Selasa, Jun 21, 2011

Aktiviti Merempuh Halangan di Tapak Latihan PALAPES Universiti Malaya


Pada hari Sabtu, 18 Jun 2011 yang lalu, empat orang ahli krew telah memimpin ahli-ahli Troop Perintis 183 SMK Bandar Baru Sentul untuk melakukan aktiviti merempuh halangan komando bertempat di tapak latihan PALAPES, Universiti Malaya. Aktiviti ini dirancang oleh Drill Instructor Izhar Mat Isa yang juga Penolong Pesuruhjaya Daerah (Pengakap Laut) Daerah Sentul dengan dibantu oleh Skipper Mohd Hilmi Abu Bakar, 1st Mate Mohd Norfardrol Marshar dan 2nd Mate Mohd Ariff Mohd Tajudin.


Program bermula sekitar jam 9 pagi. Ahli-ahli Troop 183 tiba agak lewat disebabkan masalah bas. Mereka turut diiringi oleh Pemimpin Troop, Cikgu Siti Zuraidah Yusof dan Cikgu Nor Mazlina Mohamad. Program dimulakan dengan taklimat kepada para peserta. Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada 18 orang bagi setiap kumpulan.



Selepas itu, setiap kumpulan dibawa ke setiap halangan untuk melakukan percubaan dan mempelajari teknik yang betul untuk mengelakkan kecederaan. Terdapat 10 halangan di tapak tersebut. Walau bagaimanapun, hanya 9 halangan yang digunakan kerana tembok 12 kaki tidak sesuai untuk pelajar-pelajar tersebut.



Setelah selesai melakukan percubaan, pertandingan dimulakan. Pertandingan ini dinilai berdasarkan masa terpantas yang dicatat mulai peserta pertama yang mula bergerak dan diakhiri apabila peserta terakhir tiba semula ke tempat berkumpul. Ahli-ahli krew dan Pemimpin mengawasi pertandingan bagi mengelakkan kecederaan atau sebarang perkara yang tidak diingini. Setiap peserta diberi peluang tiga kali untuk melepasi setiap halangan. Sekiranya tetap gagal walaupun telah mencuba tiga kali, peserta tersebut akan dibenarkan pergi ke halangan seterusnya. Bagi peserta yang menolak untuk mencuba walaupun sekali, akan dikenakan penalti satu minit bagi kumpulan tersebut.






Setelah pertandingan berakhir, Kumpulan 3 dipilih sebagai pemenang setelah mencatatkan masa terpantas. Setiap kumpulan menerima hadiah hamper mengandungi makanan dan minuman untuk dikongsi bersama. Penutupan aktiviti dilakukan oleh Skipper selaku ASC Pengakap Laut WP Kuala Lumpur dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Cikgu Siti Zuraidah Yusof.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan