
Pisau Pelaut atau Seaman's Knife
Pisau adalah alatan yang amat penting dalam aktiviti kepengakapan dan survival. Sebagai seorang ahli Pengakap Laut, pisau boleh digunakan dalam pelbagai perkara sama ada ketika hendak memasak, ketika hendak mendirikan tempat berteduh, membina gejet, menyediakan perangkap, mempertahankan diri, meraut buluh dan sebagainya. Oleh itu, seseorang ahli Pengakap Laut perlu tahu cara yang betul untuk menggunakan dan menjaga pisau tersebut supaya tahan lama dan tidak bermasalah apabila hendak digunakan.
Swiss Knife yang mempunyai pelbagai alatan lain selain pisau
Pemilihan pisau hendaklah dilakukan dengan teliti. Pisau yang baik adalah yang diperbuat daripada stainless steel kerana jenis ini adalah tahan karat. Setelah dipakai beberapa kali, pisau akan menjadi tumpul. Oleh itu, kita perlu tahu bagaimana hendak mengasah pisau tersebut supaya menjadi tajam semula. Pisau yang tumpul berpotensi untuk mendatangkan kecederaan yang tidak dijangka.
Batu asahan yang boleh digunakan untuk menajamkan pisau
Bagi memastikan pisau tahan lama, ia perlu dibasuh dan dilap selepas digunakan. Untuk mengelakkan pengaratan, sapukan minyak pada pisau tersebut sebelum disimpan. Pisau hendaklah disimpan dengan hati-hati dan tidak dibiarkan bersepah di merata-rata tempat. Ahli Pengakap Laut juga tidak boleh menjadikan pisau sebagai bahan permainan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.




