Selasa, Oktober 21, 2014

Buruj Orion (Belantik)

Bentuk umum buruj Orion

Orion adalah buruj utama yang boleh dilihat di seluruh dunia. Orion merupakan buruj yang paling mudah dilihat dan dikenali di langit pada waktu malam. Ia dinamakan bersempena Orion, seorang pemburu dalam mitos Greek. Bintang yang paling terang di dalam buruj ini ialah Rigel (Beta Orionis) - bintang gergasi putih-biru dan Betelguese (Alpha Orionis) - bintang gergasi merah. Dalam masyarakat Melayu, buruj ini dikenali sebagai Buruj Belantik.

Penamaan Orion adalah berdasarkan Orion, seorang pemburu dalam mitos Greek

Buruj Orion terbit di timur dan terbenam di barat. Tali pinggang Orion (Orion's belt), iaitu rangkaian tiga bintang terang yang membentuk suatu garisan pendek yang lurus adalah terbit sangat hampir dengan timur dan terbenam sangat hampir dengan barat. Bintang-bintang tersebut ialah Mintaka, Alnitak dan Alnilam. Untuk lebih tepat, bintang pertama di dalam kumpulan Orion's belt iaitu Mintaka, akan sentiasa terbit dan terbenam di dalam 1° daripada timur sebenar dan barat sebenar tidak kira di mana anda berada di seluruh dunia.

Astrofotograf untuk Orion's Belt

Jumaat, Oktober 17, 2014

Cara Melabuhkan Bot Berenjin


Rujuk video di bawah untuk sedikit perkongsian tentang asas melabuhkan bot berenjin di jeti. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk bot dengan enjin sangkut yang dikawal di bahagian belakang.

Isnin, Oktober 13, 2014

Mesyuarat PPM WP Kuala Lumpur

Ucapan oleh YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Suatu mesyuarat khas PPM WP Kuala Lumpur telah diadakan di SK Danau Kota 2, Jalan Genting Klang pada hari Ahad, 12 Oktober 2014 yang lalu. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ramai warga Pengakap Kuala Lumpur yang terdiri daripada para Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, para Pesuruhjaya Daerah, para Penolong Pesuruhjaya Daerah, para Pemimpin dan juga Ahli-ahli Kelana. Krew telah diwakili oleh Pemimpin Krew.

Antara warga PPM WP Kuala Lumpur yang menghadiri mesyuarat ini

Mesyuarat ini telah dimulakan dengan ucapan oleh YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara yang sudi meluangkan masa untuk hadir bagi memberikan amanat kepada beliau. Antaranya, beliau mengingatkan semua hadirin agar terus berpengakap secara sihat dengan niat yang betul supaya imej dan prestasi Pengakap di Kuala Lumpur dapat dinaikkan.

Ucapan oleh YBhg. Tuan Haji Rofli bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur

Mesyuarat selepas itu telah dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Rofli bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur dan membincangkan tentang persediaan PPM WP Kuala Lumpur untuk penganjuran Jambori Pengakap Malaysia Ke-13 pada tahun hadapan. Hadirin mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menganjurkan jambori tersebut. Semoga mesyuarat ini menjadi pemangkin ke arah kebangkitan semangat di kalangan warga Pengakap WP Kuala Lumpur ke arah penganjuran jambori kebangsaan yang  terbaik pada tahun hadapan.

Jumaat, Oktober 10, 2014

Pembelian Teleskop Mini


Teleskop mini tersebut
 
Sebagai langkah lanjutan untuk mempromosikan bidang astronomi di kalangan warga krew dan Troop 183, beberapa individu di dalam krew telah mengambil inisiatif untuk membeli teleskop mini dengan kuasa pembesaran 90 kali. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan aktiviti cerapan angkasa pada masa akan datang. Dengan pembelian tersebut, krew telah memiliki tiga unit teleskop mini dan satu unit teleskop saiz sederhana untuk digunakan dalam aktiviti cerapan. Dari semasa ke semasa, krew juga berusaha menambahkan bahan bacaan dan rujukan untuk bidang astronomi ini.

Lencana Ahli Astronomi

Lencana Ahli Astronomi adalah salah satu daripada Lencana Kepandaian yang terdapat di dalam Skim Latihan Pengakap Muda Laut. Lencana ini diperuntukkkan kepada Ahli Pengakap Muda Laut yang telah dianugerahkan dengan Lencana Maju dan Juragan Muda (berusia 14 tahun). Astronomi merupakan pengetahuan yang amat penting dalam kemahiran navigasi seorang pelaut.

Tahniah Kepada 5th Mate


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 5th Mate, Encik Mohd Hafizal bin Azizudin dan isterinya yang juga Ahli Krew, Puan Falzah binti Ishak di atas kelahiran anak sulung mereka, seorang bayi lelaki pada jam 1.20 pagi, 9 Oktober 2014 (Khamis) yang lalu. Menurut 5th Mate, nama yang dipilih untuk putera sulung mereka ini ialah Muhammad Hariz El-Firas bin Mohd Hafizal. Semoga kehadiran warga baru akan menambahkan keberkatan dan kebahagiaan di dalam keluarga. Ameen.

Sabtu, September 27, 2014

International Dragon Boat Race for the Royal Trophy

Bergambar di Narathiwat bersama pennant Pengakap Laut

Seramai enam orang Ahli Troop Pengakap Laut 183 telah mewakili Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur ke International Dragon Boat Race for the Royal Trophy di Narathiwat, Thailand pada 21 hingga 25 September 2014 yang lalu. Turut bersama dengan mereka ialah para jurulatih dan atlet Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur. Mereka ialah Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi, Saudara Amierul Firdaus bin Azwanizam, Saudara Mohd Afizal bin Suhaimi, Saudara Kamal Ariff bin Kamal Affandi, Saudara Syed Mirza Faiz bin Syed Muzlin dan Saudara Muhammad Adam bin Mohd Nizam.

Bergambar di Hentian Putra sebelum bergerak ke Pengkalan Kubor, Kelantan

Mereka telah memenangi satu perlumbaan dan kalah dalam dua perlawanan berikutnya. Walaupun tidak menang, mereka telah menimba pengalaman yang amat berguna khasnya dalam bidang perlumbaan perahu naga di peringkat antarabangsa. Semoga pengalaman tersebut akan dapat dimanfaatkan dan menjadi inspirasi kepada Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 yang lain untuk terus maju ke depan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Ahad, Ogos 10, 2014

Majlis Perkahwinan Koordinator Pelayaran Krew

Warga krew dan Troop 183 yang hadir bersama pengantin

Krew mengucapkan selamat pengantin baru kepada Koordinator Pelayaran Krew, Saudari Suraya Ika binti Tamrin dan pasangannya di atas majlis perkahwinan mereka di Dewan Orang Ramai Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 9 Ogos 2014 yang lalu. Seramai sembilan orang yang terdiri daripada Ahli Krew, Ahli Troop 183 dan Rakan Krew telah berkesempatan menghadiri majlis ini. Semoga beliau berbahagia hingga ke akhir hayat dan sentiasa diberkati. Ameen.