
Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 1432H, Krew Kelana C Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Majlis Hari Raya secara kecil-kecilan bersama anak-anak didik krew di Troop 183 SMK Bandar Baru Sentul. Majlis ini telah diadakan di SMK Bandar Baru Sentul pada hari Sabtu yang lalu, 10 September 2011. Kira-kira 30 orang telah menghadirkan diri di majlis ini. Turut menghadirkan diri ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri WPKL (Unit Kelana), Encik Abdul Jalil Abdul Samad, Ketua Krew Kelana Zonice, Encik Rahimi Mahmud dan Saudara Haqqim Harun dari Keramat.

Krew telah menyediakan juadah seperti nasi himpit, kuah kacang, sate, lemang, rendang dan bubur kacang. Saudara Samat yang tidak dapat hadir kerana komitmen peribadi pula telah menyumbangkan dua biji kek lapis Sarawak yang salah satunya telah dibuat oleh beliau sendiri. Selain itu, saudara Ismail juga menyumbangkan dua biji kek untuk majlis ini. Saudara Ismail balik ke Malaysia khas untuk sambutan Aidilfitri dan telah berangkat pulang ke Australia pada keesokan harinya.

Selain jamuan makan, aktiviti cabutan bertuah turut dijalankan di mana tiga individu yang nombornya terpilih menerima duit raya daripada krew. Kemudian, semua hadirin berkesempatan menonton filem Men of Honor. Disebabkan projektor LCD tidak dapat berfungsi dengan baik, filem ini hanya dapat disiarkan di komputer riba sahaja.

Di penghujung acara, majlis ini turut disertai oleh ahli-ahli Pengakap daripada tingkatan 3 yang baru sahaja selesai kelas tambahan untuk persediaan PMR. Selepas itu, kami berkemas beramai-ramai sebelum meninggalkan lokasi tersebut. Meskipun ada banyak kekurangan di dalam majlis yang pertama ini, insyaAllah akan dapat dibaiki pada tahun-tahun yang akan datang. Semoga silaturrahim yang terjalin akan berkekalan.












