Ahad, Januari 13, 2013

Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda

Antara hasil tangkapan yang diperolehi oleh para peserta

Ekspedisi Memancing Lencana Juragan Muda telah diadakan di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 12 hingga 13 Januari 2013. Ekspedisi ini disertai oleh sepuluh orang merangkumi ahli Pengakap Muda Laut, Pengakap Remaja Laut dan seorang bakal Kelana. Mengiringi pasukan ekspedisi ini ialah Koordinator Memancing dan Pengendalian Bot Krew, Encik Norfian bin Nazir; Pemimpin Krew, Encik Mohd Hilmi bin Abu Bakar; 2nd Mate, Encik Mohd Ariff bin Mohd Tajudin dan Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah.

Tapak perkhemahan para peserta di Pantai Bagan Lalang

Para peserta ekspedisi bergerak dari Kuala Lumpur menaiki tren komuter KTM dari Stesen KL Sentral hingga ke Stesen Nilai. Dari Nilai pula, mereka menaiki bas Cityliner hingga ke Pekan Sungai Pelek. Selepas bersolat di Masjid Al-Ehsan Pekan Sungai Pelek, perjalanan diteruskan dengan kereta ke tapak perkhemahan berhampiran dengan chalet PNK Resort di Pantai Bagan Lalang. Perjalanan yang agak panjang menyebabkan mereka tiba di lokasi agak lewat. Oleh itu, waktu malam digunakan untuk membangunkan tapak perkhemahan dan memasak makan malam. 

Para peserta berlatih menggunakan joran 

Air laut pasang di Pantai Bagan Lalang ialah pada sekitar jam 7.30 pagi dan 7.30 malam, manakala waktu air laut surut pula ialah jam 1.30 petang dan 1.30 pagi. Memandangkan telah terlepas waktu air pasang pada jam 7.30 malam disebabkan sibuk membangunkan tapak perkhemahan, kami memfokuskan untuk memancing pada pagi keesokan harinya. Waktu malam itu digunakan untuk sesi memasang joran pancing dan teknik 'casting'.

Hasil tangkapan pada hari tersebut ialah ikan belukang

Sekitar waktu pagi, angin kencang melanda Pantai Bagan Lalang menyebabkan para peserta terpaksa berpindah kira-kira 10 meter dari tapak perkhemahan asal. Selepas itu, hujan yang agak lebat mula turun. Waktu ini digunakan untuk memasak sarapan pagi. Para peserta mula memancing sekitar jam 7.30 pagi selepas hujan berhenti ketika air laut berada di aras pasang tertinggi. Mereka memancing hingga sekitar jam 12.00 tengah hari. Umpan yang digunakan ialah umpun-umpun dan udang. Secara keseluruhannya, semua peserta telah berjaya menaikkan lebih 20 ekor ikan belukang. Ikan belukang ialah ikan air masin yang menyerupai ikan baung. Biasanya ia akan dikeringkan dan dijual sebagai ikan masin.

Umpun-umpun dijual dengan harga RM6 untuk satu beg plastik

Para peserta mula berkemas sekitar jam 12.30 tengah hari dan secara beransur-ansur bergerak pulang. Ekspedisi memancing pada kali ini berjaya mencapai sasaran dan mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan supaya ekspedisi berikutnya lebih berkualiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan