Khamis, Mei 31, 2012

Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 2/2012


Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 2/2012 akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 9 & 10 Jun 2012
Lokasi: Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur
Masa: 8.30 pagi hingga 4.30 petang
Had penyertaan: 30 orang sahaja
Yuran: RM43 seorang (tidak termasuk makanan)
Pakaian: T-shirt lengan panjang dan track suit

Untuk sebarang pertanyaan, boleh reply post ini atau hubungi Pemimpin Krew dengan kadar yang segera. Bersama-sama kita meningkatkan kemahiran masing-masing. 


Rabu, Mei 30, 2012

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak Meninggal Dunia

Mendiang Encik Dustan Melling Undau

Hari terakhir Jambori Jutaan Belia 2012 di Putrajaya telah menerima berita yang sedih dan mengejutkan apabila Tuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, Encik Dunstan Melling Undau, telah meninggal dunia pada lewat tengah malam hari tersebut setelah terbabit di dalam sebuah kemalangan jalan raya di Selepung sewaktu di dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halamannya di Sri Aman.

Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom adalah antara rakan rapat mendiang 
yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh mendiang dan isterinya, Jacqueline Bungai Gawan, 62, telah bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan tong gas memasak. Mendiang meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dan pemandu lori mengalami cedera parah. 

Jenazah mendiang dipakaikan dengan uniform Pengakap

Mendiang yang berusia 67 tahun telah memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak sejak tahun 2007 dan merupakan Editor Eksekutif New Sarawak Tribune. Mendiang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Jabatan Penerangan dan meninggalkan lima orang anak.

Gambar kenangan Pemimpin Krew bersama mendiang dan Tuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur sewaktu Bengkel Pengurusan Risiko Peringkat Kebangsaan di Bintulu pada April 2012 yang lalu

Kali terakhir Pemimpin Krew berjumpa dengan mendiang ialah ketika Bengkel Pengurusan Risiko Peringkat Kebangsaan 2012 yang diadakan di SMK Kemena, Bintulu pada 6 hingga 8 April 2012 yang lalu. Pemergian mendiang ialah suatu kehilangan yang sukar dicari ganti di dalam arena kepengakapan di Malaysia.

Isnin, Mei 28, 2012

Pameran Pengakap Laut Sempena Jambori Jutaan Belia 2012


Sempena Jambori Jutaan Belia 2012 yang diadakan di Putrajaya pada 24 hingga 27 Mei 2012 yang lalu, Krew Kelana 'C' Laut Ibu Pejabat Negeri WPKL telah mengadakan Pameran Pengakap Laut di sub kem Kontinjen PPMWPKL yang terletak berhampiran dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya. ahli krew telah menghadirkan diri iaitu Skipper, 1st Mate Saudara Mohd Norfardrol Marshar Mohd Sharip, 2nd Mate Saudara Mohd Ariff Mohd Tajudin, Storekeeper Puan Rosbiah binti Mohd Shah, Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad, Saudara Muhammad Nur Salam bin Abdul Ghani, Saudara Fadzreen bin Abdul Ghafar dan Saudari Amalina binti Sanusi.

Isnin, Mei 21, 2012

Majlis Perkahwinan 4th Mate


Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa 4th, Saudara Abdullah Sani bin Hillaluddin akan melangsungkan perkahwinannya pada hari Isnin, 4 Jun 2012 bertempat di kediaman keluarga beliau di Kota Bharu, Kelantan. Pihak krew ingin menjemput semua ahli yang berkelapangan untuk menghadiri majlis ini. Semoga majlis berjalan lancar dan beliau berbahagia hingga ke akhir hayat :)

Jumaat, Mei 18, 2012

Selamat Berjaya Kepada 1st Mate


Pimpinan krew mengucapkan selamat berjaya kepada 1st Mate, Saudara Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip yang pada ketika ini telah berada di Pulau Perhentian, Terengganu untuk menyelesaikan Kursus Open Water Diving bersama Scuba Diving International (SDI) seterusnya mendapatkan lesen Open Water Diving tersebut. Beliau tidak dapat menyertai trip sebelum ini kerana komitmen kerja di pelantar minyak luar pantai. Seluruh krew mendoakan semoga beliau dapat menjalani kursus dan ujian dengan selamat dan berjaya. :)

Selasa, Mei 15, 2012

Jambori Jutaan Belia 2012


Persekutuan Pengakap Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan mengadakan Jambori Jutaan Belia 2012 bertempat di Putrajaya pada 23 hingga 27 Mei 2012 ini. Jambori ini diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara dan merupakan aktiviti tahunan sejak tahun 2010. Semua ahli Pengakap dari seluruh negara dijemput hadir ke jambori ini dengan bayaran RM10 seorang. Makanan, sijil dan lencana jambori disediakan.

Khamis, Mei 10, 2012

Isyarat Bunyi di Laut (Bahagian 1)


Contoh panel kawalan moden untuk Isyarat Bunyi

Salah satu daripada elemen yang terdapat di dalam COLREGS (Undang-undang Mengelakkan Perlanggaran Di Laut) ialah Isyarat Bunyi atau Sound Signals. Panel di atas adalah contoh panel kawalan moden untuk Isyarat Bunyi bagi tujuan-tujuan tertentu seperti berikut:

Audio contoh "satu bagas pendek"

Satu bagas pendek (One short blast) -Saya menukar haluan ke arah kanan (I am altering my course to starboard)


Audio contoh "dua bagas pendek"

Dua bagas pendek (Two short blast) -Saya menukar haluan ke arah kiri (I am altering my course to port)

Rabu, Mei 09, 2012

Tali Buangan (Heaving Line)


Tali buangan (heaving line) ialah suatu tali ringan yang digunakan untuk membolehkan tali penambat bot/kapal (hawser) yang lebih berat disampaikan kepada daratan apabila kapal hendak berlabuh atau sewaktu hendak menyerahkan tali yang lebih berat untuk apa-apa tujuan. Salah satu hujung tali buangan ini diakhiri dengan simpulan genggam monyet (monkey fist) untuk membantu mencapai jarak yang dikehendaki apabila tali tersebut dibuang. Selepas menyediakan tali buangan, hujung yang satu lagi akan diikatkan kepada tali penambat bot/kapal. Tali buangan kemudiannya digelungkan dengan hati-hati dengan 2/3 daripada gelungan itu dipegang dengan tangan kanan dan selebihnya di tangan kiri.


Semasa membuang tali, lengan kanan hendaklah lurus, manakala tali yang dipegang di tangan kiri hendaklah dibiarkan untuk meluncur keluar dengan bebas. Sering terjadi tali buangan tersebut tidak pergi jauh kerana tangan kiri tidak bertindak melepaskan tali yang dipegang sepertimana yang sepatutnya. Untuk membuang tali dengan lebih cekap, latihan perlu dibuat berulangkali. Setiap anak kapal perlu berlatih membuang tali. 

Selangor Rover Moot 2012


Sekretariat Pengakap Negeri Selangor telah menganjurkan Selangor Rover Moot bertempat di Mutiara Training Village and Eco Resort, Semenyih pada 4 hingga 7 Mei 2012 yang lalu. PPMWPKL telah menghantar penyertaan seramai 25 orang ke program ini.

Selasa, Mei 01, 2012

Program Percubaan Kem Penghayatan Pengakap Laut Negeri Johor


Unit Pengakap Laut Negeri Johor di bawah pimpinan Encik Khamaruzaman Samsudin telah mengadakan suatu program percubaan untuk Kem Penghayatan Pengakap Laut pada 27 hingga 29 April 2012 yang lalu bertempat di Pengkalan Jabatan Laut Wilayah Selatan, Tanjung Pelepas, Johor Bahru. Seramai 33 orang peserta dari SMK Pasir Putih telah mengambil bahagian di dalam program percubaan ini. Tiga orang wakil krew iaitu Skipper; Mohd Hilmi Abu Bakar, 2nd Mate; Mohd Ariff Mohd Tajudin dan Storekeeper; Rosbiah Mohd Shah telah membantu perjalanan program ini bersama para urusetia yang lain, di samping menjalin hubungan baik dengan pihak Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.