Keratan akhbar Sinar Harian Edisi KL/Selangor bertarikh Rabu, 4 Februari 2015
yang melaporkan tentang ekspedisi ini
Unit Pengakap Laut WPKL dan Krew telah menganjurkan Ekspedisi Kayak 50 Kilometer Pengakap Laut WP Kuala Lumpur Kali Pertama 2015 bermula pada hari Jumaat, 30 Januari 2015 hingga hari Isnin, 2 Februari 2015 yang lalu. Ekspedisi ini merupakan pencapaian yang bersejarah kerana buat pertama kalinya di WP Kuala Lumpur, ekspedisi seumpama ini dijalankan. Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur telah memberi sokongan padu dengan kehadiran Presiden, YM Raja Shahrul Azremel bin Raja Sahar dan Bendahari, Encik Jasni bin Mustafa yang telah berkayuh bersama-sama peserta di sepanjang ekspedisi.
Bergambar beramai-ramai di Pantai Klanang, Banting sebelum memulakan dayungan
Ekspedisi ini disertai oleh 13 orang peserta yang diketuai oleh Saudara Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim, Koordinator Teknikal Krew. Pecahan penyertaan ialah lima orang daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Ibu Pejabat Negeri WP Kuala Lumpur, dua orang daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang dan enam orang daripada Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Kumpulan Pengakap Laut 22 Daerah Batu).
Para peserta sedang mendayung di tengah laut
Ekspedisi turut diiringi oleh empat orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berserta bot mereka daripada Balai Bomba KLIA dan Balai Bomba Banting. Saudara Nur Firdaus daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang turut berada di dalam bot Bomba bagi tujuan fotografi dan dokumentasi. Krew darat terdiri daripada Skipper dan 1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip. Pengawasan di darat telah dibantu oleh anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Bergambar di Pantai Bagan Lalang, Sepang sebaik sahaja menamatkan ekspedisi
Ekspedisi ini bermula di Pantai Klanang, Banting pada pagi 31 Januari 2015 dan tamat di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada petang 1 Februari 2015 dengan jarak keseluruhan 53 kilometer. Pada malam pertama, para peserta telah singgah di Pusat Latihan Perahu Layar di Batu Laut, Kuala Langat. Pada malam kedua pula, peserta dijangka akan bermalam di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sepang. Walau bagaimanapun, disebabkan mereka tiba agak awal di lokasi tersebut, maka dayungan diteruskan ke lokasi penamat di Pantai Bagan Lalang, Sepang. Mereka tiba di Sepang kira-kira jam 5.30 petang.
Bergambar bersama peserta dari kalangan Kelana Laut selepas majlis penyampaian sijil dan lencana
Bergambar beramai-ramai bersama semua peserta selepas majlis penyampaian sijil dan lencana
Penganjur mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sehingga ekspedisi ini berjaya direalisasikan terutamanya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah memberikan bantuan berupa bas dan lori bagi mengangkut para peserta dan kayak ke lokasi ekspedisi serta Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur yang telah menyediakan jurupandu dan menyewakan kayak sit-on-top untuk ekspedisi ini. Tidak lupa juga kepada Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuala Langat dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sepang.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan