Selasa, April 06, 2010

Pengasas Pengakap Sedunia


(Diterjemahkan secara bebas daripada laman web WOSM)


ZAMAN KANAK-KANAK

Robert Stephenson Smyth Baden Powell, lebih dikenali sebagai B-P, dilahirkan di No. 6, Stanhope Street (sekarang No. 11, Stanhope Terrace), Paddington, London pada 22 Februari 1857. Beliau adalah anak lelaki keenam dan anak kelapan daripada sepuluh anak Reverend Baden Powell, seorang profesor di Universiti Oxford. Bapa beliau meninggal dunia ketika B-P baru berumur tiga tahun menyebabkan keluarga tersebut hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Lord Robert Stephenson Smyth Baden Powell, Pengasas Pengakap Sedunia

B-P diberi pendidikan awal oleh ibunya dan kemudian memasuki Rose Hill School, Tunbridge Wells, di mana beliau memperolehi biasiswa untuk memasuki Charterhouse School. Charterhouse School pada asalnya terletak di London sewaktu B-P mula-mula memasukinya. Walaubagaimanapun, sekolah itu kemudiannya berpindah ke Godalming di Surrey yang dikelilingi hutan. Perpindahan ini memberi pengaruh besar dalam hidupnya selepas itu. Beliau amat berminat untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru di samping bermain piano dan biola. Semasa di Charterhouse, B-P mula memanfaatkan minatnya dalam seni kepengakapan dan seni kraf kayu.


Di dalam hutan di sekeliling sekolahnya, B-P akan bersembunyi daripada guru-gurunya selain menangkap dan memasak arnab. Ini dilakukan dengan penuh hati-hati supaya asap yang terhasil daripada aktiviti memasak itu tidak mendedahkan lokasi persembunyiannya. Cuti sekolah juga tidak pernah terbuang sia-sia. Bersama abang-abangnya, B-P sering meneroka cabaran. Dalam satu percutian, mereka melakukan ekspedisi pelayaran mengelilingi pantai selatan England. Dalam percutian lain, mereka berkeno hingga ke hulu Sungai Thames. Melalui semua aktiviti ini, Baden Powell mempelajari pelbagai seni dan kemahiran yang terbukti berguna pada kerjayanya di kemudian hari.

Keluarga Lord B-P

Meskipun jarang mendapat markah tinggi di sekolah, B-P menduduki peperiksaan untuk menjadi tentera dan mendapat tempat kedua di antara ratusan calon. Beliau terus ditauliahkan ke dalam 13th Hussars, tanpa perlu melalui latihan untuk menjadi pegawai. Beliau kemudiannya menjadi Kolonel Kehormat untuk regimen ini.

B-P sebagai Kolonel Kehormat 13th Hussars


KEHIDUPAN SEBAGAI SEORANG TENTERA

Pada tahun 1876, beliau pergi ke India sebagai seorang pegawai muda tentera yang dikhususkan dalam bidang risikan, pembuatan peta dan pemeriksaan. Kejayaannya kemudiannya membolehkan beliau melatih anggota tentera yang lain. Kaedah yang digunakan oleh BP adalah tidak ortodoks untuk zaman itu; unit kecil atau patrol bekerja bersama-sama di bawah pimpinan seorang ketua, dengan penghargaan khas untuk sesiapa yang mempunyai prestasi yang baik. Untuk simbol kenaikan, B-P menganugerahkan para pelatihnya dengan lencana yang menyerupai rekabentuk tradisional untuk penunjuk utara bagi kompas. Lencana ini amat sama dengan Lencana Pengakap Sedunia yang ada pada hari ini.

Selepas itu, beliau ditugaskan ke Rantau Balkan, Afrika Selatan dan Malta. Beliau kembali ke Afrika untuk membantu mempertahankan Mafeking semasa ia dikepung selama 217 hari pada permulaan Perang Boer. Kepungan ini memberikan ujian genting kepada kemahiran kepengakapan B-P. Keberanian dan bakat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak yang ditugaskan oleh B-P untuk menjadi utusan di Mafeking memberi kesan yang sangat mendalam kepada dirinya. Taktik ini kemudiannya turut menjadi B-P terkenal di England.

Suasana Perang Boer di Mafeking pada tahun 1900

Apabila pulang ke England pada 1903, beliau mendapati dirinya telah menjadi wira negara. Beliau juga mendapati buku panduan kecil yang ditulisnya untuk tentera (Aids to Scouting) telah digunakan oleh pemimpin golongan muda dan guru-guru di seluruh England untuk mengajar kemahiran mencerap dan seni kayu.

Kulit buku "Aids to Scouting" karangan Lord B-P

B-P berucap dalam mesyuarat dan perhimpunan. Semasa menghadiri satu perhimpunan Boy's Brigade, beliau telah diminta oleh pengasas pertubuhan itu iaitu Sir William Smith untuk menggubal sebuah skim yang lebih pelbagai untuk melatih kanak-kanak menjadi warga negara yang baik.


PERMULAAN PERGERAKAN PENGAKAP

B-P memulakan gerak kerja untuk menulis semula buku "Aids to Scouting", kali ni untuk pembaca yang lebih muda. Pada 1907, beliau menjalankan sebuah perkhemahan percubaan di Pulau Brownsea, Poole, Dorset untuk menpraktikkan idea-ideanya. Beliau membawa 22 kanak-kanak lelaki, daripada sekolah-sekolah persendirian dan rumah-rumah pekerja dan meletakkan mereka di bawah kepimpinannya. Hasil perkhemahan ini pada hari ini diketahui oleh seluruh dunia.

Batu peringatan perkhemahan di Pulau Brownsea 1907

Gambar perkhemahan di Pulau Brownsea 1907

Para peserta perkhemahan di Pulau Brownsea 1907

Buku "Scouting for Boys" telah diterbitkan pada 1908 dalam enam bahagian yang berasingan. Hasil jualan buku ini adalah amat menggalakkan. Kanak-kanak lelaki mula membentuk Patrol Pengakap untuk mencuba idea-idea yang diutarakan oleh B-P di dalam buku tersebut. Apa yang asalnya ditulis untuk membantu latihan bagi organisasi sedia ada akhirnya menjadi buku panduan kepada sebuah pertubuhan baru yang akhirnya menjadi pertubuhan seluruh dunia. Pemahaman yang baik oleh B-P terhadap kanak-kanak memberi kesan yang besar kepada golongan muda di England dan seluruh dunia. Sejak itu, buku "Scouting for Boys" telah diterjemahkan kepada lebih 35 bahasa.

Beberapa contoh kulit buku 'Scouting for Boys" karangan Lord B-P

Tanpa sebarang kekecohan, upacara dan secara spontan, kanak-kanak lelaki di seluruh England mula menubuhkan pasukan Pengakap. Pada September 1908, Baden-Powell telah membuka sebuah pejabat untuk menguruskan urusan-urusan kepengakapan.

Pengakap merebak dengan pantas ke seluruh Empayar British dan ke negara-negara lain sehingga ia ditubuhkan di seluruh pelusuk dunia.

B-P bersara daripada tentera pada tahun 1910 ketika berusia 53 tahun atas nasihat King Edward VII yang berpendapat bahawa B-P boleh memberikan perkhidmatan yang lebih bermakna kepada negaranya melalui Pergerakan Pengakap

Dengan segala kesungguhan dan tenaganya diarahkan kepada pembangunan Pengakap dan Pandu Puteri, beliau menjelajah ke seluruh pelusuk dunia, di mana sahaja beliau diperlukan, untuk menggalakkan perkembangan dan memberi inspirasi.

Pada 1912, beliau berkahwin dengan Olave Soames yang merupakan pembantu setianya dan teman dalam semua kerja-kerja ini. Mereka memperolehi tiga orang anak iaitu Peter, Heather dan Betty. Lady Olave Baden-Powell kemudiannya dikenali sebagai Ketua Pandu Puteri Sedunia.

Lord B-P bersama isterinya Lady Olave Baden-Powell


KETUA PENGAKAP SEDUNIA

Jambori Pengakap Antarabangsa yang pertama diadakan di Olympia pada tahun 1920. Pada majlis penutupnya, B-P telah diisytiharkan sebagai Ketua Pengakap Sedunia.

Poster Jambori Pengakap Antarabangsa Pertama di Olympia, London pada 1920

Semasa Jambori Dunia Ketiga yang diadakan di Arrowe Park, Birkenhead, England, Prince of Wales telah mengumumkan bahawa B-P akan diberikan anugerah kebesaran oleh Raja England. Berita ini diterima dengan penuh kegembiraan. B-P telah dinugerahkan dengan gelaran Lord Baden-Powell of Gilwell; Gilwell Park adalah pusat latihan antarabangsa yang dibuka oleh beliau untuk para Pemimpin Pengakap.

B-P menulis tidak kurang daripada 32 buku. Beliau menerima ijazah kehormat daripada sekurang-kurangnya enam universiti. Selain itu, beliau turut menerima anugerah kehormat daripada 28 negara asing dan 19 anugerah kepengakapan daripada negara-negara luar.

Pada 1938, selepas menderita sakit, B-P kembali ke Afrika untuk hidup dalam persaraan di Nyeri, Kenya. Walaupun tenaganya semakin kurang, beliau terus menghasilkan buku-buku dan lakaran-lakaran.

Kubur Lord B-P dan isterinya di Kenya

Pada 8 Januari 1941, ketika berusia 83 tahun, B-P meninggal dunia. Beliau dikebumikan di sebuah makam yang ringkas berhampiran dengan Gunung Kenya. Pada batu nesannya tertulis "Robert Baden Powell, Chief Scout of the World" dan dipenuhi dengan lencana-lencana Pengakap dan Pandu Puteri. Lady Olave Baden-Powell meneruskan kerja-kerja beliau mempromosikan Pengakap dan Pandu Puteri di seluruh dunia hingga kematiannya pada 1977. Beliau dikebumikan bersebelahan dengan B-P di Nyeri, Kenya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan