Ahad, Februari 13, 2011

Majlis Pelancaran Skim Latihan Pengakap Laut

Sempena penganjuran Kursus Protokol dan Etiket Sosial Persekutuan Pengakap Malaysia yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaacob Latif, Cheras pada 22 hingga 25 Januari 2011 yang lalu, pihak Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah mengambil keputusan untuk turut melancarkan Skim Latihan Pengakap Laut Malaysia yang baru. Selain itu, turut dilancarkan adalah Skim Latihan Pengakap Udara dan Buku Kawad Kaki dan Istiadat.

Disebabkan pemberitahuan yang agak suntuk, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Pengakap Laut) yang juga Penasihat Krew telah mengamanahkan kepada Skipper untuk mewakili Pengakap Laut Malaysia di dalam upacara pelancaran ini. Semasa upacara pelancaran, sampel-sampel buku untuk Skim Latihan Pengakap Muda Laut dan Skim Latihan Pengakap Remaja Laut telah dipersembahkan kepada Ketua Pengakap Negara, Dato' Seri Paduka Dr. Hj Shafie bin Mohd Salleh.

Pelancaran skim latihan ini adalah pencapaian yang amat memberansangkan untuk krew khasnya dan warga Pengakap Laut Malaysia amnya setelah lebih lima tahun membuat kajian menyeluruh dan menunggu untuk pelaksanaan skim baru ini. Semoga pelancaran skim latihan ini akan membuka lembaran baru kepada Pengakap Laut Malaysia ke arah melahirkan Pengakap Laut yang sejati dan bukan sekadar pada uniform sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan