Ahad, Mei 24, 2015

Mesyuarat Tahunan Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan 2015

Warga sekretariat sedang bermesyuarat

Mesyuarat Tahunan Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan 2015 telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Kem Mutiara Semenyih Training Village & Eco Resort, Semenyih pada hari Sabtu, 23 Mei 2015 yang lalu. Mesyuarat ini bertujuan menyelaraskan aktiviti dan garis panduan Pengakap Laut di seluruh negara bagi meneruskan perjuangan memantapkan pergerakan Pengakap Laut di Malaysia. Mesyuarat ini turut dihadiri buat pertama kalinya oleh YBhg. Mej. Jen. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin (Bersara), Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengurusan Risiko, Uniform & Aksesori Kepengakapan, Pakar Rujuk Pengakap Laut dan Pengakap Udara).

YBhg. Mej. Jen. Dato' Dr. Hj. Mohd Zin bin Bidin (Bersara) sedang memberikan ucapan alu-aluan

Mesyuarat kali ini telah menamakan secara rasmi Pengerusi Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan yang baru iaitu YBrs. Encik Noor Azmi bin Ujang yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka (Pengakap Laut). Beliau menggantikan Allahyarham Sea Dad Tuan Khamaruzaman bin Samsudin yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Februari 2015 yang lalu.









 Gambar-gambar sewaktu mesyuarat sedang berlangsung

Skipper yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur (Pengakap Laut) telah hadir mewakili WP Kuala Lumpur dan diberi amanah untuk meneruskan tugas sebagai Setiausaha Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. 2nd Mate Mohd Ariff bin Mohd Tajudin turut hadir di atas kapasiti sebagai Ahli Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan. Turut hadir ialah Encik Mohd Fikri bin Rusni, Koordinator SCUBA Krew yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor (Pengakap Laut).

Sabtu, Mei 23, 2015

Majlis Tahlil Arwah Sea Dad

Bersama Encik Zalini bin Johari @ Abang Adik, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor (Unit Kelana) dan Encik Mohd Hafiz bin Raya, Pemimpin Krew Kelana 'A' Daerah Johor Bahru

Keluarga Allahyarham Sea Dad Tuan Khamaruzaman bin Samsudin telah mengadakan Majlis Tahlil Arwah sempena 100 hari kembalinya Allahyarham ke rahmatullah pada hari Jumaat, 22 Mei 2015 yang lalu. Majlis ini telah diadakan di kediaman keluarga Sea Dad di Taman Universiti, Skudai, Johor. Krew telah diwakili oleh Skipper, Koordinator SCUBA Krew Encik Mohd Fikri bin Rusni dan Ahli Kanan Krew Puan Siti Aisah binti Sawin. Seluruh Krew mendoakan agar keluarga Allahyarham Sea Dad terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Wakil Krew bergambar bersama balu Allahyarham Sea Dad, Kak Masnisak binti Saroni setelah selesai majlis tersebut

Ahad, April 05, 2015

Kempen Belia Tolak Ekstremisme

Warga PPMWPKL yang hadir bergambar bersama YH. Dato' Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri 
WP Kuala Lumpur selepas selesai majlis penutup

Krew telah menyertai YH. Dato' Dr. Elli bin Mohd Tahir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur dan warga PPMWPKL yang lain menghadiri majlis pelancaran Kempen Belia Tolak Ekstremisme di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 4 April 2015 yang lalu. Kempen ini adalah merupakan inisiatif Majlis Belia Malaysia.

Ahli-ahli Krew yang hadir di majlis pelancaran tersebut

Krew telah diwakili oleh Skipper, Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin, Ahli Krew Afiq Hafizuddin bin Mizan, Ahli Krew Zuhayra Raihan binti Zahisham dan Ahli Krew Atikah binti Mansor. Kempen ini dimulakan dengan ucaptama oleh Menteri Belia dan Sukan, YB. Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar. Di dalam ucapannya, beliau menyeru golongan muda untuk menumpukan semangat jihat mereka kepada Mycorps iaitu suatu program yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan di mana para sukarelawan belia yang berminat akan berpeluang untuk berkhidmat di negara-negara yang memerlukan selama sekurang-kurangnya setahun sama ada sebagai guru, doktor dan sebagainya.

Ucaptama oleh YB. Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Malaysia

Majlis ini diteruskan dengan pembentangan oleh tiga orang ahli panel iaitu:
  1. YBhg. Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrosim Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  2. YBhg. Dato' Awang Din bin Hussain, Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri
  3. YBhg. Ustaz Dr. Fadlan bin Mohd Othman, Pensyarah Kanan Jabatan Al-Qur'an dan As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh YB. Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri oleh 
YB. Menteri Belia dan Sukan

Ini diikuti oleh pernyataan oleh wakil-wakil pertubuhan belia dan NGO yang menolak ekstremisme dan menyatakan solidariti terhadap penderitaan rakyat Syria. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB. Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Dalam Negeri. Di akhir majlis ini, para hadirin menurunkan tandatangan beramai-ramai pada kanvas yang disediakan sebagai simbol sokongan kepada kempen tersebut. Sertailah Pengakap bagi mengelakkan diri anda terbabit dalam ekstremisme. Jayakan Pengakap sebagai Utusan Keamanan (Messenger of Peace).


Selasa, Mac 31, 2015

TRAIGA 2015 - Kem Lencana Kemahiran Pengakap Kelana Part 1 & Vigil 3.0

Bergambar beramai-ramai di hadapan Galley KCB

Krew telah menganjurkan TRAIGA 2015 (Training Gathering 2015) yang terdiri daripada gabungan program Kem Lencana Kemahiran Pengakap Kelana Bahagian 1 dan Vigil 3.0 bertempat di tapak latihan krew di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada 28 hingga 30 Mac 2015 yang lalu. TRAIGA 2015 telah disertai oleh 14 orang Ahli Krew iaitu:
  1. Bosun Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin
  2. Purser Jennifer Loh Pui Pui
  3. Mior Ahmad Ramadhan bin Mior Shahridan
  4. Muhammad Norkhairin bin Rollan
  5. Siti Nurfatimah Zahra binti Kamal
  6. Afiq Hafizuddin bin Mizan
  7. Sofiah binti Madzlin
  8. Siti Diana Kamila binti Nadim
  9. Zuhayra Raihan 
  10. Athira Suraya binti Azman
  11. Ameer Iskandar bin Zainal Abidin
  12. Danial Irfan (Kelana C Daerah Sepang)
  13. Atikah binti Mansor (Bakal Kelana)
  14. Muhammad Fahimi bin Ahmad Roslan (Bakal Kelana)

Selfie beramai-ramai selepas selesai Istiadat Pelantikan Pengakap Kelana untuk ahli-ahli baru

Hadir membantu menjalankan program ini ialah:
  1. Skipper Encik Mohd Hilmi bin Abu Bakar
  2. Asset Manager Puan Rosbiah binti Mohd Shah
  3. Jurulatih Jemputan Krew Encik Jamal Harim bin Abdullah
  4. Jurulatih Jemputan Krew Encik Norfian bin Nazir
  5. Koordinator Pendakian dan Penajaan Encik Mohd Samat bin Abdul Hamid
  6. Koordinator Teknikal dan Teknologi Encik Mohd Hizam bin Che Abdul Rahim
Mendapatkan air daripada pokok pisang

Berlatih membina "trestle" sebagai struktur asas projek perintis

Belajar membina jerat untuk memerangkap haiwan kecil

Latihan membina tempat berteduh survival

Ahad, Mac 15, 2015

Gilwell Reunion, Indaba dan Rovers Gathering PPMWPKL 2015

Warga Krew yang hadir telah bergambar bersama-sama YH. Dato' Dr. Elli bin Hj. Mohd Tahir

PPMWPKL telah menganjurkan program Gilwell Reunion, Indaba dan Rovers Gathering PPMWPKL 2015 bertempat di Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2015 yang lalu bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir sekitar jam 11.30 malam. Majlis ini bertujuan mengumpulkan pemegang manikayu, para Pemimpin Pengakap dan Ahli-ahli Kelana dari seluruh Kuala Lumpur untuk berkenalan dengan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur yang baru dilantik iaitu YH. Dato' Dr. Elli bin Hj. Mohd Tahir.

Ucapan perasmian majlis oleh YH. Dato' Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur

Krew diwakili oleh Skipper, Storekeeper Puan Rosbiah Mohd Shah, Bosun Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin, Purser Saudari Jennifer Loh Pui Pui dan Ahli Krew Saudari Sofiah binti Madzlin. Selepas selesai majlis perasmian, para hadirin telah menjamu selera dengan hidangan yang ditaja oleh Pejabat DBKL Cawangan Bukit Bintang. Majlis diteruskan dengan dialog santai antara YH. Dato' Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur dengan pemegang manikayu diikuti oleh Ahli-ahli Kelana.

YH. Dato' Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur sedang berdialog dengan pemegang manikayu

Rata-rata hadirin memberikan respon yang amat positif terhadap pelantikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Kuala Lumpur yang baru. Kami mendoakan agar YH. Dato' akan dapat memimpin Pengakap di WP Kuala Lumpur ke arah pencapaian yang lebih gemilang dan cemerlang selepas ini. InsyaAllah.

Sabtu, Mac 14, 2015

Klinik Kayak Pengakap Laut Peringkat Negeri WP Kuala Lumpur Siri 1/2015

Bergambar beramai-ramai setelah tamat program Klinik Kayak

Unit Pengakap Laut PPMWPKL telah menganjurkan Klinik Kayak Pengakap Laut Peringkat Negeri WP Kuala Lumpur Siri 1/2015 pada 14 Mac 2015 yang lalu bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Klinik Kayak kali ini telah disertai oleh 30 orang peserta dengan dibantu oleh Ahli-ahli Pengakap Remaja Laut Troop Pengakap Laut 183 WPKL. Jurulatih yang bertugas ialah Encik Jasni bin Mustafa dengan dibantu oleh Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi yang juga Ketua Troop Pengakap Laut 183 WPKL dan Saudara Lee Wei Rong daripada Troop Pengakap Laut 01 Daerah Titiwangsa.

Rabu, Mac 11, 2015

Mesyuarat Bersama WWF-Malaysia

Bergambar bersama wakil WWF-Malaysia sebelum mengakhiri mesyuarat

Skipper mewakili Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan telah menghadiri mesyuarat bersama WWF-Malaysia di Petaling Jaya Commercial City pada 11 Mac 2015 yang lalu sekitar jam 2.30 petang. Hadir mewakili WWF-Malaysia ialah Puan Suan Tan, Pengurus Kanan Pengaktifan Jenama WWF-Malaysia dan Cik Carmen Jang, Eksekutif Pengaktifan Jenama WWF-Malaysia. Mesyuarat ini diadakan bertujuan membincangkan program bersama yang bakal diadakan antara Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan dan WWF-Malaysia khasnya berhubung dengan keputusan menjadi Pengakap Laut sebagai duta kepada kempen Save Our Seafood 2.0 anjuran WWF-Malaysia.