Selasa, November 16, 2010

Wisel Bosun @ Boatswain's Call (Siri 1)

Wisel Bosun dan kotaknya

Antara keunikan yang terdapat dalam kehidupan seorang pelaut adalah meniup paip atau "piping" menggunakan sebuah wisel khas yang dipanggil boatswain's call. Meniup paip adalah kaedah kelautan untuk menghantar arahan. Setiap pelaut perlu tahu kaedah menggunakan "boatswain's call" ini. Penghantaran arahan menggunakan alat ini dimulakan seawal Perang Salib pada 1248.

Cara meniup Wisel Bosun

Pada zaman dahulu, ia dipakai di kapal-kapal Inggeris sebagai tanda pangkat memandangkan ia sering digunakan untuk memberikan arahan. Selama bertahun-tahun, wisel Bosun ini juga digunakan sebagai lambang kepada Pejabat Laksamana Tertinggi England (Lord High Admiral of England) dan pewarisnya sehingga tahun 1562. Selepas itu, ia digunakan oleh armada Inggeris untuk menghantar semua arahan. Sejak tahun 1671, wisel ini dikenali secara umum sebagai "boatswain's call".

Pada hari ini, Wisel Bosun dan rantainya adalah alat yang digunakan secara meluas oleh Tentera Laut dan Pengakap Laut di seluruh dunia untuk memberikan arahan sama ada di atas kapal atau semasa istiadat dijalankan.

Bahagian-bahagian sebuah Wisel Bosun

Wisel Bosun dipegang di tangan antara jari telunjuk dengan ibu jari, dengan ibu jari diletakkan pada atau berhampiran dengan "shackle". Bahagian sisi "buoy" diletakkan pada tapak tangan. Jari-jari hendaklah diletakkan rapat pada "gun" dan lubang "buoy" dengan posisi yang membolehkan pengeluaran udara dilaraskan mengikut jumlah yang dikehendaki. Peniup hendaklah berhati-hati supaya jarinya tidak tersentuh lubang "buoy" atau lubang di hujung "gun". Jika tidak, tidak akan ada bunyi yang dapat dihasilkan.

Wisel Bosun boleh ditala dengan membesarkan ruang angin keluar pada lubang "buoy". Ia juga akan berbunyi jika mulut "gun" dilalukan dengan angin yang sederhana.
Kaedah memegang Bosun's Call untuk nada rendah (kiri) dan nada tinggi (kanan)

Terdapat dua nada yang utama iaitu nada rendah dan nada tinggi, manakala terdapat tiga ton iaitu ton mendatar (plain), ton beralun (warble) dan ton bergetar (trill).

Nada rendah: Nada rendah dihasilkan dengan meniup secara konsisten ke dalam lubang "gun" dengan lubang pada "buoy" tidak ditutup oleh jari.

Nada tinggi: Nada tinggi dihasilkan dengan melaraskan aliran keluar udara daripada lubang "buoy". Ini dilakukan dengan merapatkan jari pada keliling "buoy", sambil memastikan untuk tidak menyentuh tepi lubang atau hujung "gun".

Ton beralun: Alunan dihasilkan dengan berulangkali menggerakkan tangan dengan pantas daripada kedudukan nada tinggi kepada nada rendah. Ini akan menghasilkan bunyi alunan seolah-olah bunyi burung kenari.

Ton bergetar: Getaran dihasilkan dengan menggetarkan lidah semasa meniup, seolah-oleh hendak menyebut huruf "R".

2 ulasan:

  1. skip, masukkan jugak jenis2 tiupan dan cara nak tiup

    BalasPadam
  2. Ok bro. :) memang dah didrafkan. Cara-cara nak tiup dah ada di atas, cuma jenis-jenis tiupan tu dalam artikel akan datang. :) kalo ada tambahan, let me know bro.

    BalasPadam