Isnin, Disember 31, 2012

Tinjauan Ke Pantai Bagan Lalang, Sepang

Panorama di Pantai Bagan Lalang. Kelihatan di dalam gambar ini ialah chalet-chalet 
Sepang Gold Coast yang terletak berhampiran dengan kawasan perkelahan

Krew telah mengadakan tinjauan ke Pantai Bagan Lalang pada hari Ahad, 30 Disember 2012 sebagai salah satu persediaan untuk mengadakan ekspedisi memancing ke pantai ini dalam masa terdekat. Tinjaun ini diketuai oleh Jurulatih Jemputan Krew (Memancing dan Mengendalikan Bot), Encik Norfian Nazir dan turut disertai oleh Pemimpin Krew, Pengurus Aset Krew dan seorang ahli Troop 183 yang berkelapangan. 

Kompleks tandas awam yang terdapat di dalam kawasan Kem Dato' Seri Dr. Shafie Salleh

Pantai Bagan Lalang sangat sesuai untuk mengadakan aktiviti memancing. Ahli-ahli Pengakap Laut boleh berkhemah di tepi pantai yang luas, rata dan redup. Tandas awam ada disediakan di dalam kawasan Kem Pengakap Dato' Seri Dr. Shafie Salleh iaitu Kem Pengakap Kebangsaan yang terdapat di Pantai Bagan Lalang ini. Kawasan ini turut dilengkapi dengan warung menjual makanan, gerai-gerai pakaian dan surau.

Zon pasar segar di Pantai Bagan Lalang

Terdapat zon pasar segar berhampiran dengan tapak perkhemahan yang menjual ikan-ikan segar dan umpan memancing seperti umpun-umpun. Zon pasar segar ini terletak berhampiran dengan jeti nelayan. Dari jeti ini, mereka yang inginkan cabaran berbeza boleh menaiki bot untuk pergi ke kelong, Terdapat beberapa kelong yang dibina di luar pantai Bagan Lalang dan menjadi destinasi para pemancing. Selain itu, beberapa restoran makanan laut turut beroperasi di sini.

Salah satu kelong yang terdapat di Bagan Lalang

Ekspedisi memancing ini ialah salah satu daripada prasyarat Lencana Juragan Muda di mana ahli-ahli Pengakap Muda Laut hendaklah pergi mengikuti ekspedisi memancing selama 2 hari 1 malam di bawah pengawasan orang dewasa dan merekodkan hasil tangkapan. Antara ikan yang boleh diperolehi di kawasan ini ialah ikan siakap. 

Jeti nelayan Bagan Lalang semasa air sedang surut

Rabu, Disember 26, 2012

Pendakian Ke Bukit Tabur (East)


Bergambar beramai-ramai setelah berjaya menawan puncak Bukit Tabur (East)

Setelah beberapa lama tidak menjalankan aktiviti mendaki, krew telah menganjurkan pendakian ke Bukit Tabur (East) pada 25 Disember 2012. Bukit Tabur (East dan West) terletak di Taman Melawati, Hulu Klang berhampiran dengan Zoo Negara dan merupakan sebahagian daripada banjaran lembangan kuarza sepanjang 14 kilometer iaitu lembangan kuarza yang terpanjang di dunia.

Melintasi sungai untuk memulakan pendakian

Aktiviti ini juga dijalankan bagi membantu beberapa orang ahli Pengakap Muda dan Pengakap Muda Laut yang ingin memenuhi prasyarat Lencana Jaya iaitu mendaki bukit. Aktiviti pendakian ini diketuai oleh Koordinator Mendaki Gunung Krew, Saudara Mohd Samat bin Abdul Hamid selaku guide. Beliau dibantu oleh ahli-ahli krew iaitu Pemimpin Krew, 1st Mate, Saudara Mohd Norfardrol Marsharp Mohd Sharip; 2nd Mate, Saudara Mohd Ariff bin Mohd Tajudin; Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah binti Mohd Shah; Koordinator Perkhidmatan Krew, Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad dan ahli krew, Saudari Sharita Fardeyra binti Mohd Sharip. Seramai 10 orang ahli-ahli Pengakap Muda dan Pengakap Muda Laut telah turut sama mengambil bahagian.

Berehat sebentar ketika dalam pendakian

Selain daripada mendaki, para peserta turut ditugaskan untuk menyelesaikan satu lagi prasyarat Lencana Jaya iaitu menjalankan kajian isi bumi (geologi) di mana mereka telah membuat kajian terhadap kristal kuarza yang ditemui di atas Bukit Tabur sepanjang pendakian ini. Lembangan kuarza di atas Bukit Tabur adalah unik kerana ia dikelilingi oleh kawasan berbatu kapur. Ini menyebabkan kawasan ini turut dikenali dengan nama "tulang belakang naga". 

Antara kristal kuarza yang terdapat di lereng Bukit Tabur

Empangan Klang Gates dari puncak Bukit Tabur

Bandaraya Kuala Lumpur dari puncak Bukit Tabur

Pendakian dimulakan dari bahagian sebelah kanan Empangan Klang Gates. Pendakian ke puncak agak curam tapi mempunyai tempat berpijak yang agak banyak. Cuaca mendung sejak mula berkumpul di Wangsa Maju lagi tetapi kami bernasib baik kerana tiada hujan turun. Cuaca sebegini sangat membantu kerana para peserta tidak cepat keletihan dan tidak terdedah kepada risiko batu yang licin atau tanah yang berlopak yang berpotensi menyebabkan kecederaan dan kemalangan.

Para peserta mendaki puncak terakhir Bukit Tabur

Bergerak turun setelah melepaskan penat di puncak Bukit Tabur

Tiba di kaki Bukit Tabur yang merupakan kawasan dusun dan perumahan

Setelah melalui pendakian naik dan turun beberapa kali, akhirnya kami tiba ke puncak terakhir yang paling sukar kerana kondisinya yang sangat curam. Namun begitu, dengan tali yang disediakan dan sikap peserta sendiri yang berhati-hati dan berdisiplin, mereka berjaya juga tiba ke puncak tersebut sekitar tengah hari. Setelah mengambil masa untuk berehat, bergambar dan menikmati pemandangan, kami bergerak turun melalui laluan yang lain dan keluar di kawasan dusun di kaki bukit tersebut. Para peserta memperuntukkan sedikit masa untuk mandi sungai sebelum bergerak ke Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati untuk Solat Zuhur. Acara pendakian ini ditutup dengan makan tengah hari beramai-ramai di medan selera Taman Melawati. Kami amat bersyukur kerana tiada masalah atau kecederaan berlaku sepanjang pendakian ini. .

Bukit Tabur (East) yang baru sahaja dituruni

Mandi sungai di kaki Bukit Tabur setelah selamat turun

Isnin, Disember 24, 2012

Jamuan Perkahwinan Encik Chan Zi-Lie


Krew telah menerima jemputan daripada Encik Chan Zi-Lie, Jurulatih Jemputan Krew (Pertolongan Cemas dan Menyelamat Nyawa) untuk menghadiri jamuan perkahwinan beliau di Rumahku Gallery & Cafe, Jalan Universiti, Petaling Jaya pada malam hari Ahad, 23 Disember 2012 yang lalu. Beliau berkahwin dengan isterinya, Puan Elaine pada bulan Mac 2012 yang lalu dan tidak berkesempatan untuk mengadakan jamuan bagi rakan-rakan terutamanya yang beragama Islam. Oleh itu, jamuan ini diadakan dan menyediakan makanan vegetarian untuk dinikmati semua. Krew diwakili oleh Pemimpin Krew; 2nd Mate, Encik Mohd Ariff Mohd Tajudin; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah; Koordinator Penyelamat Nyawa Krew, Saudara Tan Cheng Yee dan tiga orang ahli Troop 183 yang berkesempatan untuk hadir. Semoga kedua-dua mereka kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.

Majlis Perkahwinan Saudara Hizam


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Teknikal Krew, Saudara Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim di atas majlis perkahwinan beliau dengan pilihan hatinya, Nurulashikin binti Md Sidik pada 22 Disember 2012 yang lalu bertempat di Muar, Johor Darul Takzim. Krew telah diwakili oleh 3rd Mate, Puan Rohani Haji Ahmad dan Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin. Seluruh warga krew mendoakan agar perkahwinan mereka berdua diberkati dan kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.

Selasa, Disember 18, 2012

Langkawi 1Malaysia International Geopark & Maritime Scout Jam-Moot

Kontinjen PPMWPKL bergambar di gangway KD Perantau yang berlabuh di Pangkalan TLDM Langkawi

Langkawi 1Malaysia International Geopark & Maritime Scout Jam-Moot 2012 telah diadakan di Oriental Village, Pantai Kok, Langkawi bermula pada 12 hingga 17 Disember 2012. Pemimpin Krew dan Pengurus Aset Krew telah menyertai kontinjen PPMWPKL ke jambori ini walaupun hadir agak lewat iaitu pada 14 Disember 2012. Kontinjen PPMWPKL kali ini telah diketuai oleh Cikgu Mohd Firdaus dari SK Bandar Tasik Selatan; Kekuatan kontinjen ialah seramai 30 orang.

Selasa, Disember 11, 2012

Tahniah Kepada Puan Farah Ashikin


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli krew, Puan Farah Ashikin binti Mohd Radi di atas kelahiran putera sulungnya dengan berat 3 kilogram pada jam 10.10 pagi semalam, 10 Disember 2012 di Ipoh. Beliau menamakan anak sulungnya dengan nama Adam Asyraf bin Muhammad Khairul Aflah. Semoga kehadiran warga baru di dalam keluarga akan menambahkan lagi keceriaan dan keberkatan keluarga ini.