Selasa, Jun 12, 2012

Awan

Jenis-jenis awan

Awan merupakan salah satu daripada elemen yang amat penting di dalam ilmu kaji cuaca atau meteorologi. Secara fizikalnya, awan ialah sekumpulan titisan cecair atau kristal beku yang terbentuk daripada air dan pelbagai bahan kimia lain dan terapung di atmosfera bumi. Pembentukan awan berlaku menerusi dua cara seperti berikut:

Pembentukan awan

  1. Suhu udara akan meningkat apabila cuaca panas. Ini seterusnya menyebabkan lebih banyak air di muka bumi menyejat dan menambahkan bilangan wap air di dalam udara. Udara panas yang tepu dengan wap air ini akan naik ke aras yang tinggi. Apabila bertemu dengan lapisan yang mempunyai suhu lebih rendah, wap air itu akan mencair menjadi titisan air yang akan membentuk awan 
  2. Awan juga boleh terbentuk pada suhu biasa dengan syarat atmosfera mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Udara semakin lama akan semakin tepu dengan wap air

Setelah awan terbentuk, bilangan titisan air akan terus bertambah dan awan tersebut akan menjadi semakin berat. Daya tarikan graviti akan menyebabkan awan tersebut semakin ke bawah dan akhirnya turun ke muka bumi dalam bentuk titisan hujan. Namun begitu, sekiranya udara panas yang tepu dengan wap air itu bertemu dengan lapisan yang mempunyai suhu lebih tinggi, awan itu akan lenyap secara perlahan-lahan. Ini menyebabkan awan tersebut berubah bentuk secara perlahan-lahan.

Jenis-jenis awan mengikut ketinggian

Awan-awan dibahagikan kepada empat kategori di mana tiga daripadanya dibahagikan mengikut ketinggian iaitu awan tinggi, awan pertengahan dan awan rendah. Kumpulan awan tinggi berada pada ketinggian 6000 meter ke atas dan terdiri daripada awan sirrus, awan sirrostratus dan awan sirrokumulus. Awan pertengahan terletak di antara aras ketinggian 2000 meter hingga 6000 meter dan terdiri daripada awan altostratus dan awan altokumulus. Awan rendah pula terletak di bawah aras ketinggian 2000 meter dan terdiri daripada awan stratus, awan stratokumulus, awan nimbostratus dan awan kumulus. 

Awan kumulonimbus

Satu lagi kategori awan ialah awan menegak iaitu kumulonimbus yang sering membawa hujan lebat dan ribut petir. Awan kumulonimbus berada secara menegak dari ketinggian di atas 6000 meter hingga di bawah 2000 meter. Sekiranya awan kumulonimbus dilihat pada waktu pagi dan semakin menebal selepas itu, ini menandakan kemungkinan yang besar untuk berlakunya cuaca buruk. Terdapat juga awan yang jarang dapat dilihat iaitu awan arcus. Awan jenis ini akan muncul sebelum berlakunya ribut petir dan taufan. Ia mempunyai dua bentuk sama ada bertingkat-tingkat (shelf) atau bergulung (roll).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan