Khamis, Julai 29, 2010

Peralatan Navigasi: Speed Time Distance (STD) Ruler

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa

Contoh pembaris STD

Di anjungan kapal (bridge), terdapat beberapa peralatan navigasi mudah bagi membantu pelayar/ pelaut dalam kerja-kerja carta (charts work) semasa pelayaran. STD Ruler dibina berdasarkan teori seperti dalam rajah di bawah bagi memudahkan pelayar mengira kelajuan kapal, jarak dan masa tanpa menggunakan kalkulator.

Lilit Dua Simpul (Round Turn and Two Half Hitches)


Struktur lilit dua simpul

Lilit dua simpul adalah suatu lilitan yang digunakan untuk mengikat hujung tali pada suatu objek yang tetap. Nama simpulan ini terbentuk daripada dua komponen iaitu "lilit" yang melingkarkan tali mengelilingi sesuatu objek dan "dua simpul" untuk mematikan hujung tali. Contoh kegunaan lilit dua simpul adalah seperti mengikat khemah kepada pancangnya.

Isnin, Julai 26, 2010

Istilah Kelautan: Head (Bilik Air)

Disediakan oleh: Izhar Mat Isa


Inilah 'Head' tempat sailor dahulu kala melepaskan 'hajat'

Apabila mendengar perkataan 'Head' di kapal, tidak kira kapal perang atau kapal milik awam, sebagai seorang pelaut, jangan sesekali atau beberapa kali salah faham dengan maknanya. Di kapal, 'Head' bukanlah bermaksud kepala tetapi adalah 'Bilik Air'. Istilah ini adalah ciptaan pelaut kapal layar pada zaman dahulu kala. Istilah ini akan digunakan ketika krew kapal hendak membuang air besar terutamanya. 'Head' sama ada di kiri (port) atau kanan (starboard) haluan kapal (fo'xol) dan ia terletak berhampiran dengan ukiran bahagian depan kapal.

Ahad, Julai 25, 2010

Pengakap Laut Malaysia Suatu Masa Dahulu

Gambar di bawah diambil dalam tahun 1960-an. Kelihatan di sebelah kiri, dua orang ahli Pengakap Laut menyertai perbarisan ini dengan penuh berdisiplin dan segak. Gambar ini menunjukkan bahawa Pengakap Laut telah berada dalam senario kepengakapan Malaysia sejak dari dulu lagi. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menggerakkan kembali aktiviti-aktiviti Pengakap Laut yang berkualiti supaya Pengakap Laut itu bukan hanya sekadar uniform tetapi juga ilmu dan kemahiran.

Ahli Pengakap Laut menyertai perbarisan kehormat

Kursus Manikayu Peringkat Pengenalan

Para peserta sedang mendengar ceramah daripada Tuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri

Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu dan Daerah Keramat telah bekerjasama untuk menganjurkan Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat Pengenalan pada pagi tadi (Sabtu, 24 Julai 2010). Kursus ini telah diadakan di SK St. John, Bukit Nanas. Seramai lima orang ahli krew termasuk seorang ahli senior iaitu Encik Tan Ming Meng telah menyertai kursus ini. Kursus bermula jam 8.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 3.30 petang. Jumlah keseluruhan peserta adalah 70 orang. Kursus berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.

Jumaat, Julai 23, 2010

Simpul Manuk (Clove Hitch)

Simpul manuk adalah salah satu daripada enam simpulan yang terdapat di dalam sukatan pelajaran Lencana Keahlian. Bersama tindih kasih dan bunga geti, ia sering dianggap sebagai salah satu simpulan yang amat penting. Simpulan ini dibentuk daripada dua lilitan separuh (half hitches) yang mengelilingi sesuatu objek seperti dalam rajah di bawah.

Simpul manuk pada batang pokok

Simpul manuk adalah asas untuk memulakan ikatan seraya (square lashing) yang amat penting dalam pembinaan gejet dan projek perintis. Selain itu, simpul manuk juga amat penting untuk mengikat layar pada boom bot laser dan digunakan ada karabinar seperti dalam rajah di bawah.

Isnin, Julai 19, 2010

Keratan Akhbar Kursus Asas Pertolongan Cemas Pengakap Kelana KL

Keratan akhbar mengenai Kursus Asas Pertolongan Cemas Pengakap Kelana KL 2010 telah diterbitkan di muka surat S29, Akhbar Sinar Harian Edisi Selangor dan KL pada hari ini (19 Julai 2010).

Jumaat, Julai 16, 2010

Kursus Pertolongan Cemas Pengakap Kelana KL 2010

Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Persekutuan Pengakap Malaysia dengan kerjasama Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Ampang telah mengadakan Kursus Pertolongan Cemas Pengakap Kelana KL 2010 pada 9 hingga 11 Julai 2010 yang lalu bertempat di SMK Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Kursus ini disertai oleh 30 orang ahli-ahli dan Pemimpin Pengakap Kelana seluruh Kuala Lumpur.

Ahli-ahli krew yang menyertai Kursus Asas Pertolongan Cemas Pengakap Kelana KL

Seramai lima orang ahli krew telah mengambil bahagian. Para peserta beruntung kerana dapat mempelajari ilmu pertolongan cemas yang terkini daripada kakitangan hospital yang amat berpengalaman.

Isnin, Julai 12, 2010

Kursus Pengurusan Keselamatan PPM 2010


Barisan ahli-ahli krew yang bertugas sebagai urusetia kursus

Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah mengadakan Kursus Pengurusan Keselamatan PPM 2010 bertempat di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 2 hingga 4 Julai yang lalu. Seramai tujuh orang ahli krew telah berkesempatan menjadi urusetia di samping turut sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan.

Lencana Jawatankuasa Pengurusan Risiko

Majlis Tunang Iqbal

Ahli krew iaitu saudara Mohd Iqbal bin Mohd Saidi dengan selamat bertunang dengan pilihan hatinya, Cik Rodhiyah Shamilah binti Mat Ariff pada hari Ahad, 27 Jun 2010 yang lalu. Majlis yang diadakan di rumah pihak perempuan di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda ini turut disertai oleh Pemimpin Krew dan Penolong Pemimpin, saudara Mohd Norfardrol Marshar yang menjadi jurukamera majlis.

Saudara Iqbal bersama tunangnya selepas tamat majlis pertunangan

Arah Mata Angin

Terdapat lapan arah mata angin yang utama seperti di dalam rajah di bawah:

Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan arah yang lebih tepat, biasanya pelaut akan menggunakan sistem yang lebih terperinci seperti di dalam rajah di bawah:


Simpulan Tindih Kasih (Bowline)

Struktur simpulan tindih kasih

Tindih kasih adalah simpulan yang digunakan untuk membentuk gelungan tali yang tidak menjerut. Ini menjadikannya sangat sesuai untuk menambat haiwan dan dijadikan tempat berpegang.

Langkah-langkah menyediakan simpulan tindih kasih



Rabu, Julai 07, 2010

Melawat Pentarafan Pengakap Raja WP Kuala Lumpur

Pentarafan Pengakap Raja bagi Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diadakan di Methodist Boy School, Jalan Hang Jebat pada 25 hingga 27 Jun 2010 yang lalu. Dua orang ahli krew telah berpeluang melawat dan membuat perkhidmatan singkat pada peringkat awal pentarafan ini.

Para peserta sedang menjalani ujian menghidupkan api

Seramai 26 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pentarafan ini majoritinya daripada daerah Bangsar dan Sentul. Meskipun hujan lebat pada petang Jumaat, para peserta tetap meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Anugerah Pengakap Raja.