Ahad, Januari 15, 2017

#HumanityStartsWithMe - Aquaria KLCC & Moana

Bergambar beramai-ramai di lobi Aquaria KLCC sebelum bergerak masuk

Projek #HumanityStartsWithMe anjuran KL Charlie Rovers telah diteruskan lagi pada 14 Januari 2017 yang lalu. Kali ini, Ahli-ahli Krew KL Charlie Rovers telah membawa anak-anak Rumah Titian Kaseh melawat Aquaria KLCC dan menonton filem animasi "Moana".

Anak-anak Rumah Titian Kaseh tiba di perkarangan KL Convention Centre

Program bermula sekitar jam 12.00 tengah hari di Rumah Titian Kaseh, Taman Tasik Titiwangsa. Seramai kira-kira 60 orang anak-anak yatim dari Rumah Titian Kaseh telah terlibat dalam program kali ini. Mereka dibawa menaiki bas dari Rumah Titian Kaseh ke Aquaria KLCC yang terletak di dalam bangunan Kuala Lumpur Convention Centre di Jalan Pinang. Sebelum memasuki Aquaria KLCC, mereka terlebih dahulu makan tengah hari di KLCC Park dan solat Zuhur di surau KL Convention Centre.

Makan tengah hari beramai-ramai di KLCC Park

Setelah itu, Ahli-ahli Krew telah membawa anak-anak Rumah Titian Kaseh ini masuk ke Aquaria KLCC sekitar jam 2.00 petang. Aquaria KLCC menempatkan lebih 250 jenis spesis akuatik yang ditempatkan dalam akuarium di kawasan seluas 5600 m². Selain itu, terdapat terowong di bawah air sepanjang kira-kira 90 meter di mana pengunjung boleh menyaksikan pelbagai jenis ikan dan hidupan akuatik termasuk penyu dengan lebih dekat lagi. Aquaria KLCC disusunatur mengikut perjalanan dari air tawar di kawasan paya hingga ke air masin di laut.

Para peserta memerhatikan hidupan laut yang dipamerkan di Aquaria KLCC

Ahli Krew Saudara Mior Ahmad Ramadhan bersama Adik Faris yang kurang upaya pendengaran dan percakapan

Di dalam terowong bawah air Aquaria KLCC

Lawatan di Aquaria KLCC selesai sekitar jam 4.00 petang. Anak-anak Rumah Titian Kaseh dibawa ke pusat membeli belah KL Pavillion menerusi jejambat pejalan kaki KLCC - Bukit Bintang. Mereka menunaikan solat Asar di surau KL Pavillion. Selepas itu, mereka memasuki pawagam Golden Screen Cinema sekitar jam 5.20 petang bagi menonton filem animasi Moana. Mereka dibekalkan dengan air minuman dan pop-corn.

Anak-anak Rumah Titian Kaseh sedang beratur untuk memasuki pawagam Golden Screen Cinema di KL Pavillion

Ahli-ahli Krew bergambar sebelum memasuki pawagam

Filem animasi Moana dipilih untuk program ini kerana menceritakan tentang tradisi kepelautan di rantau Pasifik. Watak utamanya ialah seorang gadis bernama Moana yang merupakan anak kepada seorang Ketua Puak di sebuah pulau Motunui di Polynesia. Moana adalah seorang yang berkeazaman tinggi dan tahan lasak. Walau bagaimanapun, kehidupannya terbatas di pulau tersebut sahaja. Bapanya tidak pernah membenarkan Moana untuk keluar dari kawasan perairan pulau tersebut dengan alasan pulau itu mempunyai sumber yang mencukupi untuk semua penduduknya.

Anak-anak Rumah Titian Kaseh sedang menonton filem animasi Moana

Satu alaf sebelum itu, seorang legenda separuh dewa bernama Maui telah mencuri azimat mistik yang merupakan hati Dewi Te Fiti. Semasa hendak melarikan diri, Maui telah diserang oleh puaka lava, Te Ka menyebabkan azimat mistik tersebut jatuh ke lautan bersama mata kail hikmat milik Maui. Ini menyebabkan Maui terkurung di sebuah pulau dan tidak dapat berubah bentuk menjadi pelbagai jenis haiwan seperti sebelumnya.

Satu adegan daripada filem animasi Moana

Seribu tahun selepas itu, ketika masih kecil, Moana telah dipilih sendiri oleh lautan untuk menerima azimat mistik tersebut dan menyatukan kembali dengan pemiliknya iaitu Dewi Te Fiti. Tidak lama selepas itu, tanaman di pulau tersebut tidak menjadi dan mengalami kerosakan teruk. Ini menyebabkan Moana berlayar ke lautan untuk mencari Maui yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut. Setelah menemui Maui, mereka menempuh pelbagai cabaran dalam usaha untuk mengembalikan azimat tersebut kepada Dewi Te Fiti. Filem animasi ini tamat sekitar jam 7 petang.

Ahli-ahli Krew bergambar beramai-ramai setelah selesai tayangan filem animasi Moana

Setelah itu, Ahli-ahli Krew dan anak-anak Rumah Titian Kaseh bergerak menaiki bas untuk kembali ke Rumah Titian Kaseh. Mereka semua menikmati makan malam sebelum menamatkan program dengan majlis penyerahan cenderahati kepada pengurusan Rumah Titian Kaseh. Krew mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan