Jumaat, Oktober 10, 2014

Pembelian Teleskop Mini


Teleskop mini tersebut
 
Sebagai langkah lanjutan untuk mempromosikan bidang astronomi di kalangan warga krew dan Troop 183, beberapa individu di dalam krew telah mengambil inisiatif untuk membeli teleskop mini dengan kuasa pembesaran 90 kali. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan aktiviti cerapan angkasa pada masa akan datang. Dengan pembelian tersebut, krew telah memiliki tiga unit teleskop mini dan satu unit teleskop saiz sederhana untuk digunakan dalam aktiviti cerapan. Dari semasa ke semasa, krew juga berusaha menambahkan bahan bacaan dan rujukan untuk bidang astronomi ini.

Lencana Ahli Astronomi

Lencana Ahli Astronomi adalah salah satu daripada Lencana Kepandaian yang terdapat di dalam Skim Latihan Pengakap Muda Laut. Lencana ini diperuntukkkan kepada Ahli Pengakap Muda Laut yang telah dianugerahkan dengan Lencana Maju dan Juragan Muda (berusia 14 tahun). Astronomi merupakan pengetahuan yang amat penting dalam kemahiran navigasi seorang pelaut.

Tahniah Kepada 5th Mate


Krew mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 5th Mate, Encik Mohd Hafizal bin Azizudin dan isterinya yang juga Ahli Krew, Puan Falzah binti Ishak di atas kelahiran anak sulung mereka, seorang bayi lelaki pada jam 1.20 pagi, 9 Oktober 2014 (Khamis) yang lalu. Menurut 5th Mate, nama yang dipilih untuk putera sulung mereka ini ialah Muhammad Hariz El-Firas bin Mohd Hafizal. Semoga kehadiran warga baru akan menambahkan keberkatan dan kebahagiaan di dalam keluarga. Ameen.

Sabtu, September 27, 2014

International Dragon Boat Race for the Royal Trophy

Bergambar di Narathiwat bersama pennant Pengakap Laut

Seramai enam orang Ahli Troop Pengakap Laut 183 telah mewakili Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur ke International Dragon Boat Race for the Royal Trophy di Narathiwat, Thailand pada 21 hingga 25 September 2014 yang lalu. Turut bersama dengan mereka ialah para jurulatih dan atlet Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur. Mereka ialah Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi, Saudara Amierul Firdaus bin Azwanizam, Saudara Mohd Afizal bin Suhaimi, Saudara Kamal Ariff bin Kamal Affandi, Saudara Syed Mirza Faiz bin Syed Muzlin dan Saudara Muhammad Adam bin Mohd Nizam.

Bergambar di Hentian Putra sebelum bergerak ke Pengkalan Kubor, Kelantan

Mereka telah memenangi satu perlumbaan dan kalah dalam dua perlawanan berikutnya. Walaupun tidak menang, mereka telah menimba pengalaman yang amat berguna khasnya dalam bidang perlumbaan perahu naga di peringkat antarabangsa. Semoga pengalaman tersebut akan dapat dimanfaatkan dan menjadi inspirasi kepada Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 yang lain untuk terus maju ke depan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Ahad, Ogos 10, 2014

Majlis Perkahwinan Koordinator Pelayaran Krew

Warga krew dan Troop 183 yang hadir bersama pengantin

Krew mengucapkan selamat pengantin baru kepada Koordinator Pelayaran Krew, Saudari Suraya Ika binti Tamrin dan pasangannya di atas majlis perkahwinan mereka di Dewan Orang Ramai Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 9 Ogos 2014 yang lalu. Seramai sembilan orang yang terdiri daripada Ahli Krew, Ahli Troop 183 dan Rakan Krew telah berkesempatan menghadiri majlis ini. Semoga beliau berbahagia hingga ke akhir hayat dan sentiasa diberkati. Ameen. 

Isnin, Ogos 04, 2014

Perkhidmatan Krew Di APR Air and Internet Jamboree 2014


Krew telah dijemput untuk berkhidmat bagi mengendalikan sesi Isyarat Bendera Semaphore di Jambori Udara dan Internet APR (APR AIJ 2014) yang telah diadakan di SK Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Ogos 2014 yang lalu. Pemimpin Krew telah diamanahkan untuk menjadi Key Person bagi sesi Isyarat Bendera Semaphore. Beliau dibantu oleh dua orang Ahli Krew iaitu Saudara Wan Muammar Qaddafi bin Hasanudin dan Saudari Jennifer Loh Pui Pui serta dua orang Ahli Troop Pengakap Laut 183 iaitu Saudara Muhammad Adham Aiman bin Nor Apandi dan Saudara Ashrul Nuqman bin Abdul Aziz.


Jambori ini telah disertai oleh kira-kira 250 orang peserta termasuk dari Pergerakan Pandu Puteri Malaysia. Selain sesi Isyarat Bendera Semaphore, sesi lain yang turut dijalankan ialah Jamboree on the Air (JOTA), Jamboree on the Internet (JOTI), Fox Hunt, Kod Morse, Mini RAE (Radio Amateur Examination) dan Geocaching.


Sabtu, Julai 19, 2014

Majlis Iftar Ramadhan Kali Pertama Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur

Hadirin bergambar beramai-ramai selepas selesai majlis tersebut

Majlis Iftar Ramadhan Kali Pertama Troop Pengakap Laut 183 WP Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Troop Pengakap Laut Ke-22 Daerah Batu) telah diadakan pada hari Jumaat lalu, 18 Julai 2014 bertempat di Dataran Zaaba, SMK Bandar Baru Sentul. Majlis ini telah dihadiri oleh 56 orang termasuk Pemimpin Troop, Cik Hamidah Rahmat. Krew telah diwakili oleh Skipper, Bendahari Krew Cik Sharifah Nur Fatihah Shaikh Baharum, Storekeeper Puan Rosbiah Mohd Shah, Koordinator Perkhidmatan Kelana Saudara Mohd Hilmi bin Mat Saad, Koordinator Pelayaran Krew Puan Suraya Ika binti Tamrin dan Ahli Krew Saudari Jennifer Loh Pui Pui.

Makanan untuk majlis ini telah dibekalkan oleh Puan Latifah Yilat binti Abdullah. Ini adalah kali pertama majlis iftar diadakan di peringkat troop. Sebelum ini, troop hanya menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri sejak tahun 2011. Semoga majlis ini akan menjadi titik tolak untuk pemantapan Troop Pengakap Laut 183 untuk menjadi sebuah troop yang teguh dan bersatu.


Ahad, Julai 13, 2014

Majlis Iftar Ramadhan Krew 1435H / Kem Pelengkapan dan Penilaian Buku Log 2014

Para hadirin sedang menikmati juadah berbuka puasa

Majlis Iftar Ramadhan Krew 1435H telah diadakan buat pertama kalinya di base krew di Kem Cangkat Budaya, Jenderam Hilir pada Hari Sabtu, 12 Julai 2014 yang lalu. Sebelum ini, buat tiga tahun berturut-turut, Majlis Iftar Ramadhan Krew telah diadakan di Restoran Pizza Hut, AEON AU2, Setiawangsa. Majlis ini dijalankan secara potluck selain juadah asas yang telah disediakan di dapur KCB pada sebelah siangnya.

Majlis ini telah dihadiri oleh seramai 33 orang yang terdiri daripada Ahli-ahli Krew, Rakan-rakan Krew dan Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 yang menyertai Kem Pelengkapan dan Penilaian Buku Log 2014. Kem ini dijalankan pada 12 dan 13 Julai 2014 atas permintaan Ahli-ahli Troop Pengakap Laut 183 yang ingin menyiapkan buku log mereka secara bersama-sama. Seramai 18 orang telah menghadiri kem ini dan dapat menyiapkan secara puratanya antara 2 hingga 3 buku log setiap seorang.

Alhamdulillah, kedua-dua program ini telah berjaya dengan meriah dan jayanya serta dapat mencapai objektif yang disasarkan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga krew. Semoga hubungan ukhwah ini akan berkekalan, insyaAllah. Bertemu lagi di tahun hadapan.