
Ahli-ahli Pengakap Laut daripada Troop Ke-2 Walworth berlatih di Jambatan Waterloo, London
menggunakan bot cutter yang sama sebelum tragedi tersebut terjadi. Pemimpin Pengakap Marsh
adalah yang duduk berhampiran kemudi
Pada 4 Ogos 1912, satu tragedi yang dahsyat telah berlaku di Leysdwon, Isle of Sheppey apabila 9 orang ahli Pengakap Laut mati lemas. Angin kencang yang muncul secara tiba-tiba telah menyebabkan bekas bot Tentera Laut British jenis 'cutter' berukuran 32 kaki itu terbalik dengan serta-merta. Pada masa tersebut, bot malang itu sedang membawa 23 orang ahli Pengakap Laut dari Troop Ke-2 Walworth bersama Pemimpin mereka, S J Marsh. Ketika itu mereka dalam perjalanan untuk berkhemah di Leysdown. Kesemua yang maut itu kecuali seorang adalah daripada Troop Ke-2 Walworth.

Ahli-ahli Troop Ke-2 Walworth yang terlibat dalam tragedi ini termasuk mereka yang terkorban
Mereka yang terkorban adalah Noel Filmer, 14; Thompson (Tommy) Filmer, 12; Albert Dack, 11; Harry Gwynn, Ketua Patrol, 13; Edward Smith 11, William Beckham, Ketua Patrol, 12; James Skipsey, 12; Percy Huxford, 12 dan Frank Masters, 14. Frank Masters adalah pembantu daripada Kapal Latihan Arethusa. Kumpulan ini bukanlah kumpulan yang tidak bersedia atau orang baru dalam Pengakap Laut. Malahan, mereka telah dipilih untuk melakukan demonstrasi di Perjumpaan Pengakap Laut di Earl's Court sebulan sebelum tragedi ini.
Encik John Filmer, bapa kepada dua orang mangsa dan merupakan bekas anggota Tentera Laut British berada di atas bot semasa kejadian. Walaubagaimanapun, beliau juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana bot itu terbalik serta-merta menyebabkan beliau juga terus tercampak ke dalam laut. Beliau berkata kepada wartawan:
"Sudah pasti perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari anak-anak saya. Saya dapat melihat Tommy sedang berpaut pada Encik Marsh. Agak jauh dari situ, disebabkan ombak kuat, saya dapat melihat anak saya yang lebih tua, Noel sedang berpaut pada perahu yang kami sedang tunda"

Mereka yang berjasa besar dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang hampir lemas
Semasa Pengawal Pantai tiba di tempat kejadian, kedua-dua anak Encik Filmer telah pun lemas. Seperti mangsa-mangsa yang lain, mereka tidak mampu bertahan dalam keadaan sejuk dan ombak kuat. Lima orang Pengawal Pantai dengan dibantu oleh dua orang awam iaitu Encik RH Bawden dan Encik WJ Twinning telah berhempas pulas menyelamatkan 20 orang termasuk pembantu dewasa yang hampir lemas.
Perkuburan untuk mangsa-mangsa Tragedi Leysdown di Nunhead Cemetary
Salah seorang yang lemas iaitu Ketua Patrol William Beckham turut disertai oleh dua orang adiknya di atas bot itu. Mereka berjaya diselamatkan. Ibunya memberitahu wartawan bahawa beliau amat terhutang budi dengan Pemimpin Pengakap Marsh yang telah menyelamatkan dua orang anaknya. Keluarga ini mempunyai hubungan persaudaraan yang rapat dengan bekas kapten bola sepak England iaitu David Beckham.

Artikel daripada The Daily Mirror menunjukkan keranda-keranda mangsa dibawa melalui
Sungai Thames menggunakan kapal perang
First Lord of Admiralty di England iaitu Encik Winston Churchill telah mengarahkan kapal pemusnah HMS Fervent untuk membawa keranda-keranda mangsa melalui Sungai Thames untuk upacara pengebumian. Di setiap tempat yang dilalui oleh kapal ini, semua kapal-kapal dan bot-bot lain akan menurunkan bendera mereka sebagai tanda hormat.

Ahli-ahli Pengakap memberi hormat untuk rakan-rakan mereka yang terkorban pada bunga
peringatan berbentuk pelampung penyelamat yang dihantarkan oleh Lord B-P
Bendera Union Jack menyelimuti keranda putih mangsa-mangsa dalam perjalanan menuju ke Gereja St John di Walworth pada 10 Ogos 1912 dengan diiringi lebih 100,000 orang. Lord B-P telah menghantar bunga peringatan dalam bentuk pelampung penyelamat untuk setiap mangsa tersebut. Cuma lapan orang mangsa dikebumikan pada hari tersebut. Seorang lagi mangsa iaitu Percy Huxford telah dihanyutkan ke laut dan mayatnya cuma ditemui pada 13 Ogos 1912.

Gambar dari akhbar tempatan menunjukkan perarakan keranda mangsa-mangsa Tragedi
Leysdown menggunakan kereta kuda dengan diiringi oleh ratusan ribu manusia
Berikutan tragedi ini, Pergerakan Pengakap melalui The Headquarters Gazette telah menyenaraikan undang-undang yang berikut bagi aktivit-aktiviti air:
- Tiada bot yang boleh digunakan oleh Pengakap Laut kecuali telah diluluskan
- Tiada bot yang boleh digunakan oleh Pengakap Laut kecuali dengan kehadiran individu yang berkelayakan dan dikendalikan dengan baik
- Tiada Pengakap Laut yang dibenarkan menjadi krew dalam mana-mana perahu dayung kecuali dia telah lulus Lencana Renang atau membentuk sebuah krew perahu layar kecuali telah menjadi seorang "Waterman"
"Waterman" lebih kepada pangkat berbanding lencana dan ia memerlukan pemegangnya mendapatkan Lencana Renang dan Lencana Ahli Bot terlebih dahulu. Seorang "waterman" akan memakai rambu yang perlu dibuat sendiri. Ini diikuti oleh satu set peraturan untuk Jawatankuasa Pengakap Laut, iaitu jawatankuasa yang memantau aktiviti Pengakap Laut dan memastikan undang-undang dipatuhi.

Artikel akhbar yang diterbitkan untuk mengenang kembali Tragedi Leysdown

Tiada ulasan:
Catat Ulasan