Isnin, Disember 29, 2014

Perkhidmatan Mengumpul Barang Bantuan Banjir di Rumah B-P

Bergambar beramai-ramai selepas operasi ditutup pada jam 5 petang, 28 Disember 2014

Bergambar di lobi Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 
semasa menghantar barangan tersebut

Bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, Persekutuan Pengakap Malaysia melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko telah membuka pusat untuk mengumpul barang-barang bantuan untuk mangsa banjir bertempat di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di Rumah B-P, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur selama 48 jam mulai jam 5 petang, 26 Disember 2014 hingga jam 5 petang, 28 Disember 2014 (Jumaat hingga Ahad). Pusat pengumpulan ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli-ahli KL Charlie Rovers dan Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur.

Para petugas sedang memindahkan barang-barang sumbangan daripada kereta penyumbang

Suasana di lobi Rumah B-P semasa operasi berjalan

Pihak Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah bermurah hati menyediakan makanan dan bilik penginapan untuk para petugas yang berkhidmat di pusat pengumpulan ini. Kami menerima sambutan yang menggalakkan sama ada daripada warga Persekutuan Pengakap Malaysia mahupun masyarakat yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Antara barangan yang disumbangkan ialah makanan kering, air minuman, lampin bayi, tuala wanita dan pakaian terpakai. Ahli-ahli Krew yang tidak dapat hadir bertugas telah datang untuk memberikan sumbangan masing-masing.

Kami mengambil barangan sumbangan daripada pusat pengumpulan satelit yang diuruskan oleh 
Saudari Izzatul Nabila binti Isa, Ahli Troop Pengakap Laut 183 KL

Menerima sumbangan daripada Krew Kelana 'H' Daerah Petaling

Menerima sumbangan daripada PPM Daerah Lembah Pantai

Menerima sumbangan daripada Ahli Kanan Krew, Puan Farah Ashikin Mohd Radi 
yang datang jauh dari Ipoh

Pemimpin Krew sebagai Pengurus Operasi menandatangi akuan penerimaan sumbangan

Penghantaran dilakukan dengan kerap ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya bagi mengelakkan lambakan di lobi Rumah B-P. Secara keseluruhannya, penghantaran telah dilakukan sebanyak 12 kali menggunakan sebuah van dan sebuah pajero. Penghantaran terakhir dilakukan pada jam 11.05 malam pada 28 Disember 2014. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya sebagai Pemimpin Krew kepada semua yang telah terlibat menjayakan misi bantuan ini:

Ahli-ahli Kanan Krew:
1. 2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin
2. 6th Mate Ismail bin Ibrahim
3. Storekeeper Rosbiah  binti Mohd Shah
4. Sailing Coordinator Suraya Ika binti Tamrin
5. Ahli Kanan Krew Farah Ashikin bin Mohd Radi

Ahli-ahli Krew:
1. Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin
2. Bosun's Mate Sharina binti Hepeni
3. Yeoman Muhammad Shazwan bin Mohd Shafizal
4. Purser Jennifer Loh Pui Pui
5. Ahli Krew Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal
6. Ahli Krew Muhammad Norkhairin bin Rollan
7. Ahli Krew Rizwandi bin Abdul Rahman

Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL
1. Troop Leader Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi
2. Mohd Afizal bin Suhaimi
3. Amierul Firdaus bin Azwanizam
4. Izzatul Nabila binti Isa
5. Syed Mirza Faiz bin Syed Muzlin

Ahli-ahli Troop Lain
1. Ariez Hazaril
2. Nurul Syahidah
3. Nabila
4. Athira Suraya

Ahli-ahli Krew Kelana 'E' Daerah Segambut

Semoga bantuan yang dikumpulkan telah dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Ameen.

Selasa, Disember 23, 2014

Lawatan Ke Muzium Polis dan Planetarium Negara

Para peserta lawatan ringkas bergambar di pintu masuk ke Planetarium Negara

Krew telah menganjurkan lawatan ringkas ke Muzium Polis dan Planetarium Negara pada hari Selasa, 23 Disember 2014. Lawatan ringkas ini diadakan bertujuan untuk membantu Ahli-ahli Pengakap dan Pengakap Laut menyelesaikan dua lencana kepandaian iaitu Lencana Ahli Komuniti (Kumpulan Perkhidmatan) dan Lencana Ahli Astronomi (Kumpulan Pengetahuan - Laut). 

Bergambar bersama Anggota Polis yang bertugas di lobi Muzium Polis

Mereka yang terlibat ialah dari lima orang daripada Troop Pengakap Laut 183 SMK Bandar Baru Sentul (Kumpulan Ke-22 Daerah Batu) dan dua orang daripada Troop Pengakap 11 SMK Bukit Bandaraya (Kumpulan Ke-11 Daerah Lembah Pantai). Seramai empat orang Ahli Krew telah menjadi fasilitator lawatan ini sambil menjalankan perkhidmatan untuk Lencana Perkhidmatan Pengakap Kelana iaitu Saudara Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan, Saudara Afiq Hafizuddin bin Mizan, Saudari Sofiah binti Madzlin dan Saudari Zuhayra Raihan binti Zahisham.

Bergambar di Menara Cerapan Planetarium Negara

Selain itu, turut membantu perjalanan lawatan ringkas ini ialah Saudara Amierul Firdaus bin Azwanizam dan Saudara Riky Danial bin Misman, Ahli Pengakap Remaja Laut Troop Pengakap Laut 183. Lawatan bermula pada jam 10.45 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.45 petang. Para peserta menikmati makan tengah hari di Restoran Herritage di Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebelum bergerak pulang ke rumah masing-masing.

Isnin, Disember 15, 2014

Kem Pengurusan Krew & Perancangan Program ~ Kem Bakal Kelana

Bergambar beramai-ramai selepas selesai Istiadat Pelantikan Pengakap Kelana

Krew telah menganjurkan dua program secara serentak iaitu Bengkel Pengurusan Krew & Perancangan Program untuk Ahli-ahli Kelana dan Kem Bakal Kelana untuk Bakal Kelana bertempat di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada 12 hingga 14 Disember 2014 yang lalu. Kedua-dua program ini turut disertai oleh Ahli-ahli Krew Pengakap Kelana 'C' Daerah Sepang.

Ahli Kanan Krew, Cik Suria Riza binti Radzali sedang menyampaikan sesi tentang Kertas Kerja Program

Ahli Kanan Krew, Encik Mahathir Mohammad bin Ahamed Elias sedang menyampaikan sesi tentang 
Skop Tugas Jawatankuasa Pelaksana

Bagi program Bengkel Pengurusan Krew & Perancangan Program, seramai tiga orang Ahli Krew telah menyertai program ini iaitu Pengerusi Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin; Setiausaha Krew, Saudara Muhammad Shazwan bin Mohd Syafizal dan Bendahari Krew, Saudari Jennifer Loh Pui Pui. Turut menyertai program ini ialah Saudara Nor Firdaus bin Norazman, Saudara Sayyid Haziq dan Saudara Amirul Asyraf daripada Krew Kelana 'C' (Laut) Daerah Sepang.

Jurulatih Jemputan Krew, Encik Chan Zi-Lie menyampaikan ceramah pengenalan tentang 
Anugerah Remaja Perdana

1st Mate Mohd Norfardrol Marshar bin Mohd Sharip sedang menyampaikan 
sesi tentang Pendaftaran Krew

Bengkel ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada Ahli-ahli Krew tentang perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ehwal pengurusan krew dan penganjuran program. Antara sesi-sesi yang diadakan adalah seperti berikut:
1. Pendaftaran Krew
2. Undang-undang Kecil Krew
3. Dokumen Mesyuarat
4. Kertas Kerja Program
5. Skop Tugas Jawatankuasa Pelaksana
6. Mencari Penajaan
7. Anugerah Remaja Perdana
8. Perkhidmatan Tetap & Rekod Pencapaian
9. Pengurusan Aset

Sesi Asas Kerja Carta Nautika

Turut diselitkan ialah dua sesi daripada Skim Latihan Pengakap Kelana Laut iaitu Asas Kerja Carta Nautika dan Kerja Tali Temali (Bahagian 1).

Bakal Kelana sebelum memulakan sesi Kompas dan Pandu Arah bersama 
2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin

Bagi Kem Bakal Kelana pula, seramai tujuh orang telah menyatakan minat dan memberikan komitmen untuk menjadi Ahli Krew bagi sesi kali ini. Mereka ialah Saudara Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan, Saudara Afiq Hafizuddin bin Mizan, Saudari Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal, Saudara Nor Khairin bin Rollan, Saudari Sofiah binti Madzlin, Saudari Zuhayra dan Saudara Rizwandy. Turut menyertai program ini ialah tiga orang Bakal Kelana daripada Krew Kelana 'C' iaitu Saudara Sayyid Radzi, Saudara Arif dan Saudara Daniel Irfan.

Peserta-peserta Kem Lencana Ahli Berkhemah membina gejet di bawah pengawasan Ahli Kanan Krew, 
Encik Mohd Samat bin Abdul Hamid

Turut diadakan bersama-sama dua program ini ialah Program Persediaan ke Pengakap Raja untuk Ahli-ahli Pengakap Remaja dan Kem Lencana Ahli Berkhemah yang disertai oleh Ahli-ahli Pengakap Remaja dan Muda. Ahli-ahli Pengakap Remaja membina tapak perkhemahan lengkap dan melakukan aktiviti memancing. Ahli-ahli Pengakap Muda pula belajar membina gejet, membina khemah kuartermaster, menguruskan tapak perkhemahan, memasak, menguruskan keselamatan tapak perkhemahan dan lain-lain lagi.

Selepas sepuluh tahun :)

Krew mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah hadir bagi menjayakan perkhemahan ini khasnya kepada Ahli-ahli Kanan Krew yang telah meluangkan masa untuk menjadi fasilitator kepada adik-adik Kelana dan Bakal Kelana. Semoga momentum ini akan berkekalan untuk program-program yang akan datang. ~Pioneering the waves of change~

Isnin, Disember 08, 2014

Kuala Lumpur International Canoe Invitation Championship 2014

Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan 
bergambar beramai-ramai selepas menamatkan tugas pada hari terakhir kejohanan.

Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur (KL Canoe) telah menganjurkan Kuala Lumpur Canoe Invitation Championship 2014 pada 4 hingga 7 Disember 2014 yang lalu bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Seramai dua orang Ahli Troop Pengakap Laut 183 KL telah mewakili KL Canoe dalam acara Canoe Polo dan Slalom, manakala seramai sepuluh orang lagi telah berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan dengan menjadi urusetia dan pegawai perlawanan. 




 
Ketua Troop Pengakap Laut 183 KL, Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi mewakili 
KL Canoe dalam acara kayak slalom.

Team KL Canoe yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL (Saudara Adham Aiman dan 
Saudara Mohd Afizal) ketika perlawanan menentang pasukan Taiwan

Pemimpin Krew telah berkesempatan menjenguk kejohanan ini pada hari Sabtu dan hari Ahad. Meskipun dua atlet daripada Troop Pengakap Laut 183 KL iaitu Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi (slalom, canoe polo) dan Saudara Mohd Afizal bin Suhaimi (canoe polo) tidak berjaya menjadi pemenang, kejohanan ini telah memberi pendedahan yang amat penting kepada mereka dalam perjalanan sebagai atlet KL Canoe. 

Pemimpin Krew bergambar bersama Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang berkhidmat sebagai 
Pembantu Teknikal Kejohanan.

Kesemua Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 KL yang terlibat telah menjalankan tugas dengan baik. Setiap mereka diberikan cenderahati berupa t-shirt kejohanan dan tag krew oleh KL Canoe. KL Canoe turut menyediakan makan minum untuk mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung dan memberi elaun selepas tamatnya kejohanan. Di peringkat troop, mereka akan dianugerahkan dengan Lencana Pembantu Regatta atas khidmat yang telah diberikan. Setinggi tahniah kepada semua yang terlibat. :)


Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 sedang berkhidmat sebagai Pembantu Teknikal Kejohanan

Selasa, Oktober 21, 2014

Buruj Orion (Belantik)

Bentuk umum buruj Orion

Orion adalah buruj utama yang boleh dilihat di seluruh dunia. Orion merupakan buruj yang paling mudah dilihat dan dikenali di langit pada waktu malam. Ia dinamakan bersempena Orion, seorang pemburu dalam mitos Greek. Bintang yang paling terang di dalam buruj ini ialah Rigel (Beta Orionis) - bintang gergasi putih-biru dan Betelguese (Alpha Orionis) - bintang gergasi merah. Dalam masyarakat Melayu, buruj ini dikenali sebagai Buruj Belantik.

Penamaan Orion adalah berdasarkan Orion, seorang pemburu dalam mitos Greek

Buruj Orion terbit di timur dan terbenam di barat. Tali pinggang Orion (Orion's belt), iaitu rangkaian tiga bintang terang yang membentuk suatu garisan pendek yang lurus adalah terbit sangat hampir dengan timur dan terbenam sangat hampir dengan barat. Bintang-bintang tersebut ialah Mintaka, Alnitak dan Alnilam. Untuk lebih tepat, bintang pertama di dalam kumpulan Orion's belt iaitu Mintaka, akan sentiasa terbit dan terbenam di dalam 1° daripada timur sebenar dan barat sebenar tidak kira di mana anda berada di seluruh dunia.

Astrofotograf untuk Orion's Belt

Jumaat, Oktober 17, 2014

Cara Melabuhkan Bot Berenjin


Rujuk video di bawah untuk sedikit perkongsian tentang asas melabuhkan bot berenjin di jeti. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk bot dengan enjin sangkut yang dikawal di bahagian belakang.

Isnin, Oktober 13, 2014

Mesyuarat PPM WP Kuala Lumpur

Ucapan oleh YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Suatu mesyuarat khas PPM WP Kuala Lumpur telah diadakan di SK Danau Kota 2, Jalan Genting Klang pada hari Ahad, 12 Oktober 2014 yang lalu. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ramai warga Pengakap Kuala Lumpur yang terdiri daripada para Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, para Pesuruhjaya Daerah, para Penolong Pesuruhjaya Daerah, para Pemimpin dan juga Ahli-ahli Kelana. Krew telah diwakili oleh Pemimpin Krew.

Antara warga PPM WP Kuala Lumpur yang menghadiri mesyuarat ini

Mesyuarat ini telah dimulakan dengan ucapan oleh YH. Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara yang sudi meluangkan masa untuk hadir bagi memberikan amanat kepada beliau. Antaranya, beliau mengingatkan semua hadirin agar terus berpengakap secara sihat dengan niat yang betul supaya imej dan prestasi Pengakap di Kuala Lumpur dapat dinaikkan.

Ucapan oleh YBhg. Tuan Haji Rofli bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur

Mesyuarat selepas itu telah dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Rofli bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur dan membincangkan tentang persediaan PPM WP Kuala Lumpur untuk penganjuran Jambori Pengakap Malaysia Ke-13 pada tahun hadapan. Hadirin mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menganjurkan jambori tersebut. Semoga mesyuarat ini menjadi pemangkin ke arah kebangkitan semangat di kalangan warga Pengakap WP Kuala Lumpur ke arah penganjuran jambori kebangsaan yang  terbaik pada tahun hadapan.