Isnin, April 12, 2010

Buku Sila (Reef Knot)

Buku sila merupakan salah satu daripada simpulan dan ikatan asas yang perlu diketahui oleh semua ahli Pengakap. Simpulan ini digunakan secara meluas di seluruh dunia dan turut dikenali dengan nama inggerisnya iaitu "reef knot". Selain itu, simpulan ini turut dikenali sebagai "square knot" dan "hercules knot".


Nama "reef knot" digunakan sejak sekitar tahun 1794 dan berasal daripada kegunaan simpulan ini untuk mengikat dan memendekkan layar (reef a sail) bagi mengurangkan luas permukaan layar ketika angin kencang.


Simpulan buku sila menyambung dua hujung tali

Untuk meleraikan simpulan ini, pelayar boleh melakukannya dengan menggunakan satu tangan sahaja iaitu dengan menarik salah satu hujung simpulan itu.

Kaedah meleraikan simpulan buku sila

Nama "square knot" dijumpai dalam buku bertajuk A Seaman's Friend karangan Richard Henry Dana yang diterbitkan pada 1841. Buku ini turut menggunakan "reef knot" sebagai nama lain untuk simpulan ini.

Buku sila digunakan untuk menyambungkan hujung dua tali dan biasanya digunakan untuk mengikat sesuatu seperti bungkusan atau sekumpulan objek. Simpulan ini juga adalah simpulan utama dalam pembuatan tekstil Macrame.

Simpulan buku sila digunakan untuk mengikat tali pinggang orang Mesir purba

Selain kegunaanya oleh para pelayar, simpulan buku sila turut digunakan untuk mengikat anduh sejak dari zaman dahulu lagi. Di kalangan masyarakat Greek dahulu kala, simpulan ini dikenali sebagai "Hercules Knot" (Herakleotikon Hamma). Hingga ke hari ini, simpulan ini masih digunakan dengan meluas di dalam bidang perubatan.

Kegunaan simpulan buku sila dalam mengikat anduh

Buku sila juga telah digunakan sejak zaman dahulu untuk mengikat tali pinggang dan Sash (tali pengikat jubah). Pada masa sekarang, kegunaannya lebih memfokus kepada mengikat tali pinggang untuk pakaian seragam seni mempertahankan diri.

Dalam kehidupan harian, buku sila sering digunakan untuk mengikat tali kasut kerana ia mudah diikat dan mudah dileraikan. Ia juga sering digunakan untuk mengikat beg plastik contohnya plastik sampah.


Logo World Organization of the Scout Movement (WOSM)

Simpulan buku sila ini digunakan secara meluas oleh Pergerakan Pengakap di seluruh dunia sebagai lambang persaudaraan Pengakap sedunia. Di Malaysia, simpulan ini merupakan simpulan pertama yang perlu diketahui oleh mana-mana individu yang ingin menjadi ahli Pengakap, iaitu semasa hendak mendapatkan Lencana Keahlian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan