Khamis, Februari 05, 2015

Sea Dad Kembali Ke Rahmatullah

Kenangan bersama Allahyarham Sea Dad di Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kedua di Pulau Tinggi, Johor pada tahun 2013 yang lalu. Beliau sentiasa memerhatikan dari jauh dan tidak jemu-jemu memberikan nasihat, tunjuk ajar dan galakan kepada Krew.

Dukacita dimaklumkan bahawa Crew Sea Dad Tuan Khamaruzaman bin Samsudin telah menghembuskan nafas yang terakhir di kediamannya di Taman Universiti, Skudai pada hari Rabu, 4 Februari 2015 sekitar jam 11.20 malam. Allahyarham telah tidak sedarkan diri sehari sebelumnya dan berada dalam keadaan koma setelah mengalami pendarahan ketika hendak menukar balutan kakinya. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Masnisak binti Saroni serta lima orang anak.

Jenazah Allahyarham sedang diturunkan ke liang lahad

Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti sekitar jam 9 pagi keesokan harinya. Keluarga Allahyarham memutuskan untuk mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Pulai, Skudai kira-kira 4 kilometer daripada kediaman Allahyarham. Selain Ahli-ahli Kelana Kanan daripada Krew Kelana A Daerah Johor Bahru, turut berada semasa pengebumian tersebut ialah YBhg. Tuan Haji Yaacob bin Abdul Karim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor. Krew telah diwakili oleh Skipper dan 1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip.

Tuan Haji Yaacob menyiram air di atas kubur Allahyarham

Pemergian Sea Dad ke rahmatullah merupakan kehilangan yang amat besar untuk Krew dan mustahil untuk dicari  ganti. Meskipun duduk berjauhan di Johor Bahru, beliau sentiasa memberikan nasihat, garis panduan dan tunjuk ajar supaya Krew Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur sentiasa berada di landasan yang betul ke arah membantu memartabatkan Pengakap Laut di mata masyarakat. Seluruh warga Krew mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Al-Fatihah untuk Sea Dad yang amat dikasihi.

Isnin, Februari 02, 2015

Ekspedisi Kayak 50 Kilometer Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Kali Pertama 2015

Keratan akhbar Sinar Harian Edisi KL/Selangor bertarikh Rabu, 4 Februari 2015 
yang melaporkan tentang ekspedisi ini

Unit Pengakap Laut WPKL dan Krew telah menganjurkan Ekspedisi Kayak 50 Kilometer Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Kali Pertama 2015 bermula pada hari Jumaat, 30 Januari 2015 hingga hari Isnin, 2 Februari 2015 yang lalu. Ekspedisi ini merupakan pencapaian yang bersejarah kerana buat pertama kalinya di WP Kuala Lumpur, ekspedisi seumpama ini dijalankan. Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur telah memberi sokongan padu dengan kehadiran Presiden, YM Raja Shahrul Azremel bin Raja Sahar dan Bendahari, Encik Jasni bin Mustafa yang telah berkayuh bersama-sama peserta di sepanjang ekspedisi. 

Bergambar beramai-ramai di Pantai Klanang, Banting sebelum memulakan dayungan

Ekspedisi ini disertai oleh 13 orang peserta yang diketuai oleh Saudara Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim, Koordinator Teknikal Krew. Pecahan penyertaan ialah lima orang daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur, dua orang daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang dan enam orang daripada Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Kumpulan Pengakap Laut 22 Daerah Batu).

Para peserta sedang mendayung di tengah laut

Ekspedisi turut diiringi oleh empat orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berserta bot mereka daripada Balai Bomba KLIA dan Balai Bomba Banting. Saudara Nur Firdaus daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang turut berada di dalam bot Bomba bagi tujuan fotografi dan dokumentasi. Krew darat terdiri daripada Skipper dan 1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip. Pengawasan di darat telah dibantu oleh anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Bergambar di Pantai Bagan Lalang, Sepang sebaik sahaja menamatkan ekspedisi

Ekspedisi ini bermula di Pantai Klanang, Banting pada pagi 31 Januari 2015 dan tamat di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada petang 1 Februari 2015 dengan jarak keseluruhan 53 kilometer. Pada malam pertama, para peserta telah singgah di Pusat Latihan Perahu Layar di Batu Laut, Kuala Langat. Pada malam kedua pula, peserta dijangka akan bermalam di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sepang. Walau bagaimanapun, disebabkan mereka tiba agak awal di lokasi tersebut, maka dayungan diteruskan ke lokasi penamat di Pantai Bagan Lalang, Sepang. Mereka tiba di Sepang kira-kira jam 5.30 petang.

Bergambar bersama peserta dari kalangan Kelana Laut selepas majlis penyampaian sijil dan lencana

Bergambar beramai-ramai bersama semua peserta selepas majlis penyampaian sijil dan lencana

Penganjur mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sehingga ekspedisi ini berjaya direalisasikan terutamanya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah memberikan bantuan berupa bas dan lori bagi mengangkut para peserta dan kayak ke lokasi ekspedisi serta Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur yang telah menyediakan jurupandu dan menyewakan kayak sit-on-top untuk ekspedisi ini. Tidak lupa juga kepada Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuala Langat dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sepang.

Ahad, Januari 25, 2015

Lawatan Informatif Ke Zoo Negara

Bergambar beramai-ramai di hadapan Giant Panda Conservation Centre, Zoo Negara 
bersama maskot panda

Krew telah mengadakan lawatan informatif ke Zoo Negara, Ulu Klang pada hari Sabtu, 24 Januari 2015 yang lalu. Tujuan lawatan ini ialah untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang jenis-jenis ular, tebuan, lebah dan haiwan-haiwan lain yang merbahaya yang boleh menimbulkan ancaman semasa melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti berkhemah, kembara dan sebagainya. Pembelajaran tentang haiwan-haiwan tersebut tidak dilakukan secara formal di Malaysia dan akan menyebabkan aktiviti-aktiviti luar menjadi sangat berisiko sekiranya diabaikan begitu sahaja.

Bergambar beramai-ramai di pintu masuk Zoo Negara sebelum memulakan lawatan

Selain itu, fokus turut diberikan kepada pelbagai jenis ikan yang dipamerkan di Akuarium Tuanku Abdul Rahman. Tujuannya ialah supaya semua peserta lawatan mengenali dengan jelas pelbagai jenis ikan yang terdapat di perairan air tawar, air payau dan air masin di negara kita. Pengetahuan tentang hidupan yang merbahaya dan ikan yang terdapat di perairan Malaysia adalah merupakan asas yang amat penting bagi ilmu ikhtiar hidup.

Makan tengah hari di Syed Bistro, Taman Permata sebelum bergerak pulang

Lawatan bermula kira-kira jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.30 petang. Selepas itu, semua peserta menikmati makan tengah hari di Restoran Syed Bistro, Taman Permata sebelum bergerak pulang. Lawatan ini telah disertai oleh 14 orang termasuk empat orang rakan-rakan daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

Rabu, Januari 07, 2015

Salam Takziah Untuk Sea Dad

Sea Dad sedang berehat di wad selepas selesai menjalani pembedahan tersebut

Dukacita dimaklumkan bahawa Sea Dad Encik Khamaruzaman bin Samsudin telah menjalani pembedahan untuk memotong kaki kanan beliau dari paras bawah lutut akibat jangkitan kuman di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada pagi hari Selasa, 6 Januari 2015. Pembedahan tersebut telah selamat dijalankan dan beliau ketika ini sedang berehat di Katil Nombor 81, Aras 2, Hospital Sultanah Aminah. Seluruh warga krew mendoakan agar beliau dianugerahkan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini. Semoga beliau cepat sembuh dan dapat kembali berpengakap bersama Krew, Ameen.

Rabu, Disember 31, 2014

Perkhidmatan Pengurusan Barangan Bantuan Banjir di Pengkalan TUDM Subang

Kami melakukan proses pek semula barang-barang keperluan mangsa banjir berikutan 
ada kotak yang telah koyak atau rosak

Krew telah membantu proses pengurusan barangan bantuan banjir di Pengkalan TUDM Subang pada Selasa, 30 Disember 2014. Pasukan seramai tujuh orang ini diketuai oleh Pemimpin Krew, Ahli Krew Mior Ahmad Ramadhan, Ahli Krew Mohd Afiq Hafizuddin, Ahli Krew Siti Nurfatimah Zahra, Ketua Troop 183 Muhammad Adham Aiman, Penolong Ketua Troop 183 Mohd Afizal dan Penolong Ketua Troop 183 Amierul Firdaus.

Menyusun barangan di atas pallet sebelum dibalut kemas untuk penghantaran

Pelbagai jenis barangan telah disumbangkan oleh masyarakat seperti makanan kering, air minuman, lampin bayi dan dewasa, tuala wanita, minyak masak, gula, tepung, pakaian terpakai dan sebagainya. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah mengasingkan barang-barang mengikut kategori, mengepek semula barang-barang yang telah koyak kotaknya, mengatur barang-barang di atas pallet forklift dan membungkus barangan tersebut supaya sedia untuk diangkat masuk ke dalam lori. 

YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara 
melakukan lawatan ketika kami sedang berkhidmat.

Perkhidmatan telah dijalankan mulai jam 9.30 pagi hingga jam 4.30 petang. Kami telah menerima lawatan daripada YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara semasa sedang berkhidmat. Kami juga berbesar hati kerana perkhidmatan yang tidak seberapa ini telah mendapat liputan daripada page Facebook World Organization of Scout Movement (WOSM) dan Balai Berita Rasmi Persekutuan Pengakap Malaysia. Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Encik Firdaus, Pen. Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka (Unit Udara) yang membuka ruang untuk krew melakukan perkhidmatan di sini.

Selasa, Disember 30, 2014

Salam Takziah Pesawat Air Asia QZ8501

Fakta penerbangan Air Asia QZ8501

Krew ingin mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga mangsa nahas Air Asia QZ8501 yang terhempas di Belitung, Kalimantan pada 28 Disember 2014. Pesawat ini membawa 162 orang dan dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura. Pesawat tersebut telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.15 pagi (Waktu Indonesia Barat).

Laluan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura

Pesawat tersebut telah disahkan terhempas pada hari semalam, 30 Disember 2014 oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo yang memaklumkan bahawa serpihan yang dijumpai di Selat Karimata (Laut Jawa) adalah sah milik pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia.

Barangan dan serpihan yang dijumpai terapung di laut disahkan datang daripada pesawat malang tersebut

Nahas ini merupakan nahas udara major ketiga bagi tahun 2014 melibatkan syarikat penerbangan berkaitan Malaysia selepas tragedi MH370 yang masih hilang sejak 8 Mac 2014 hingga ke hari ini dan MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Ahli keluarga mangsa tidak dapat kesedihan apabila pesawat malang tersebut disahkan terhempas

Isnin, Disember 29, 2014

Perkhidmatan Mengumpul Barang Bantuan Banjir di Rumah B-P

Bergambar beramai-ramai selepas operasi ditutup pada jam 5 petang, 28 Disember 2014

Bergambar di lobi Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 
semasa menghantar barangan tersebut

Bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, Persekutuan Pengakap Malaysia melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko telah membuka pusat untuk mengumpul barang-barang bantuan untuk mangsa banjir bertempat di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di Rumah B-P, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur selama 48 jam mulai jam 5 petang, 26 Disember 2014 hingga jam 5 petang, 28 Disember 2014 (Jumaat hingga Ahad). Pusat pengumpulan ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli-ahli KL Charlie Rovers dan Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur.

Para petugas sedang memindahkan barang-barang sumbangan daripada kereta penyumbang

Suasana di lobi Rumah B-P semasa operasi berjalan

Pihak Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah bermurah hati menyediakan makanan dan bilik penginapan untuk para petugas yang berkhidmat di pusat pengumpulan ini. Kami menerima sambutan yang menggalakkan sama ada daripada warga Persekutuan Pengakap Malaysia mahupun masyarakat yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Antara barangan yang disumbangkan ialah makanan kering, air minuman, lampin bayi, tuala wanita dan pakaian terpakai. Ahli-ahli Krew yang tidak dapat hadir bertugas telah datang untuk memberikan sumbangan masing-masing.

Kami mengambil barangan sumbangan daripada pusat pengumpulan satelit yang diuruskan oleh 
Saudari Izzatul Nabila binti Isa, Ahli Troop Pengakap Laut 183 KL

Menerima sumbangan daripada Krew Kelana 'H' Daerah Petaling

Menerima sumbangan daripada PPM Daerah Lembah Pantai

Menerima sumbangan daripada Ahli Kanan Krew, Puan Farah Ashikin Mohd Radi 
yang datang jauh dari Ipoh

Pemimpin Krew sebagai Pengurus Operasi menandatangi akuan penerimaan sumbangan

Penghantaran dilakukan dengan kerap ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya bagi mengelakkan lambakan di lobi Rumah B-P. Secara keseluruhannya, penghantaran telah dilakukan sebanyak 12 kali menggunakan sebuah van dan sebuah pajero. Penghantaran terakhir dilakukan pada jam 11.05 malam pada 28 Disember 2014. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya sebagai Pemimpin Krew kepada semua yang telah terlibat menjayakan misi bantuan ini:

Ahli-ahli Kanan Krew:
1. 2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin
2. 6th Mate Ismail bin Ibrahim
3. Storekeeper Rosbiah  binti Mohd Shah
4. Sailing Coordinator Suraya Ika binti Tamrin
5. Ahli Kanan Krew Farah Ashikin bin Mohd Radi

Ahli-ahli Krew:
1. Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin
2. Bosun's Mate Sharina binti Hepeni
3. Yeoman Muhammad Shazwan bin Mohd Shafizal
4. Purser Jennifer Loh Pui Pui
5. Ahli Krew Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal
6. Ahli Krew Muhammad Norkhairin bin Rollan
7. Ahli Krew Rizwandi bin Abdul Rahman

Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL
1. Troop Leader Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi
2. Mohd Afizal bin Suhaimi
3. Amierul Firdaus bin Azwanizam
4. Izzatul Nabila binti Isa
5. Syed Mirza Faiz bin Syed Muzlin

Ahli-ahli Troop Lain
1. Ariez Hazaril
2. Nurul Syahidah
3. Nabila
4. Athira Suraya

Ahli-ahli Krew Kelana 'E' Daerah Segambut

Semoga bantuan yang dikumpulkan telah dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Ameen.