Sempena Kejohanan Kanu Terbuka Kuala Lumpur 2013 yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur, Krew telah membuka peluang perkhidmatan sebagai Pembantu Regatta kepada ahli-ahli Troop 183 yang berminat. Seramai lima orang ahli Troop 183 telah menyahut seruan untuk berkhidmat tersebut iaitu Muhammad Adham Aiman, Kamal Ariff, Syed Mirza Faiz, Mohd Afizal dan Muhammad Khairin. Sepanjang kejohanan ini, mereka telah berkhidmat sebagai penjaga garisan bagi permainan kenu polo (canoe polo). Mereka yang berkhidmat ini akan dianugerahkan dengan Lencana Pembantu Regatta setelah menyelesaikan buku log masing-masing.
Ahad, Disember 22, 2013
Isnin, Disember 16, 2013
Majlis Pertunangan 2nd Mate
Ibu 2nd Mate menyarungkan cincin pertunangan ke jari Ahli Krew, Nurnadia Shafika
Kepimpinan Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 2nd Mate, Encik Mohd Ariff bin Mohd Tajudin di atas pertunangan beliau dengan pilihan hatinya yang juga Ahli Krew, Nurnadia Shafika binti Ismail bertempat di kediaman Nurnadia Shafika di Kangkar Pulai, Skudai pada hari Sabtu, 14 Disember 2013. Seluruh warga krew mendoakan agar kedua-dua mereka sentiasaa diberkati dan jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat. Harap tidak lupa menjemput kesemua warga krew untuk majlis perkahwinan nanti, insyaAllah :)
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Isnin, Disember 09, 2013
Berkhidmat di Regional Cadet Camp 2013 Anjuran St John Ambulance Wilayah Persekutuan
Warga Krew yang hadir bergambar beramai-ramai bersama para peserta
Krew telah memenuhi jemputan daripada pihak St John Ambulance Malaysia Wilayah Persekutuan untuk membantu menjalankan sesi Navigasi dan Komunikasi di Regional Cadet Camp 2013 yang telah diadakan di Riverside, Janda Baik, Pahang pada 6 hingga 8 Disember 2013 yang lalu. Warga krew yang hadir ialah Pemimpin Krew; Jurulatih Jemputan Krew Encik Jamal Harim bin Abdullah; Bekas Setiausaha Pasukan Latihan Negeri WPKL, Encik David Ong; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah; Setiausaha Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi Hasanudin; Bakal Kelana Raja Ainnur Azeera Raja Azman dan Ketua Patrol Paus Troop 183, Saudara Muhammad Adham Aiman Nor Apandi.
Aktiviti telah dijalankan secara sistem pangkalan dengan membahagikan kepada empat base iaitu Base 1 - Peta Topografi, Base 2 - Kompas, Base 3 - Isyarat Bendera Semaphore dan Kod Fonetik dan Base 4 - Kod Morse. Seramai 67 orang ahli St John Ambulans Malaysia dari seluruh Wilayah Persekutuan telah menyertai perkhemahan ini. Selepas menjalani latihan, mereka turut diuji dalam peperiksaan ringkas menggunakan kertas soalan objektif dan subjektif yang disediakan oleh Pemimpin Krew. Sesi ini adalah bagi membolehkan mereka dianugerahkan dengan Lencana "Map Reading and Navigation" dan Lencana "Signalling". Walaupun hujan lebat turun sepanjang sesi dijalankan, ianya tetap mencapai objektif dengan jayanya. Pihak penganjur telah memberikan penghargaan berupa sijil penghargaan dan hamper. Kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur setelah selesai makan tengah hari.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Rabu, Disember 04, 2013
Kuala Lumpur Canoe Invitation Championship 2013
Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Kenu Malaysia akan menganjurkan Kuala Lumpur Canoe Invitation Championship 2013 pada 20 hingga 22 Disember 2013 ini bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sekiranya tiada halangan, Krew sedang dalam usaha untuk menghantar beberapa orang Ahli Troop 183 untuk berkhidmat sebagai Pembantu Regatta di kejohanan ini bagi membolehkan mereka dianugerahkan dengan Lencana Pembantu Regatta iaitu salah satu daripada Lencana Kepandaian (Kategori Perkhidmatan).
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Isnin, Disember 02, 2013
Selamat Pengantin Baru Kepada Ahli Krew Siti Aisah Sawin
Sea Dad Encik Khamaruzaman Samsudin bergambar bersama pengantin baru
Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Krew, Saudari Siti Aisah Sawin yang telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Juat bin Latif pada hari Ahad, 1 Disember 2013 yang lalu bertempat di kediaman keluarga beliau di Kampung Betandok Lubak, Beaufort, Sabah. Sea Dad Encik Khamaruzaman Samsudin dan keluarga telah berkesempatan menghadiri majlis ini. Kepimpinan Krew sentiasa mendoakan semoga perkahwinan ini diberkati dan berkekalan sehingga ke akhir hayat, insya Allah. Kami memohon berbanyak-banyak maaf kerana tidak dapat hadir di majlis tersebut.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Isnin, Oktober 28, 2013
Malam Apresiasi Pelaut Muda Troop 183 Kali Pertama 2013
Para hadirin bergambar beramai-ramai setelah selesainya majlis tersebut
Troop Pengakap Laut 183 dengan kerjasama Pasukan Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Malam Apresiasi Pelaut Muda Troop 183 2013. Majlis ini diadakan bertujuan meraikan ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183, para Pemimpin dan Ahli Kelana 'C' Laut WP Kuala Lumpur serta para ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan selama ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Ruzaimah binti Zainal Abidin, Guru Penolong Kanan (HEM) SMK Bandar Baru Sentul yang juga merupakan seorang ahli Pengakap semasa beliau masih menuntut di UPM pada tahun 80-an yang lalu.
Ahli-ahli Troop 183 turut menerima Lencana Kemajuan mengikut pencapaian masing-masing sama ada Usaha/Ahli Bot, Maju/Juragan Muda atau Jaya/Juragan. Seramai lapan orang telah menerima Rambu Pengakap Muda Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara iaitu Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi, Muhammad Adi Ruzaini bin Zainal, Amierul Firdaus bin Azwanizam, Syed Mirza Faeiz bin Syed Muzlin, Kamal Ariff bin Kamal Affandi, Riky Danieal bin Misman, Muhammad Khairul Aman bin Baharom dan Saiful Armin bin Izhar. Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan di mana lima hadiah berbeza telah disumbangkan oleh warga Krew. Hadiah-hadiah tersebut berupa jaket keselamatan (buoyancy aid), beg tidur (sleeping bag), set alatan memasak, peti pertolongan cemas dan dapur mini (portable stove).
Kepimpinan Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli Troop 183 yang telah dianugerahkan dengan lencana. Semoga lencana yang diperolehi akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus maju di dalam arena kepengakapan seterusnya mencapai Anugerah Pengakap Raja.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Selasa, September 17, 2013
Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan PPM 2013
Pemimpin Krew dan Encik Mohd Hizam bergambar bersama rakan Pengakap Laut dari Sabah (Encik Osman)
dan Sarawak (Encik Alvin) di depan Wisma Pengakap Kem Kijang :Sumber gambar Encik Alvin Johnson
Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Persekutuan Pengakap Malaysia telah menganjurkan buat-buat julung kalinya Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan PPM 2013 bertempat di Kem Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan pada 12 hingga 15 September 2013 yang lalu. Seorang Ahli Krew iaitu Encik Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim telah mengambil bahagian sebagai peserta. Pemimpin Krew telah bertugas sebagai Ketua Urusetia dengan dibantu oleh Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah, Jurulatih Jemputan Krew Encik Jamal Harim bin Abdullah serta Rakan Krew, Encik David Ong. Selain Encik Mohd Hizam, peserta lain daripada WP Kuala Lumpur ialah Jurulatih Jemputan Krew Encik Chan Zi-Lie dan Puan Stella Lai.
Program ini merupakan program bersepadu seumpamanya yang bertujuan memberi pendedahan kepada para Pemimpin Pengakap dan Ahli Kelana dari seluruh negara tentang proses dan kaedah pengurusan bencana alam. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjadi penganjur bersama dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Universiti Sains Malaysia. Selain sesi teori yang diadakan di Kem Kijang, turut diadakan ialah sesi praktikal sebanyak dua kali iaitu di muara sungai di Kuala Besar (kira-kira 6km dari Kem Kijang) dan di Pantai Seri Tujoh, Tumpat (kira-kira 31km dari Kem Kijang).
Bergambar beramai-ramai bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
selepas selesainya Majlis Perasmian
Yang Amat Setia Dato' Wan Mohd Nor bin Haji Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah hadir merasmikan pembukaan bengkel ini. Majlis penutupan pula disempurnakan sendiri oleh Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko), YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin. Seramai 70 orang peserta telah mengambil bahagian di dalam bengkel ini. Bengkel ini akan diadakan lagi buat kali kedua di lokasi yang sama pada tahun hadapan.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, September 16, 2013
Majlis Perkahwinan Pengerusi Krew
Kedua-dua mempelai berarak untuk ke lokasi majlis perkahwinan tersebut
Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Krew, Encik Mohd Hafizal bin Azizudin yang telah melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya yang juga Ahli Krew, Cik Nor Falzah binti Ishak pada hari Ahad, 15 September 2013 bertempat di kediaman keluarga Nor Falzah di Sungai Udang, Klang. Seluruh warga krew mendoakan agar perkahwinan mereka sentiasa diberkati oleh Allah, dikurniakan anak-anak yang baik dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Ahad, September 08, 2013
Klinik Perahu Layar Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Edisi Kedua 2013
Bergambar beramai-ramai di perairan Batu Laut yang sedang surut selepas tamatnya
Klinik Perahu Layar Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Edisi Kedua 2013
Krew telah menganjurkan Klinik Perahu Layar Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Edisi Kedua 2013 bertempat di Pusat Latihan Perahu Layar, Pantai Batu Laut, Banting, Selangor pada 7 dan 8 September 2013 yang lalu. Program ini adalah kesinambungan daripada Edisi Pertama yang telah dijalankan pada bulan September tahun 2012 yang lalu. Selain penyertaan daripada Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul, program ini turut menerima penyertaan daripada Troop Pengakap Laut Terbuka 227 SRSS yang dipimpin oleh Jurulatih Jemputan Krew, Encik Chan Zi-Lie.
Seperti program tahun lalu, program kali ini turut dikembarkan dengan program Majlis Jamuan Hari Raya KL Charlie Rovers dan Troop 183 Edisi Ketiga yang telah dimulakan sejak tahun 2011. Ahli-ahli Krew dan Rakan Krew yang berkemampuan telah sama-sama menyumbang wang dan bahan mentah bagi menjayakan majlis jamuan ini.
Krew turut membuat pembaharuan apabila menyediakan handout dalaman bagi menyokong sesi latihan praktikal yang dijalankan oleh para jurulatih. Kaedah ini ternyata berkesan kerana dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada para peserta tentang asas pengendalian perahu layar. Krew telah berhasrat untuk menganjurkan sebuah Klinik Perahu Layar Khas bagi ahli-ahli Tingkatan 3 selepas selesainya peperiksaan PMR mereka nanti. Semoga program ini akan dapat dijalankan lagi pada tahun hadapan.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Ahad, Julai 21, 2013
Majlis Ifar Ramadhan Krew Kelana 'C' Laut Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur
Bergambar beramai-ramai di depan Restoran Pizza Hut, AEON AU2 Setiawangsa
selepas selesai Majlis Iftar Ramadhan
Buat tahun ketiga berturut-turut, krew telah sekali lagi menganjurkan Majlis Iftar Ramadhan Krew Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur dengan tujuan mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli krew dan rakan-rakan krew yang turut serta. Majlis ini telah diadakan di lokasi yang sama iaitu Restoran Pizza Hut, AEON AU2, Setiawangsa pada petang hari Sabtu, 20 Julai 2013. Majlis pada tahun ini telah disertai oleh seramai 27 orang.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Julai 01, 2013
Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WP Kuala Lumpur 2013
Warga Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WP Kuala Lumpur 2013
bergambar beramai-ramai di atas Muzium Maritim Ex-Rahmat
Unit Pengakap Laut WP Kuala Lumpur telah menganjurkan Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WP Kuala Lumpur 2013 ke Lumut Bandar Tentera Laut, Perak pada 28 hingga 30 Jun 2013 yang lalu. Ini adalah kesinambungan kepada Lawatan Pendidikan Marin Pengakap Laut WP Kuala Lumpur 2012 yang telah diadakan ke Melaka Bandaraya Bersejarah pada tahun 2012 yang lalu. Seramai tiga puluh lima orang ahli Pengakap Laut daripada Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul telah menyertai lawatan ini dengan diiringi oleh Pemimpin Troop, Puan Siti Zuraidah Yusof dan Penolong Pemimpin Troop, Puan Zanariah Zakaria. Krew telah diwakili oleh Skipper, 2nd Mate Mohd Ariff Mohd Tajudin, Storekeeper Rosbiah Mohd Shah, Ahli Krew Wan Muammar Qaddafi Hasanudin dan Ahli Krew Sharina Hepeni.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Jun 24, 2013
Kembori Pengakap Daerah Keramat 2013
Skipper, Ahli Krew Wan Muammar dan Perintis Krew Afiq Hafizudin sedang mengendalikan aktiviti air
Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Keramat dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Keramat telah menganjurkan Kembori Pengakap Daerah Keramat 2013 di Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan pada 21 hingga 23 Jun 2013 yang lalu. Krew telah dijemput untuk mengendalikan aktiviti air dan Pameran Pengakap Laut. Aktiviti air yang dijalankan untuk Unit Pengakap Muda ialah keyakinan di air (water confidence), keselamatan di air (water safety), praktikal sea survival, teori berkayak dan sesi berkayak. Bagi Unit Pengakap Kanak-Kanak pula, aktiviti air yang dijalankan ialah merentasi tasik (lake crossing) menggunakan tali. Krew telah diwakili oleh Skipper, 2nd Mate Mohd Ariff Mohd Tajudin, Storekeeper Rosbiah Mohd Shah, Ahli Krew Wan Muammar Qaddafi Hasanudin dan Perintis Krew Afiq Hafizuddin Mizan.
2nd Mate Mohd Ariff Mohd Tajudin sedang mengendalikan Pameran Pengakap Laut
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Jun 17, 2013
Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2013
Warga Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2013
bergambar beramai-ramai selepas selesai Majlis Perasmian Penutup
Persekutuan Pengakap Malaysia menerusi Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan telah menganjurkan Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2013 dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia bertempat di Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 14 hingga 16 Jun 2013 yang lalu. Acara ini merupakan kesinambungan kepada Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Pertama yang telah diadakan di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Setiu, Terengganu pada bulan April tahun 2011 yang lalu. Seramai 72 orang ahli Pengakap Laut dari seluruh negara telah menyertai program ini.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Jumaat, Mei 31, 2013
Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9
Kontinjen PPMWPKL bergambar beramai-ramai sebelum meninggalkan tapak jambori pada hari akhir
Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka telah menganjurkan Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9 bertempat di Kem Pengakap Melaka, Bukit Katil mulai 25 hingga 30 Mei 2013 yang lalu. PPMWPKL telah berjaya menghantar kontinjen ke jambori ini dengan kekuatan 35 orang ahli Pengakap dan 10 orang Pemimpin/Kelana. Kontinjen PPMWPKL telah diketuai oleh Saudara Haqqim bin Harun.
Lencana rasmi dan lencana aktiviti Jambori Antarabangsa Melaka Bandaraya Warisan Dunia Kali Ke-9
Seramai 10 orang ahli Troop 183 telah berkesempatan menyertai jambori ini. Pemimpin Krew telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kontinjen, manakala Ahli Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi telah berkhidmat sebagai Kuartermaster Kontinjen. Pemimpin Troop 183, Puan Siti Zuraidah Yusof juga telah berkesempatan menghadiri jambori ini pada dua hari yang akhir setelah pulang dari Kursus Biro Tatanegara. Ahli Troop 183, Kamal Ariff telah dilantik sebagai Penghulu Kontinjen PPMWPKL. Kontinjen PPMWPKL kali ini telah berjaya mengumpulkan wakil-wakil dari semua empat daerah iaitu Pudu (SM Teknik Kuala Lumpur), Bangsar (SMK Bukit Bandaraya), Keramat (SMK Taman Setiawangsa) dan Sentul (SMK Bandar Baru Sentul, SMK Batu Muda dan SMK Raja Abdullah).
Kontinjen PPMWPKL sedang memuatkan beg masing-masing ke dalam bas sebelum bertolak ke Melaka
Bagi mengurangkan kos, Kontinjen PPMWPKL bergerak ke Melaka dengan bas ekspres Metrobus dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hingga ke Melaka Sentral. Dari Melaka Sentral pula, kontinjen telah dapat menyewa bas Panorama hingga ke Kem Pengakap Melaka. Pada jambori kali ini, Kontinjen PPMWPKL telah berjaya menganjurkan Majlis Minum Petang Kontinjen PPMWPKL bagi meraikan para Pemimpin dari kontinjen lain. Krew telah bersepakat menaja majlis ini. Selain itu, Kontinjen PPMWPKL telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan membina model projek perintis. Tahniah diucapkan kepada semua warga Kontinjen PPMWPKL atas kejayaan sebagai sebuah kontinjen yang mantap sepanjang jambori ini. Jumpa lagi di Jambori Antarabangsa Johor pada bulan November nanti.
Model projek perintis tersebut ketika dalam proses pembuatan
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Ahad, Mei 12, 2013
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Risiko Siri 2/2013
YBhg. Dato' Pengerusi sedang mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Pengurusan Risiko PPM telah mengadakan mesyuarat Siri 2/2013 pada hari Sabtu, 11 Mei 2013 yang lalu bertempat di Dewan Templer, Rumah B-P, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko PPM, YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin serta dihadiri oleh wakil dari negeri-negeri.
Antara wakil-wakil negeri dan ahli jawatankuasa yang hadir
Warga krew yang menghadiri mesyuarat ini ialah Pemimpin Krew yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Risiko, 4th Mate Encik Abdullah Sani Hillaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Keselamatan dan 3rd Mate Puan Rohani Haji Ahmad yang baru dimasukkan ke dalam jawatankuasa ini. Turut hadir ialah dua orang Jurulatih Jemputan Krew iaitu Encik Chan Zi-Lie dan Encik Jamal Harim bin Abdullah. Antara perkara yang dibincangkan ialah Bengkel Pemantapan Pelaksanaan Aspek Latihan Pertolongan Cemas, Pelancaran buku Prosedur Operasi Aktiviti Kepengakapan, Pertandingan Melukis Poster Keselamatan Peringkat Kebangsaan PPM 2013 dan Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan PPM 2013.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Khamis, Mei 09, 2013
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur Yang Baru
Krew ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Rofli bin Mohamed, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur yang baru baru-baru ini. Beliau akan menggantikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri sebelum ini iaitu Mejar Haji Mior Rosli bin Dato' Mior Mohd Jaafar (Bersara). Semoga Pengakap WP Kuala Lumpur akan terus maju dan berkembang di bawah kepimpinan beliau, insya Allah.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Sabtu, Mei 04, 2013
Pilihanraya Umum Malaysia Ke-13
Sempena Pilihanraya Umum Ke-13 yang bakal diadakan pada hari esok, 5 Mei 2013, krew dengan ini mengucapkan selamat mengundi kepada semua ahli krew yang telah berdaftar sebagai pengundi. Gunakanlah hak demokrasi anda dengan baik bagi memilih pemimpin yang terbaik di kawasan masing-masing. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Bersama memastikan Pengakap bergerak maju ke hadapan, seiring dengan kemajuan negara. All the best :)
Khamis, Mei 02, 2013
Projek Naiktaraf Dapur KCB
Sedang memasang rangka bumbung
Projek membaiki dapur Kem Cangkat Budaya (KCB) yang roboh akibat dilanda ribut telah dilakukan secara beransur-ansur. Pagi tadi, kerja diteruskan dengan menyiapkan rangka bumbung untuk dapur tersebut. Dalam masa yang sama, perancangan untuk membina chalet kecil di KCB juga telah hampir menjadi kenyataan dengan pembelian sebahagian daripada bahan-bahan untuk pembinaan chalet tersebut seperti batu-bata dan tiang. Projek ini telah dipimpin oleh Encik Norfian Nazir, Jurulatih Jemputan Krew (Memancing & Pengendalian Bot) dengan dibantu oleh Pemimpin Krew. Selepas projek ini selesai nanti, KCB akan memiliki semua dapur yang lengkap, dewan makan kecil dan dua unit chalet yang boleh memuatkan empat orang setiap satu. Semoga projek ini akan dapat disiapkan segera dan dapat memberi faedah kepada para pengguna KCB.
Batu-bata dan tiang kayu yang telah dibeli untuk pembinaan chalet
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Mac 11, 2013
Khidmat Masyarakat Pembersihan Bukit Broga
Ahli-ahli Pengakap yang menyertai bergambar beramai-ramai di Bukit Broga
Seramai 21 orang ahli Pengakap Laut dan Pengakap daripada Troop 183 (SMK Bandar Baru Sentul) dan Troop 227 (SMK Batu Muda) dengan diiringi oleh Pemimpin Krew, Storekeeper Krew dan Koordinator Memanjat Gunung Krew, Saudara Mohd Samat telah menyertai Aktiviti Membersihkan Bukit Broga yang dianjurkan oleh NGO Pendaki Bukit B.C.A (Budak Cap Ayam) di Bukit Broga, Semenyih pada 10 Mac 2013 yang lalu. Acara ini membantu para peserta untuk menyelesaikan prasyarat Lencana Maju iaitu khidmat masyarakat selama 3 jam dan prasyarat Lencana Jaya iaitu mendaki bukit dengan ketinggian 300 meter. Selain Pengakap dan Pengakap Laut, acara ini turut disertai oleh orang awam. Hampir 20 unit plastik sampah berjaya dipenuhkan untuk acara kali ini. Pihak penganjur telah menyediakan jamuan ringan untuk semua yang terlibat.
Para peserta menikmati jamuan ringan di kaki Bukit Broga setelah selesai acara
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Mac 04, 2013
Pameran Pengakap Laut Sempena Sambutan Hari Pengasas Peringkat Daerah Seremban Timur
Warga Pengakap KL yang hadir bergambar beramai-ramai di depan kanopi Pameran Pengakap Laut
Krew berbesar hati menerima jemputan daripada Pasukan Pengakap Kelana 'A' Seremban Timur (PPKAST) untuk mengadakan Pameran Pengakap Laut sempena Sambutan Hari Pengasas Pengakap Peringkat Daerah Seremban Timur pada hari Sabtu, 2 Mac 2013 yang lalu bertempat di Padang SMK King George V, Seremban. Acara ini diadakan bagi memperingati tarikh lahir Pengasas Pengakap Sedunia, Lord Robert Stephenson Smyth Baden Powell pada 22 Februari 1857.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Sabtu, Mac 02, 2013
Sijil Kursus Kayak Star Award 1 Telah Siap Sedia!
Perhatian kepada para peserta Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 1/2013 yang telah diadakan pada 19 Januari 2013 yang lalu, sijil bagi kursus tersebut telah ada dalam simpanan Pemimpin Krew mulai 2 Mac 2013. Sila hubungi untuk penyerahan sijil tersebut. Tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya melepasi ujian teori dan praktikal yang dijalankan. Selamat datang ke dunia kayak. :)
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Isnin, Januari 28, 2013
Majlis Perkahwinan Saudara Samat
Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Mendaki Gunung & Penajaan Krew, Saudara Mohd Samat bin Abdul Hamid di atas perkahwinan beliau dengan pilihan hatinya, Esmy Syamsiah bertempat di Simunjan, Sarawak pada hari Sabtu, 26 Januari 2013 yang lalu. Saudara Samat telah berkesempatan memakai uniform Pengakap No.2 sempena majlis ini. Krew mendoakan yang terbaik untuk pasangan ini dan semoga mereka kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Jumaat, Januari 25, 2013
Ujian Lencana Tukang Masak Troop 183
Troop 183 telah menganjurkan sesi ujian untuk Lencana Tukang Masak bagi ahli-ahli Tingkatan 3. Kesemua patrol telah mengambil bahagian dengan jayanya kecuali Patrol Paus yang menghadapi sedikit kesulitan kerana ahli-ahlinya tidak dapat hadir akibat komitmen keluarga.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Khamis, Januari 24, 2013
Latihan Kawad Kaki Sempena Hari Wilayah 2013
Latihan kedua kawad kaki sempena Hari Wilayah telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul pada 24 Januari 2013 yang lalu. Penyertaan adalah amat menggalakkan di mana ahli-ahli Pengakap dari SMK Bandar Baru Sentul, SMK (P) Jalan Ipoh, SMK Batu Muda dan SMK Bukit Bandaraya telah mengambil bahagian. Pertandingan Kawad Kaki Hari Wilayah pada tahun ini akan diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Februari 2013 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Januari 21, 2013
Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL Edisi 1/2013
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Jumaat, Januari 18, 2013
Kursus Kayak Star Award 1 Datang Lagi!
Kursus Kayak Star Award 1 Pengakap Laut WPKL akan sekali lagi dianjurkan pada hujung minggu ini, 19 dan 20 Januari 2013 bertempat di lokasi biasa di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ini adalah kursus edisi pertama bagi tahun 2013 dan terbuka kepada semua peringkat bermula dari pelajar tingkatan tiga. Krew mensasarkan mulai tahun ini untuk mengembangkan aktiviti kayak kepada ahli-ahli Pengakap Remaja Laut supaya mereka boleh mempersiapkan diri untuk menjalani ekspedisi kayak bagi memenuhi prasyarat Lencana Ekspedisi Pengakap Remaja. Apabila menyertai Kelana kelak, mereka boleh meneruskan pencapaian di peringkat Star Award 2 pula. Bagi tahun ini. Kursus Kayak Star Award 2 dijangka akan diadakan untuk Kelana dan Pemimpin sekitar bulan Mac 2013.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Khamis, Januari 17, 2013
Mesyuarat Agung Troop 183
Mesyuarat Agung Sesi Petang
Mesyuarat Agung Tahunan Troop 183 telah diadakan di Bilik Media SMK Bandar Baru Sentul pada hari Rabu, 16 Januari 2013 yang lalu. Mesyuarat Agung ini diadakan bagi kedua-dua sesi pagi dan petang. Tahun ini merupakan tahun yang penting kerana batch pertama Pengakap Laut SMK Bandar Baru Sentul telah menjejak ke tingkatan 3. Oleh itu, sistem patrol telah dapat dijalankan dengan sempurna dengan ahli-ahli tingkatan 3 telah dilantik sebagai Ketua Patrol dan Penolong Ketua Patrol.
Memperkenalkan barisan Ketua Patrol kepada ahli-ahli
Enam patrol iaitu Patrol Paus, Patrol Jerung, Patrol Todak, Patrol Tapah, Patrol Toman dan Patrol Baung telah berjaya ditubuhkan dengan Ketua Patrol, Penolong Ketua Patrol dan Kuartermaster telah dilantik untuk setiap patrol tersebut. Handout Lencana Keahlian telah diedarkan kepada ahli-ahli tingkatan 1 sebagai permulaan. Mereka diminta menyelesaikan buku log dengan segera sebelum diuji dan dilantik sebagai ahli Pengakap Muda.
Mesyuarat Agung Sesi Pagi
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Selasa, Januari 15, 2013
Perkhemahan Kepimpinan SMK Damansara Damai 1
Saudara Mohd Hafizal sedang menyampaikan sesi penerangan tentang Pengakap Laut
Krew telah menerima jemputan daripada Timbalan Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Ali Amir Razali untuk memberikan sesi penerangan ringkas tentang Pengakap Laut kepada para peserta Perkhemahan Kepimpinan SMK Damansara Damai 1 yang telah diadakan pada 11 hingga 13 Januari 2013 yang lalu. Para peserta perkhemahan ini seramai 62 orang adalah terdiri daripada Pengawas, Pengawas Perpustakaan, Ketua Kelas dan Pengerusi Badan Beruniform di sekolah tersebut. Pemimpin Krew yang tidak dapat hadir kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan telah mewakilkan kepada Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin untuk menyampaikan sesi tersebut pada hari kedua perkhemahan sekitar jam 8 pagi. Sesi penerangan ini merangkumi pengenalan kepada Pengakap Laut, aktivti-aktiviti marin dan peluang kerjaya di dalam bidang kepelautan. Selain sesi ini, Saudara Mohd Hafizal turut membantu di dalam sesi Kompas dan Bearing. Tahniah kepada pihak penganjur di atas kejayaan menganjurkan perkhemahan ini.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Isnin, Januari 14, 2013
Pemilihan Sebagai Wakil PPM Ke Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia
Dari kiri: Saudari Suraya Ika Tamrin, Saudara Mohd Hilmi Mat Saad dan Saudara Haqqim Harun
Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Koordinator Perkhidmatan Kelana Krew, Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad, Koordinator Pelayaran Krew, Saudari Suraya Ika binti Tamrin dan Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Haqqim bin Harun di atas pemilihan sebagai perwakilan Persekutuan Pengakap Malaysia ke Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia. Semoga mereka dapat menjalankan tugas sebagai perwakilan dengan sempurna dan menimba pengalaman bersama para pemimpin belia di peringkat kebangsaan. Krew berasa amat bangga dengan pencapaian ini dan mendoakan semuanya berjalan lancar.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Perlantikan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengakap Laut)
Tuan Shaikh Fadzillah bin Shaikh Harun
Berkuatkuasa mulai 13 Januari 2013, jawatan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengakap Laut) telah diwujudkan oleh Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia bagi menjaga hal ehwal Pengakap Laut. Pemegang jawatan ini juga akan menjadi salah seorang EXCO di dalam Majlis Pengakap Malaysia. Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah melantik bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan, Tuan Shaikh Fadzillah bin Shaikh Harun untuk memegang jawatan ini hingga 31 Disember 2014. Semoga dengan perlantikan ini, Pengakap Laut Malaysia akan dapat berkembang dengan lebih pesat lagi, insya Allah.
Genre Artikel
Berita Penting (Important News)
Ahad, Januari 13, 2013
Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda
Antara hasil tangkapan yang diperolehi oleh para peserta
Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda telah diadakan di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 12 hingga 13 Januari 2013. Ekspedisi ini disertai oleh sepuluh orang merangkumi ahli Pengakap Muda Laut, Pengakap Remaja Laut dan seorang bakal Kelana. Mengiringi pasukan ekspedisi ini ialah Koordinator Memancing dan Pengendalian Bot Krew, Encik Norfian bin Nazir; Pemimpin Krew, Encik Mohd Hilmi bin Abu Bakar; 2nd Mate, Encik Mohd Ariff bin Mohd Tajudin dan Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah.
Para peserta ekspedisi bergerak dari Kuala Lumpur menaiki tren komuter KTM dari Stesen KL Sentral hingga ke Stesen Nilai. Dari Nilai pula, mereka menaiki bas Cityliner hingga ke Pekan Sungai Pelek. Selepas bersolat di Masjid Al-Ehsan Pekan Sungai Pelek, perjalanan diteruskan dengan kereta ke tapak perkhemahan berhampiran dengan chalet PNK Resort di Pantai Bagan Lalang. Perjalanan yang agak panjang menyebabkan mereka tiba di lokasi agak lewat. Oleh itu, waktu malam digunakan untuk membangunkan tapak perkhemahan dan memasak makan malam.
Air laut pasang di Pantai Bagan Lalang ialah pada sekitar jam 7.30 pagi dan 7.30 malam, manakala waktu air laut surut pula ialah jam 1.30 petang dan 1.30 pagi. Memandangkan telah terlepas waktu air pasang pada jam 7.30 malam disebabkan sibuk membangunkan tapak perkhemahan, kami memfokuskan untuk memancing pada pagi keesokan harinya. Waktu malam itu digunakan untuk sesi memasang joran pancing dan teknik 'casting'.
Hasil tangkapan pada hari tersebut ialah ikan belukang
Sekitar waktu pagi, angin kencang melanda Pantai Bagan Lalang menyebabkan para peserta terpaksa berpindah kira-kira 10 meter dari tapak perkhemahan asal. Selepas itu, hujan yang agak lebat mula turun. Waktu ini digunakan untuk memasak sarapan pagi. Para peserta mula memancing sekitar jam 7.30 pagi selepas hujan berhenti ketika air laut berada di aras pasang tertinggi. Mereka memancing hingga sekitar jam 12.00 tengah hari. Umpan yang digunakan ialah umpun-umpun dan udang. Secara keseluruhannya, semua peserta telah berjaya menaikkan lebih 20 ekor ikan belukang. Ikan belukang ialah ikan air masin yang menyerupai ikan baung. Biasanya ia akan dikeringkan dan dijual sebagai ikan masin.
Umpun-umpun dijual dengan harga RM6 untuk satu beg plastik
Para peserta mula berkemas sekitar jam 12.30 tengah hari dan secara beransur-ansur bergerak pulang. Ekspedisi memancing pada kali ini berjaya mencapai sasaran dan mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan supaya ekspedisi berikutnya lebih berkualiti.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Ahad, Januari 06, 2013
Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) Ke-19
Perwakilan dari PPMWPKL memperkenalkan diri semasa acara tersebut berlangsung
Majlis Belia Wilayah Persekutuan telah mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke 19 pada 5 Januari 2013 yang lalu bertempat di Institut Latihan DBKL, Cheras. Krew berasa amat bertuah kerana Pengerusi Krew, Saudara Mohd Hafizal bin Azizudin telah dipilih untuk menjadi perwakilan Persekutuan Pengakap Malaysia WP Kuala Lumpur ke acara ini bersama beberapa orang yang lain. Delegasi ini diketuai oleh Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur, Saudara Haqqim bin Harun. Hasil mesyuarat agung ini menyaksikan Encik Hamizi bin Mat Juah telah dipilih sebagai Presiden Baru MBWP menggantikan Puan Ida Harlina binti Ikhwan Nasir.
Genre Artikel
Aktiviti Krew (Crew Activities)
Selasa, Januari 01, 2013
Selamat Tahun Baru 2013
Setelah melaksanakan pelbagai aktiviti dan melalui pelbagai cabaran sepanjang tahun, tahun 2012 akhirnya melabuhkan tirainya tanpa sebarang bencana besar seperti yang diramalkan di media internet dan media massa. Bersyukurlah kerana kita masih mampu hidup dengan selesa dan aman di negara ini meskipun ada sebahagian rakyat di negara kita sedang menghadapi banjir pada masa ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan baik ini berterusan supaya kita dapat terus berpengakap dan mendidik generasi muda untuk menjadi insan yang berguna dan berkemahiran. Selamat tahun baru 2013, semoga tahun ini akan dapat digunakan sepenuhnya oleh Krew untuk merealisasikan impian kita semua. :)
Langgan:
Catatan (Atom)






















