Selasa, Julai 31, 2012

Penganugerahan Lencana Troop Pengakap Laut 183


Enam orang ahli Troop Pengakap Laut 183 yang telah memenuhi semua prasyarat penganugerahan lencana termasuk menyiapkan buku log telah dianugerahkan dengan lencana masing-masing semasa perhimpunan mingguan SMK Bandar Baru Sentul pada hari Isnin, 30 Julai 2012 yang lalu. Kesemua lencana telah dianugerahkan oleh Jurulatih Jemputan Troop 183, Encik Mohd Hilmi Abu Bakar dengan disaksikan oleh Penyelia Sesi Petang dan guru-guru yang lain.


Selepas itu, semua penerima lencana telah bergambar beramai-ramai dengan Pemimpin dan Jurulatih Jemputan Troop 183. Tahniah kepada semua penerima lencana, semoga lebih bersemangat untuk maju ke hadapan dalam kepengakapan. :)

Isnin, Julai 30, 2012

Basic Occupational First Aid & CPR Training Course


Melalui iklan yang disiarkan di Groupon, Pemimpin Krew, Encik Mohd Hilmi Abu Bakar dan Jurulatih Jemputan Krew, Encik Chan Zi-Lie, telah mengambil peluang untuk menyertai Basic Occupational First Aid & CPR Training yang dianjurkan oleh MSE Academy Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang diberi tauliah untuk menganjurkan kursus ini bagi golongan profesional bertempat di premis mereka di Pusat Perdagangan Centrepoint, Seksyen 26, Shah Alam pada 28 dan 29 Julai 2012 yang lalu.


Kursus selama 2 hari ini turut disertai oleh 10 orang lagi peserta daripada pelbagai latarbelakang dan merangkumi pelbagai jenis pertolongan cemas untuk senario yang berbeza. Para peserta turut didedahkan dengan elemen praktikal bagi melengkapkan teori yang disampaikan. Kursus ini diakhiri dengan ujian praktikal untuk dua senario iaitu kemalangan jalan raya dan kebakaran dalam bangunan serta ujian teori bertulis. Keputusan akan diumumkan dalam 21 hari waktu bekerja. Secara keseluruhannya, kursus ini memberi banyak pendedahan baru dan amat berjaya. 

Ahad, Julai 29, 2012

Saudari Ika Kemalangan

Dukacita dimaklumkan bahawa Saudari Suraya Ika binti Tamrin, Koordinator Pelayaran Krew telah mengalami kemalangan apabila kereta yang dipandu oleh beliau dilanggar dari belakang pada hari Sabtu, 28 Julai 2012 yang lalu. Beliau telah dimasukkan ke dalam wad di Hospital Banting akibat kecederaan pada kepala. Diharap agar semua ahli krew dapat mendoakan kesihatan beliau.

Sabtu, Julai 21, 2012

Selamat Menjalani Ibadah Puasa 1433H


Kepimpinan krew Kuala Lumpur Charlie Rovers ingin mengucapkan salam Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa bagi tahun 1433H kepada semua warga Pengakap Malaysia yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini dapat menjadi medan untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan kualiti ibadah dan menjadi ahli Pengakap yang lebih mantap pada masa depan.

Rabu, Julai 18, 2012

Perkhemahan Lencana Maju/Juragan Muda & Lencana Usaha/Ahli Bot Troop 183 2012


Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul telah mengadakan Perkhemahan Lencana Maju/Juragan Muda dan Lencana Usaha/Ahli Bot bertempat di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada 13 hingga 15 Julai 2012 yang lalu. Perkhemahan ini telah dijalankan sepenuhnya di bawah pengawasan Pasukan Kelana 'C' Laut Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur. 

Isnin, Julai 09, 2012

Majlis Perasmian Taman Rimba Bukit Kerinchi


Persekutuan Pengakap Malaysia WP Kuala Lumpur (PPMWPKL) telah dijemput untuk sama-sama menjayakan Majlis Perasmian Taman Bukit Kerinchi bertempat di Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam iaitu salah satu daripada taman awam yang baru dibuka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk kegunaan orang awam berekreasi dan berkhemah. Pemimpin dan Storekeeper Krew telah berkesempatan untuk menghadiri majlis tersebut yang telah diadakan pada petang hari Sabtu, 7 Julai 2012 yang lalu.

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. PPMPWKL juga amat bertuah kerana beliau telah meluangkan masa untuk turut merasmikan Pra Pelancaran Jambori Malaysia Ke-13 di lokasi yang sama. Ahli-ahli Kelana dari Daerah Keramat telah bertungkus lumus menyiapkan 'camp standard' sebagai simbol jambori dan YB Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berasa amat gembira dengan persiapan yang dibuat oleh PPMWPKL di tapak tersebut. 

Lawatan Ke Hari Terbuka Pusat Hidrografi Nasional

Ketua Krew, saudara Mohd Hafizal Azizudin dan ahli krew, saudari Nor Falzah Ishak telah berkesempatan berkunjung ke Hari Terbuka Pusat Hidrografi Nasional di Pulau Indah, Klang pada 29 Jun 2012 yang lalu.