Diolah dari pelbagai sumber oleh: Mohd Hilmi Abu Bakar
Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell (B-P) lahir di dalam sebuah keluarga yang terlibat secara intensif di dalam aktiviti marin dan kelautan. Kematian bapanya ketika berusia 3 tahun menyebabkan Lord BP menjadi begitu rapat dengan datuk di sebelah ibunya, Laksamana William Smyth. Datuknya memulakan kerjaya sebagai tentera laut bermula dari bawah dan berjaya menjadi Laksamana dalam tahun 1863. Abang kepada Lord B-P iaitu Warington Baden Powell yang lebih tua 10 tahun daripadanya memulakan kerjaya sebagai "Merchant" Marine".
Warington Baden Powell, abang kepada Lord Baden Powell yang mengasaskan Pengakap Laut

Logo HMS Conway semasa Warington Baden Powell menjalani latihannya
Warington menyertai HMS Conway pada 1861 ketika berusia 14 tahun. HMS Conway adalah bekas kapal tentera laut yang telah berlabuh secara kekal dan digunakan sebagai tempat latihan. Sekitar tahun 1872, Lord B-P dan abang-abangnya membuat ekspedisi menjelajah negaranya menggunakan keno. Mereka berkeno menuju ke hulu sungai Thames hingga tiba di Wales. Dalam ekspedisi ini, mereka berkhemah dan memasak makanan menggunakan unggun.

Warington Baden Powell bersama kapal layarnya, Diamond
Warington menukar pekerjaannya ke bidang undang-undang pada 1873 dan diterima menjadi King Counsel. Beliau memulakan usaha merekabentuk dan mengawasi pembinaan kapal layar miliknya yang dinamakan Diamond. Terdapat banyak faktor mengapa Lord B-P mengadakan perkhemahan Pengakap yang pertama di Pulau Brownsea. Namun yang pasti, Pulau Brownsea membolehkan para peserta menaiki bot dan menjalankan aktiviti di laut.

Pemandangan pantai di Pulau Brownsea semasa perkhemahan pertama pada tahun 1907
Dalam tahun 1908, lencana "seaman badge" adalah antara lima lencana kemajuan terawal yang dikeluarkan untuk ahli Pengakap. Lord B-P sering menekankan bahawa "seorang Pengakap hendaklah tahu mengendalikan bot dan membawanya bersebelahan dengan kapal secara selamat".

Lencana "seaman badge" yang dikeluarkan pada 1908
Pada 1909, perkhemahan Pengakap yang ketiga diadakan di Beaulieu River dan memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti air. Perkhemahan di Beaulieu menyedarkan Lord B-P tentang potensi dan peranan Pengakap Laut. Oleh itu, beliau mengamanahkan kepada abangnya, Warington Baden Powell untuk menulis buku panduan tentang Pengakap Laut. Warington telah membentangkan ideanya tentang Pengakap Laut di dalam Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911.

Kapal Latihan T.S. Mercury (T.S. merujuk kepada Training Ship) yang berlabuh di Beaulieu River untuk digunakan semasa perkhemahan Pengakap yang ketiga pada 1909
Sebaik sahaja Pengakap Laut diumumkan secara rasmi, banyak pasukan Pengakap terutamanya di kawasan pantai mahu bertukar kepada skim yang baru ini. Ramai bekas pelayar dan pelaut yang berminat untuk menjadi Pemimpin Pengakap Laut. Antara pasukan-pasukan awal Pengakap Laut di England ialah:
- 1st Cleethorpes - 1st Ratcliffe, London
- 1st Skegness - Hamble Sea Scouts
- Gibraltar Sea Scouts

Pengakap Laut Gibraltar semasa Jambori Dunia Pertama di Olympia pada 1920
Warington Baden Powell telah mengeluarkan buku panduan untuk Pengakap Laut bertajuk "Sea Scouting and Seamanship for Boys" pada tahun 1912. Di dalam bukunya, Warington menyatakan dengan jelas bahawa:
"Pengakap Laut adalah cabang kepada pergerakan Pengakap" dan "Pengakap diutamakan dahulu, selepas itu barulah pelaut" (Scout first, Seaman afterwards).
Kulit buku "Sea Scouting and Seamanship for Boys" yang ditulis oleh Warington Baden Powell
Undang-undang, organisasi, lencana, pangkat, pakaian seragam dan nasihat tentang latihan telah dinyatakan dengan jelas:
"Pengawal pantai atau pesara tentera laut akan digunakan untuk menguji lencana. Adalah dinasihatkan supaya setiap kumpulan melantik seorang "bapa laut (sea dad)" iaitu sama ada pengawal pantai, bekas pegawai tentera laut atau kelasi kapal nelayan".

Buku "Seamanship for Scouts" karangan Lt. Stuart Garnett pada 1915
Buku panduan Pengakap Laut yang kedua ialah "Seamanship for Scouts" yang ditulis oleh Lt. Stuart Garnett pada 1915 di mana buku ini adalah lebih mendalam berbanding buku pertama. Warington Baden Powell meninggal dunia pada 24 April 1921 akibat penyakit tuberculosis. Dipercayai bahawa penyakit ini menghalang beliau memegang jawatan sebagai Chief Sea Scouts.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan