Ahad, Julai 12, 2015

Bengkel Ikhtisas Jambori Pengakap Malaysia Ke-13

Para pesera bengkel bergambar beramai-ramai selepas selesainya bengkel tersebut

Persekutuan Pengakap Malaysia WP Kuala Lumpur telah menganjurkan Bengkel Ikhtisas Jambori Pengakap  Malaysia Ke-13 bertempat di Dewan Titiwangsa, Kompleks Belia dan Sukan WPKL, Kampung Pandan. Bengkel ini telah disertai oleh kira-kira 80 orang Pesuruhjaya di peringkat Negeri dan Daerah, Pemimpin Kumpulan dan Ahli Kelana dari seluruh WP Kuala Lumpur. Krew telah diwakili oleh Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin, Yeoman Muhammad Shazwan bin Mohd Shafizal dan Ahli Krew Rizwandi bin Abdul Rahman. 

Warga Krew yang hadir sebagai peserta bengkel ini

Bengkel ini telah dimulakan dengan tiga sesi ceramah untuk memberi pendedahan kepada para peserta bengkel tentang penganjuran jambori. Ceramah pertama bertajuk "Jambori Antarabangsa" telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Mohammed Mukhyuddin bin Sarwani, Pesuruhjaya Antarabangsa Persekutuan Pengakap Malaysia. Ini diikuti oleh ceramah kedua bertajuk "Jambori Pengakap Malaysia dan Struktur Pentadbiran Jambori" oleh YBhg. Tuan Haji Ishak bin Mohd Jonid, Pesuruhjaya Latihan Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor.

YH. Dato' Dr. Elli bin Haji Mohd Tahir menyampaikan cenderahati kepada 
YBhg. Dr. Mohammad Mukhyuddin bin Sarwani, Pesuruhjaya Antarabangsa PPM

Ceramah ketiga sepatutnya disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Azizul Azhar bin Abdul Rahman, Pengerusi Program Negeri Perak. Walau bagaimanapun, disebabkan masalah teknikal dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, beliau tidak dapat hadir pada saat-saat akhir dan telah digantikan oleh Skipper yang juga Pengerusi Program WP Kuala Lumpur. Ceramah ketiga bertajuk "Pengendalian Jambori" melibatkan proses-proses yang perlu dilalui sebelum, semasa dan selepas penganjuran sesebuah jambori.

Selamat rehat tengah hari, bengkel ini telah disambung dengan sesi brainstorming di mana para peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan seperti berikut:-

Kumpulan 1 - Pentadbiran
Moderator: Encik Dzulfikar Kamal bin Kamarudin (PKPPNg. WP Kuala Lumpur - Latihan)

Kumpulan 2 - Logistik
Moderator: Encik Muhammad Rahimi bin Mahmud (PKPPNg. WP Kuala Lumpur - Unit Kelana)

Kumpulan 3 - Aktiviti
Moderator: Encik Mohd Hilmi bin Abu Bakar (PKPPNg. WP Kuala Lumpur - Program)

Kumpulan 4 - Promosi dan Pemasaran
Moderator: Encik Jufri Lai bin Abdullah (PKPPNg. WP Kuala Lumpur - Tugas-Tugas Khas)

Sesi ini telah diikuti oleh sesi penggulungan oleh keempat-empat moderator dengan hasil bengkel akan dikompilasikan untuk dijadikan garis panduan penganjuran Jambori Pengakap Malaysia Ke-13 pada 26 November hingga 1 Disember 2016 yang akan datang.

YH. Dato' Dr. Elli bin Haji Mohd Tahir menyampaikan amanat kepada semua peserta bengkel

Bengkel telah ditutup dengan Majlis Berbuka Puasa PPMWPKL di tingkat bawah bangunan tersebut. Jutaan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menaja makanan untuk juadah berbuka puasa pada kali ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan