Isnin, Disember 09, 2013

Berkhidmat di Regional Cadet Camp 2013 Anjuran St John Ambulance Wilayah Persekutuan

Warga Krew yang hadir bergambar beramai-ramai bersama para peserta

Krew telah memenuhi jemputan daripada pihak St John Ambulance Malaysia Wilayah Persekutuan untuk membantu menjalankan sesi Navigasi dan Komunikasi di Regional Cadet Camp 2013 yang telah diadakan di Riverside, Janda Baik, Pahang pada 6 hingga 8 Disember 2013 yang lalu. Warga krew yang hadir ialah Pemimpin Krew; Jurulatih Jemputan Krew Encik Jamal Harim bin Abdullah; Bekas Setiausaha Pasukan Latihan Negeri WPKL, Encik David Ong; Pengurus Aset Krew, Puan Rosbiah Mohd Shah; Setiausaha Krew, Saudara Wan Muammar Qaddafi Hasanudin; Bakal Kelana Raja Ainnur Azeera Raja Azman dan Ketua Patrol Paus Troop 183, Saudara Muhammad Adham Aiman Nor Apandi.

Aktiviti telah dijalankan secara sistem pangkalan dengan membahagikan kepada empat base iaitu Base 1 - Peta Topografi, Base 2 - Kompas, Base 3 - Isyarat Bendera Semaphore dan Kod Fonetik dan Base 4 - Kod Morse. Seramai 67 orang ahli St John Ambulans Malaysia dari seluruh Wilayah Persekutuan telah menyertai perkhemahan ini. Selepas menjalani latihan, mereka turut diuji dalam peperiksaan ringkas menggunakan kertas soalan objektif dan subjektif yang disediakan oleh Pemimpin Krew. Sesi ini adalah bagi membolehkan mereka dianugerahkan dengan Lencana "Map Reading and Navigation" dan Lencana "Signalling". Walaupun hujan lebat turun sepanjang sesi dijalankan, ianya tetap mencapai objektif dengan jayanya. Pihak penganjur telah memberikan penghargaan berupa sijil penghargaan dan hamper. Kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur setelah selesai makan tengah hari. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan