan Bearing. Tahniah kepada pihak penganjur di atas kejayaan menganjurkan perkhemahan ini. 

Isnin, Januari 14, 2013

Pemilihan Sebagai Wakil PPM Ke Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia

Dari kiri: Saudari Suraya Ika Tamrin, Saudara Mohd Hilmi Mat Saad dan Saudara Haqqim Harun

Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Perkhidmatan Kelana Krew, Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad, Koordinator Pelayaran Krew, Saudari Suraya Ika binti Tamrin dan Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Haqqim bin Harun di atas pemilihan sebagai perwakilan Persekutuan Pengakap Malaysia ke Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia. Semoga mereka dapat menjalankan tugas sebagai perwakilan dengan sempurna dan menimba pengalaman bersama para pemimpin belia di peringkat kebangsaan. Krew berasa amat bangga dengan pencapaian ini dan mendoakan semuanya berjalan lancar.

Perlantikan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengakap Laut)

Tuan Shaikh Fadzillah bin Shaikh Harun

Berkuatkuasa mulai 13 Januari 2013, jawatan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengakap Laut) telah diwujudkan oleh Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia bagi menjaga hal ehwal Pengakap Laut. Pemegang jawatan ini juga akan menjadi salah seorang EXCO di dalam Majlis Pengakap Malaysia. Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah melantik bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan, Tuan Shaikh Fadzillah bin Shaikh Harun untuk memegang jawatan ini hingga 31 Disember 2014. Semoga dengan perlantikan ini, Pengakap Laut Malaysia akan dapat berkembang dengan lebih pesat lagi, insya Allah. 

Ahad, Januari 13, 2013

Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda

Antara hasil tangkapan yang diperolehi oleh para peserta

Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda telah diadakan di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 12 hingga 13 Januari 2013. Ekspedisi ini disertai oleh sepuluh orang merangkumi ahli Pengakap Muda Laut, Pengakap Remaja Laut dan seorang bakal Kelana. Mengiringi pasukan ekspedisi ini ialah Koordinator Memancing dan Pengendalian Bot Krew, Encik Norfian bin Nazir; Pemimpin Krew, Encik Mohd Hilmi bin Abu Bakar; 2nd Mate, Encik Mohd Ariff bin Mohd Tajudin dan Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah.

Tapak perkhemahan para peserta di Pantai Bagan Lalang

Para peserta ekspedisi bergerak dari Kuala Lumpur menaiki tren komuter KTM dari Stesen KL Sentral hingga ke Stesen Nilai. Dari Nilai pula, mereka menaiki bas Cityliner hingga ke Pekan Sungai Pelek. Selepas bersolat di Masjid Al-Ehsan Pekan Sungai Pelek, perjalanan diteruskan dengan kereta ke tapak perkhemahan berhampiran dengan chalet PNK Resort di Pantai Bagan Lalang. Perjalanan yang agak panjang menyebabkan mereka tiba di lokasi agak lewat. Oleh itu, waktu malam digunakan untuk membangunkan tapak perkhemahan dan memasak makan malam. 

Para peserta berlatih menggunakan joran 

Air laut pasang di Pantai Bagan Lalang ialah pada sekitar jam 7.30 pagi dan 7.30 malam, manakala waktu air laut surut pula ialah jam 1.30 petang dan 1.30 pagi. Memandangkan telah terlepas waktu air pasang pada jam 7.30 malam disebabkan sibuk membangunkan tapak perkhemahan, kami memfokuskan untuk memancing pada pagi keesokan harinya. Waktu malam itu digunakan untuk sesi memasang joran pancing dan teknik 'casting'.

Hasil tangkapan pada hari tersebut ialah ikan belukang

Sekitar waktu pagi, angin kencang melanda Pantai Bagan Lalang menyebabkan para peserta terpaksa berpindah kira-kira 10 meter dari tapak perkhemahan asal. Selepas itu, hujan yang agak lebat mula turun. Waktu ini digunakan untuk memasak sarapan pagi. Para peserta mula memancing sekitar jam 7.30 pagi selepas hujan berhenti ketika air laut berada di aras pasang tertinggi. Mereka memancing hingga sekitar jam 12.00 tengah hari. Umpan yang digunakan ialah umpun-umpun dan udang. Secara keseluruhannya, semua peserta telah berjaya menaikkan lebih 20 ekor ikan belukang. Ikan belukang ialah ikan air masin yang menyerupai ikan baung. Biasanya ia akan dikeringkan dan dijual sebagai ikan masin.

Umpun-umpun dijual dengan harga RM6 untuk satu beg plastik

Para peserta mula berkemas sekitar jam 12.30 tengah hari dan secara beransur-ansur bergerak pulang. Ekspedisi memancing pada kali ini berjaya mencapai sasaran dan mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan supaya ekspedisi berikutnya lebih berkualiti.

Ahad, Januari 06, 2013

Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) Ke-19

Perwakilan dari PPMWPKL memperkenalkan diri semasa acara tersebut berlangsung

Majlis Belia Wilayah Persekutuan telah mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke 19 pada 5 Januari 2013 yang lalu bertempat di Institut Latihan DBKL, Cheras. Krew berasa amat bertuah kerana Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin telah dipilih untuk menjadi perwakilan Persekutuan Pengakap Malaysia WP Kuala Lumpur ke acara ini bersama beberapa orang yang lain. Delegasi ini diketuai oleh Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Haqqim bin Harun. Hasil mesyuarat agung ini menyaksikan Encik Hamizi bin Mat Juah telah dipilih sebagai Presiden Baru MBWP menggantikan Puan Ida Harlina binti Ikhwan Nasir.  

Selasa, Januari 01, 2013

Selamat Tahun Baru 2013


Setelah melaksanakan pelbagai aktiviti dan melalui pelbagai cabaran sepanjang tahun, tahun 2012 akhirnya melabuhkan tirainya tanpa sebarang bencana besar seperti yang diramalkan di media internet dan media massa. Bersyukurlah kerana kita masih mampu hidup dengan selesa dan aman di negara ini meskipun ada sebahagian rakyat di negara kita sedang menghadapi banjir pada masa ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan baik ini berterusan supaya kita dapat terus berpengakap dan mendidik generasi muda untuk menjadi insan yang berguna dan berkemahiran. Selamat tahun baru 2013, semoga tahun ini akan dapat digunakan sepenuhnya oleh Krew untuk merealisasikan impian kita semua. :)