Pasukan Latihan Negeri PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 1 (Unit Pengakap Remaja) pada 24 hingga 26 September 2010 yang lalu bertempat di Methodist Boys School, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Kursus ini telah dipimpin oleh Saudara Chai Jiun Huar selaku Ketua Kursus merangkap Penyelaras Pasukan Latihan Negeri.

2nd Mate mengajarkan cara menganduh kaki yang patah
Krew telah dijemput untuk membantu perjalanan kursus bagi dua sesi iaitu Sesi Simpulan dan Ikatan serta Sesi Pertolongan Cemas. Kedua-dua sesi ini diadakan berturut-turut pada tengah hari Sabtu. Empat orang ahli krew iaitu Skipper, 2nd Mate, 3rd Mate dan Yeoman telah menghadirkan diri bagi memastikan amanah yang diberikan oleh Ketua Kursus dapat dilaksanakan dengan baik.
Skipper Krew telah memimpin Sesi Simpulan dan Ikatan yang dibahagikan kepada tiga base. Base 01 dikendalikan oleh Skipper dan Yeoman merangkumi simpul tapak kucing (cat's paw), simpul serban (turk's head), simpul buaian (scaffold hitch) dan sambat pendek (short splice). Base 02 pula dikendalikan oleh 2nd Mate dan 3rd Mate. Base ini meliputi ikatan serong Jepun (Japanese lashing), lilit berkas tingkat (racking bend) dan genggam monyet (monkey fist).

Skipper mengendalikan base Pembalut Segi Tiga dan Anduh
Base 03 pula dikendalikan oleh Encik Abdul Jalil Abdul Samad yang juga Penolong Pesuruhjaya Negeri (Unit Kelana). Base ini merangkumi ikatan serong Filipina (Philipine lashing), takal tali (Harvester hitch) dan simpul raga (Carrick bend). Sesi simpulan dan ikatan ini telah dapat dilaksanakan dengan baik walaupun masa setiap base adalah agak singkat.
Selepas makan tengah hari, sesi diteruskan dengan Ilmu Pertolongan Cemas yang dipimpin oleh Saudara Chan Zi-Lie. Sesi ini dibahagikan kepada tiga base iaitu Base 01 (Kandungan Peti Pertolongan Cemas dan Ilmu Pertolongan Cemas Asas) yang dikendalikan oleh Saudara Chan Zi-Lie, Base 02 (Pembalut Segi Tiga dan Anduh) yang dikendalikan oleh Skipper krew dan Yeoman serta Base 03 (Patah dan Balutan) yang dikendalikan oleh 2nd Mate dan 3rd Mate. Kesemua peserta telah menunjukkan pemahaman yang baik di dalam sesi ini.
Kursus ini agak bertuah kerana menerima pelawat asing yang bertugas di Kedutaan Amerika Syarikat. Pelawat ini telah melapangkan masa untuk menerima sedikit taklimat daripada Tuan Ketua Pesuruhjaya Negeri, Mej (B) Hj. Mior Rosli bin Dato' Mior Mohd Jaafar berkenaan kepengakapan di Malaysia.
Tuan Ketua Pesuruhjaya Negeri memberikan taklimat kepada pelawat tersebut
Pada sebelah malam pula, ahli-ahli krew yang datang membantu telah menghadiri malam Pengakap yang dikendalikan sendiri oleh para peserta. Meskipun peserta cuma seramai 20 orang, mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi ketika menjayakan malam Pengakap ini. Saudara Shazman selaku salah seorang peserta yang menjadi hos malam Pengakap ini telah membawakan pelbagai lagu dan permainan Pengakap.

Ahli-ahli krew yang terlibat sebagai Pembimbing dan Pembantu Kursus
Secara dasarnya, kursus ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Semoga dapat diadakan lagi pada masa akan datang supaya lebih ramai Pemimpin Pengakap yang berkualiti akan dapat dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan