Warga kursus bergambar kenangan bersama Tuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri
PPM Daerah Bangsar telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat Pengenalan bertempat di SK Taman Tun Dr Ismail (1), Damansara pada Sabtu, 19 Februari yang lalu. Kursus ini telah diketuai oleh Saudara Chan Zi-Lie selaku calon Penolong Jurulatih Kebangsaan dari Daerah Bangsar.

Ahli-ahli krew bergambar bersama Ketua Kursus, Saudara Chan Zi-Lie
Seramai lima orang ahli krew telah menjadi peserta iaitu Saudara Mohd Hafizal Azizudin, Saudara Mohd Hizam Che Rahim, Saudari Rosbiah Mohd Shah, Saudara Nurnadia Shafika Ismail dan Saudara Nor Falzah Ishak. 2nd Mate, Saudara Mohd Ariff Mohd Tajudin dan 4th Mate, Saudara Abdullah Sani Hillaluddin pula telah menjadi pembantu kursus.

Skipper sedang menyampaikan ceramah untuk topik Pakaian Seragam Pengakap
Skipper telah diamanahkan untuk menjadi penceramah bagi sesi Pakaian Seragam Pengakap dan sesi Skim Latihan Pengakap Laut. Selain Skipper, turut menyampaikan ceramah ialah Tuan Ketua Pesuruhjaya Negeri, Mej. Hj. Mior Rosli bin Dato' Hj. Mior Mohd Jaafar (Bersara); Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Program), Encik Howard Lai; Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Unit Kelana), Encik Abdul Jalil Abdul Samad; Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Pengakap Udara), Mejar (B) Tan Mong Loong; Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Tatatertib), Encik Sharudin Hadi dan Ketua Kursus, Encik Chan Zi-Lie.

Para peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan
Topik-topik yang disampaikan dalam kursus ini ialah Tujuan Kepengakapan, Persetiaan dan Undang-Undang, Dasar Agama, Rekod dan Dokumentasi, Skim Latihan Kepimpinan, Sejarah Kepengakapan, Pakaian Seragam serta Skim Latihan Pengakap yang baru (merangkumi Pengakap Laut dan Pengakap Udara).

Sudut pameran yang memuatkan bahan pameran krew
Krew juga telah berkesempatan menjalankan pameran mini untuk memberi pendedahan ringkas kepada para peserta tentang Pengakap Laut. Turut menjalankan pameran adalah Ketua Kursus, Encik Chan Zi-Lie yang mempamerkan pelbagai sijil, lencana dan uniform Pengakap.

Saudara Hizam sedang menerima sijil daripada Tuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri
Majlis penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Tuan Ketua Pesuruhjaya Negeri, Mej. Hj. Mior Rosli bin Dato' Hj. Mior Mohd Jaafar (Bersara). Cenderahati turut disampaikan kepada Ketua Guru Pemimpin SK Taman Tun Dr. Ismail (1), Encik Ganesan A/L Sittrambaram yang telah sudi menjadi tuan rumah kepada kursus ini.

Ahli-ahli krew sedang menikmati makanan di Hartz Chicken Buffet
Selepas tamat kursus, ahli-ahli krew telah meluangkan masa untuk makan bersama-sama di Hartz Chicken Buffet, Sunway Pyramid bagi menyambut Hari Ulang Tahun Krew. Program minggu ini adalah amat bermakna kepada krew. Semoga ahli-ahli krew yang menjadi peserta kursus akan dapat mengikuti Kursus Manikayu ini hingga berjaya dikalungkan manikayu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan