Rabu, Disember 01, 2010

Piala Amerika @ America Cup

Rupabentuk Piala Amerika

America Cup atau Piala Amerika adalah trofi yang dianugerahkan kepada pemenang pertandingan regatta pelayaran Piala Amerika dan merupakan trofi aktif tertua dalam sukan antarabangsa. Pada asalnya, piala ini dinamakan Piala Skuadron Kapal Layar DiRaja. Ia dikenali sebagai Piala Amerika setelah kapal layar yang pertama memenanginya bernama America. Piala ini kekal di tangan New York Yacht Club (NYYC) sejak 1857 hingga 1983 apabila piala ini dimenangi oleh Royal Perth Yacht Club melalui kapal layar mereka, Australia II. Ini mengakhiri kemenangan berterusan yang paling panjang dalam sejarah sukan.

Kapal Layar America yang menjadi pemenang pertama piala ini pada tahun 1851

Regatta Piala Amerika adalah siri pertandingan perlumbaan antara dua kapal layar yang dikawal oleh Deed of Gift iaitu satu dokumen perundangan yang membolehkan piala tersebut dipertandingkan dalam pertandingan antarabangsa. Mana-mana kelab kapal layar yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Deed of Gift berhak untuk mencabar kelab kapal layar yang memegang piala tersebut. Jika kelab yang mencabar memenangi pertandingan tersebut, piala itu akan berpindah tangan kepadanya.

Sejak NYYC mempertahankan kejuaraannya buat kali ketiga pada 1876 hinggalah kali kedua puluh pada 1967, kejohanan ini sentiasa menyaksikan hanya satu pencabar dan satu juara bertahan. Mulai 1970, bilangan pencabar bertambah menyebabkan NYYC membenarkan mereka mengadakan regatta saringan di mana pemenang regatta saringan ini akan menjadi pencabar sebenar dalam pertandingan Piala Amerika. Mulai tahun 1983 hingga 2007, Louis Vutton menaja Piala Louis Vutton sebagai hadiah untuk pemenang regatta saringan.

Laman web regatta saringan Piala Louis Vuitton

Piala Amerika menarik minat pelayar-pelayar hebat dan perekabentuk kapal layar kerana prestij dan sejarahnya yang panjang. Kejohanan ini bukan sahaja menguji kemahiran pelayaran, rekabentuk kapal dan layar, tetapi juga kemahiran mengurus dan menjana modal. Sejak ia dipertahankan buat kali petama pada 1870, pertandingan adalah antara kapal-kapal layar yang sangat besar (berukuran 65 kaki atau 20 meter) dan dimiliki oleh ahli-ahli sukan yang kaya. Keadaan ini memuncak melalui fenomena Kapal Layar Kelas-J pada 1930, 1934 dan 1937.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua dengan hampir 20 tahun tanpa cabaran, NYYC melakukan perubahan pada Deed of Gift bagi membolehkan kapal layar 12 meter yang lebih kecil dan murah untuk bertanding. Kapal layar dari kategori ini digunakan sehingga 1987 apabila ia digantikan oleh International America's Cup Class (IACC).

Kapal layar BMW Oracle Racing yang menjuarai Piala Amerika bagi tahun 2010

Piala Amerika 2010 menyaksikan pertandingan antara dua kapal layar multihull di dalam tiga siri regatta yang diadakan di Valencia, Sepanyol pada Februari 2010. Pencabar iaitu BMW Oracle Racing berjaya mengalahkan juara bertahan, Alinghi dengan 2-0 serta memenangi Piala Amerika bagi pihak Golden Gate Yacht Club.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan